IKHLAS SUNGGUHKAH AKU INI ?
{ 1 } IKHLAS : MENYEBUTNYA
LEBIH MUDAH DARIPADA MEMBUKTIKANNYA
Janganlah disangka aku menulis ini
sekadar untuk memberikan tazkirah , peringatan dan memperbaiki diri saudara/I sidang
pengunjung blog ini semata-mata . Malah , sebenarnya ia lebih kepada suatu
peringatan dan nasihat untuk diriku sendiri .
Marilah aku tegaskan lagi ………… “ Aku menulis
bukan kerana mencari nama ataupun populariti . Jauh sekali untuk menjatuhkan
orang lain tanpa mengambil kira aib diri sendiri . Bahkan sebenarnya ,
tulisan-tulisanku ini lebih kepada cerminan diri ini agar tidak lupa dan lalai
daripada peringatan-peringatan ALLAH ; Tuhanku . Dan sebagai bekalan dan
nasihat untuk anak-anakku di kemudian hari nanti “ .
Pada awal-awal tulisanku di dalam
blog ini ( Sila Lihat : http://penacindaipelangi.blogspot.com/2009/08/mengapa-aku-menulis.html
) , aku ada menulis : “ Bahkan dengan ini, idea dan pandanganku makin tersebar. Dan aku
percaya sedikit-sebanyak manfaat yang ada dari tulisanku ini akan memainkan
peranan yang penting di dalam membentuk satu masyarakat yang diimpikan selama
ini.
Tulisan dan pandanganku juga bakal dapat dinikmati oleh anak-anakku yang
tercinta. Moga-moga mereka menjadi lebih baik dan bermanfaat dari kedua-dua
orang tua mereka. Lebih baik serba-serbinya !. Memperbaiki dan menambah pula
apa-apa yang terkurang disebabkan oleh kekurangan kedua-dua orang tuanya di
masa lalu. Baik dan memberikan kebaikan ( manfaat ) untuk Agama, Bangsa dan
Tanah Air “ .
Sekarang , mari kita menilai kembali
dan memerhatikan apakah yang kita fahami selama ini berkenaan dengan IKHLAS .
Hakikatnya , IKHLAS itu memang lebih
mudah diucapkan berbanding mempraktikkannya . Namun ia bukanlah sesuatu yang
mustahil dilakukan . Maha Suci ALLAH ; Tuhan kita daripada sebarang sifat zalim
. Tidak mungkin ALLAH memerintahkan kita melakukan sesuatu yang di luar batas
kemampuan kita sebagai manusia biasa yang bukan “ superman “ ataupun “ wonder
woman “ ini . Mustahil ALLAH menzalimi
kita !!! . Tidak mungkin sama sekali
ALLAH seperti itu !!! .
{ 2 } CERMINLAH IKHLAS ITU
DENGAN NERACA SYARIAT :
Apabila kita mendengar seseorang itu
mendakwa bahawa dirinya ikhlas , apakah kita akan menerima dakwaan itu 100 % ?
.
Ya , memang kita bukannya TUHAN yang
Maha Mengetahui semua “ isi perut dan pedal “ orang sehingga layak kita
menghukum seseorang itu tanpa bukti-bukti yang jelas lagi sahih . Namun kita
juga bukannya dungu @ bodoh sehingga merelakan diri diperdaya dan ditipu “
mentah-mentah “ oleh sesiapa sahaja tanpa sebarang waspada dan sikap
berhati-hati .
Ya , memang benar juga bahawa IKHLAS
itu pusatnya adalah di hati , namun terkadang apa yang tersirat di dalam hati
dapat dibaca oleh gerak-geri anggota tubuh-badan seseorang itu . Ibarat pepatah
: “ Sekilas ikan di air , ku tahu jantan –
betinanya “ .
Jika ingin menilai IKHLAS yang didakwa
, gunakanlah Al-Quranul Karim dan As-Sunnah sebab kedua-dua ini adalah MAKSUM
dan tidak dipengaruhi oleh adat-budaya , sentimen ataupun perasaan seseorang .
Dalam lain perkataan ; “ Rujuklah kepada Sang Pencipta Manusia bahkan Alam Semesta
ini jika benar-benar mahu menyelami akan hakikat manusia itu sendiri , hatta zahir dan batin manusia itu sendiri “ .
Sudah ramai ulama’ dan sudah banyak
tajuk tulisan yang menyentuh berkenaan topik yang sangat mulia ini . Namun di
sini , aku hanya mahu mengimbasnya kembali secara ringkas sahaja .
