SILA LAYARI JUGA

http://www.facebook.com/profile.php?ref=name&id=100000598573122

http://www.silat.tv/profile/cindai_pelangi

Ahad, 16 Januari 2011

BRUCE LEE & JEET KUNE DO : BAHAYA TAKSUB

BRUCE LEE & JEET KUNE DO : BAHAYA TAKSUB




 

{ 1 }



Aku baru sahaja menonton sebuah filem yang bertajuk “ JIE QUAN DAO @ JEET KUNE DO “. Sebuah filem China terbitan tahun 2010. Maka tulisanku kali ini ada kaitanya dengan filem tersebut. Malah, aku juga akan mengaitkan filem itu dengan aktor filem Kung-Fu yang terkenal ; Mendiang BRUCE LEE dan falsafah Seni Tempur yang beliau tinggalkan yang dinamakan sebagai “ JEET KUNE DO ( JKD) “. Insya-ALLAH akanku hubung-kaitkan hal-hal itu dengan Agama Islam dan Seni Silat Melayu menurut sedikit pengetahuan dan pengalaman yang ada pada diriku.





{ 2 }



Dalam sebuah ensiklopedia Bahasa Arab yang bernama LISAN AL-ARAB oleh Ibnu Manzhur, TAKSUB dinyatakan sebagai : “ Seseorang yang berjalan di dalam keadaan matanya ditutup dan bahkan pendengarannya juga ditutup (disumbat) . Begitulah menurut kata Tok Guru Nik Aziz di dalam salah-sebuah kuliahnya ketika aku menuntut di Negeri Kelantan di pertengahan awal-awal tahun 90’an dahulu.



Apa yang akan terjadi jika seseorang itu berjalan di dalam keadaan yang digambarkan di atas ?. Sudah tentu dia akan terhoyong-hayang. Tak ubah laksana seorang yang mabuk. Mabuk artinya lupa ingatan. Lupa ingatan artinya tidak mampu lagi untuk berfikir waras. Tak waras pula artinya GILA.



Di kalangan orang-orang Melayu, TAKSUB ini digelar juga sebagai : “ MENGIKUT DENGAN BUTA-TULI “ = “ MEMBABI BUTA “ = “ FANATIK “ . Maka jika inilah artinya bagi TAKSUB itu, maka wajarlah ia dianggap sebagai satu kelakuan dan sikap yang keji dan bertentangan dengan Islam dan Fitrah !.



Aku memang banyak hendak menulis perihal TAKSUB ini . Ia disebabkan banyak kesesatan dan penyelewengan serta bahaya timbul gara-gara taksub ini. Insya-ALLAH di lain kesempatan, akan ku nukilkan di sini beberapa hal-ehwal yang terjadi di keliling kita disebabkan TAKSUB ini.





{ 3 }



Apabila seseorang artis (aktor / aktres) yang cukup popular meninggal dunia, maka sudah pasti akan akan “klon” nya. Klon bolehlah dianggap sebagai “TIRUAN” ( tiru / meniru ). Mutakhir ini, ia disebut juga sebagai “ PROTÉGÉ ” dengan meminjam istilah dari bahasa “ orang putih “ yang dimasukkan ke dalam bahasa Melayu. Istilah itu menjadi lebih terkenal apabila sebuah program realiti TV Malaysia ; “ MENTOR : TUNJUK AJARKU SIFU ! “ menjadi salah-sebuah program tv yang digilai ramai, khususnya anak-anak muda yang menjadikan artis sebagai idola mereka.



Bruce Lee , Elvis Presley dan Michael Jackson. Mereka memang telah mati. Tetapi namanya dan hasil karya mereka tidak mati, khususnya di kalangan para peminat mereka dan apatah lagi di kalangan manusia yang taksub kepada ketiga-tiga artis tersohor itu. Hampir di seluruh dunia akan ada manusia yang akan “ MENIRU “ gaya dan penampilan mereka. Baik di sudut aksi lakonan, memek muka, cara persembahan dan juga cara bercakap / menyanyi.



Hal itu menyebabkan aku memikirkan : “ Bukankah lebih baik jika manusia ini cuba meniru dengan bersungguh-sungguh setiap apa yang pernah ditonjolkan oleh Baginda Rasulullah SAW menerusi warisannya ; Al-Quranul Karim dan As-Sunnah daripada meniru artis-artis itu “.





{ 4 }



Filem “ JIE QUAN DAO @ JEET KUNE DO “ yang kusebutkan di atas adalah sebuah filem yang mengisahkan seorang anak muda yang fanatik terhadap Bruce Lee. Namanya CHEN XIN ( dilakonkan oleh Chen Tian Xing ). Beliau merupakan seorang anak kepada seorang guru Kung-Fu yang terkenal di kampungnya. Peranan guru Kung-Fu itu dimainkan oleh Bruce Leung ( penjahat yang menguasai Kung-Fu ala Katak di dalam KUNG-FU HUSTLE yang menentang Stephen Chow Sing Chi ).




 

Setiap hari beliau dilatih dengan Kung-Fu Ortodoks oleh ayahnya sehingga beliau mahir di dalam seni itu. Setelah berlaku perselisihan faham dengan ayahnya, Chen Xin pun membawa diri ke sebuah kota besar. Niat di hatinya mahu menyertai sebuah pertandingan Kung-Fu Ala Bruce Lee. Setelah merempuh berbagai rintangan dan pahit-maung hidup di kota besar, akhirnya beliau berjaya masuk ke peringkat akhir.



Di situ beliau dipertemukan dengan seseorang yang dianggap sebagai bakal juara oleh kebanyakan penonton dan dia juga merupakan seorang yang fanatik terhadap Bruce Lee.



Akhirnya, bertembunglah dua orang yang fanatik terhadap Bruce Lee di peringkat akhir pertandingan. Chen Xin cuba menggunakan segala ilmu dan kemahirannya untuk menumbangkan lawannya. Namun dia tetap gagal mengalahkan lawannya itu.



Sehinggalah akhirnya dia terfikir bahawa dia tidak mungkin meniru 100% gaya dan aksi Bruce Lee bahkan dia mestilah mencari jati dirinya sendiri ( hak diri ). Chen Xin menggunakan segala teknik Kung-Fu Ortodoks yang telah diasuh oleh ayahnya semenjak dia kecil dan dipadankan pula dengan segala petua dan falsafah Jeet Kune Do yang ditinggalkan oleh Bruce Lee. Dan akhirnya berjayalah dia sebagai seorang juara dan mengalahkan lawannya itu.



Begitulah kisahnya secara ringkas.



{ 5 }



Apakah JEET KUNE DO yang ditinggalkan oleh Bruce Lee itu ?. Adakah ia satu gaya dan aksi pertempuran yang biasa ditonjolkan oleh Bruce Lee melalui filem-filemnya ?.



Apakah ia sebuah Seni Tempur / Mempertahankan Diri yang menggabungkan