{ 3 } PENIMBANG PERTAMA : KISAH PEMUDA TAUHID MENENTANG HANTU PENUNGGU
POKOK YANG DISEMBAH ORANG
Petikan daripada tulisanku yang lepas yang bertajuk : APA YANG MENYEBABKAN SYAITAN DAN JIN TAKUT LALU KALAH ? ( Rujuk di alamat berikut ini : http://penacindaipelangi.blogspot.com/2012/07/apa-yang-menyebabkan-syaitan-dan-jin.html )
…………… “ Di dalam Kitab “ TALBIS IBLIS “ (
Tipu-Daya Iblis ) hasil karangan Al-Imam Ibnul Jauzi ( 510H - 597H ) , Bab
: III , mukasurat : 23 – Terbitan : Dar Ibn Khaldun , Iskandariah , Mesir
ada menyatakan sebuah kisah ( bukan hadist ) :
Suatu ketika dahulu ada sebatang pokok yang disembah oleh ramai
manusia . Maka datanglah seseorang lelaki yang marah dengan perbuatan syirik
orang ramai itu dengan kapaknya menuju ke arah pokok itu . Tiba-tiba muncullah
syaitan yang menjelma sebagai seorang manusia biasa lalu menghalangnya .
“ Apa tujuanmu ke mari ? “ ; tanya orang ( syaitan ) yang menghalang itu
.
Jawab lelaki yang memegang kapak itu : “ Aku mahu menebang
pokok yang disembah oleh manusia ini kerana ia adalah perbuatan menyekutukan (
syirik ) ALLAH “ .
“ Apa masalahnya jika pokok ini terus disembah oleh orang ramai
“ ; tanya syaitan itu
lagi .
Si lelaki itu tetap mahu meneruskan niatnya .
Syaitan pun memujuk dengan katanya : “ Apakah engkau hidup
dengan selesa sekarang ? . Begini sahajalah . Tak payahlah engkau menebang
pokok ini . Dan sebagai imbalannya , setiap kali engkau bangun daripada tidur ,
di tepimu telah tersedia dua dinar ( duit emas ) “ .
Lelaki itu bertanya lagi : “ Hai , bagaimana mungkin aku
mendapatkannya ? “ .
“ Tak mengapa . Aku yang akan sediakannya setiap kali kau bangun
daripada tidurmu “ ; ujar Sang Syaitan yang melihat pujukannya sudah berjaya .
Keesokan hari , lelaki itu memang mendapati ada dua dinar di
tepi bantalnya apabila dia tersedar daripada tidurnya . Namun , selepas itu (
lusa ) , tidak ada lagi dua dinar sebagaimana dijanjikan sebelum itu .
Lelaki itu pun naik marah lalu bergegas menuju ke pokok itu
untuk menebangnya . Tiba-tiba muncullah syaitan sekali lagi dengan rupa sebagai
seorang manusia biasa .
“ Apa lagi kamu mahu ? “ ; tanya syaitan .
“ Aku mahu menebang pokok ini kerana marah dengan perbuatan
manusia mensyirikkan ALLAH “ ; jawab pemuda itu .
Syaitan pun berkata : “ Kau penipu ! . Sebenarnya bukan
kerana ALLAH , tetapi kau datang kerana mahukan dua dinar yang aku janjikan
kepada engkau sebelum ini . Engkau tak akan dapat menebang pokok ini “
.
Lalu bertambah marahlah lelaki itu . Maka terjadilah pergaduhan
di antara lelaki itu dengan syaitan yang menyamar sebagai seorang manusia biasa
. Lelaki itu dihempas ke bumi dan hampir sahaja syaitan itu meragut nyawanya .
Lalu syaitan itu pun berkata : “ Tahukah engkau aku ini
sebenarnya adalah SYAITAN ? ….. Pada mulanya dahulu engkau datang betul-betul
marah dengan ikhlas kerana ALLAH semata-mata. Sebab itu aku tidak mampu
mengalahkanmu . Namun pada hari ini , engkau datang dengan marah bukan lagi
kerana ALLAH , tetapi kerana tidak mendapatkan dua dinar itu , maka aku berjaya
kalahkan engkau “ .
“
{ 4 } FILEM INDONESIA (
2003 ) : KIAMAT SUDAH DEKAT
Filem ini aku benar-benar menyentuh
hati sanubariku . Ia mengisahkan seorang pemuda Rock ; Fandy ( lakonan Andre Stinky
) yang secara kebetulan jatuh cinta dengan seorang anak gadis bertudung litup
lagi taat beragama , hasil asuhan bapanya ;
Haji Ramli ( lakonan Deddy Mizwar ) .
Sedangkan Sarah sebenarnya telah pun
ditunangkan dengan seorang mahasiswa di Kaherah , Mesir yang bernama Farid .
Sebagai alasan untuk menolak lamaran Fandy secara lembut , Pak Haji Ramli
meminta Fandy untuk mendalami ilmu-ilmu agama ( Fardhu Ain ) dalam masa 2
minggu jika benar-benar mahu menjadikan puterinya itu ; Sarah ( lakonan Ayu
Pratiwi ) sebagai isterinya .
Fandy pun semenjak itu
bersungguh-sungguh mendalami asas-asas Fardhu Ain . Dia mula belajar membaca
Al-Quran dan juga tatacara melaksanakan solat .
Setelah cukup 2 minggu , Pak Haji
Ramli terkejut kerana mendapati bahawa Fandy telah menguasai asas-asas Ilmu
Agama . Maka , syarat tambahan dikenakan lagi oleh Pak Ramli kepada Fandy
dengan harapan Fandy akan putus asa untuk memperisterikan Sarah . Apatah lagi ,
dalam hati kecil Pak Ramli memang lebih cenderung untuk memilih menantu yang
bergelar seorang mahasiswa dari Negara Arab berbanding Fandy ; yang cuma seorang pemuzik rock .
Syarat baru yang dikenakan itu ialah
Fandy mestilah menguasai “ IKHLAS “ di
dalam tempoh yang singkat . Puas Fandy
meminta tolong teman-temannya untuk mencari berbagai buku rujukan mengenai
masalah itu . Berbagai buku ditelaah , namun tiada satu pun yang menghuraikan
apakah ikhlas itu dengan maksud yang tepat .
Akhirnya , Pak Haji Ramli pun meminta
Fandy melupai hasratnya terhadap Sarah demi memberikan laluan kepada Farid
untuk menjadi suami Sarah .
Fandy pun berkata ( lebih kurang
beginilah dialognya ) : “ Sudah berbagai usaha dan doa saya panjatkan kepada ALLAH .
Namun jika inilah takdirNYA , saya redha dengan segala ketentuan ALLAH . Dan
saya juga redha menarik diri dari memperisterikan Sarah , walaupun hati saya tetap mencintainya
. Asalkan apa sahaja yang ditempuhi olehnya nanti , lebih membahagiakan dirinya
dan lebih mengundang redha ALLAH kepadanya “ .
Terkejut Pak Haji Ramli dan semua
keluarga yang mendengar pengakuan Fandy itu . Dan Pak Ramli pun akhirnya
mengatakan : “ SubhanalLoh …. Inilah dia IKHLAS . Hai , Fandy
sesungguhnya kamu telahpun menguasai apa yang dinamakan ILMU IKHLAS . Dan
dengan ini saya menjodohkan kamu dengan puteriku ; Sarah “ .
Begitulah lebih-kurang kisah dan
intipati Filem Kiamat Sudah Dekat .
{ 5 } IKHLAS SAHAJA MASIH
BELUM CUKUP :
Dengan IKHLAS semata-mata , tidaklah
mencukupi . Malah , masih ada 2 lagi syarat utama selain IKHLAS itu jika seseorang itu
mahu segala amalnya diterima ALLAH TA’ALA . Iaitu :
( i ) – ISLAM ~ Tidak
mungkin sesuatu amal itu diterima sebagai SAH jika dilakukan oleh seseorang
yang bukan Islam ( kafir ) , si murtad ataupun si musyrik .
( ii ) – ITTIBA’ AS-SUNNAH
~ Menepati Sunnah Baginda RosululLoh SAW dan pokok-pokok ajaran Islam .
Tidak diterima sesuatu amal yang dikerjakan sekirang ia bertentangan dengan
ajaran Islam walaupun ia dilakukan oleh ramai manusia dan dilakukan dengan
jumlah yang banyak .
Maka , tidak mungkin ISLAM menerima
teori Niccolo Machiavelli yang cukup terkenal : “ the ends justify the means " = “
Matlamat Menghalalkan Segala Cara ( Walaupun Cara Yang Keji ) “ .
Semoga ALLAH TA’ALA sentiasa memandu
kita ke jalan yang diredhaiNYA dan menganugerahi kita dengan IKHLAS ini .
Amin Ya Robbal ‘Alamin .
Jumaat
12 / Zulkaedah / 1433 H
28 / September / 2012 M
KUALA LUMPUR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.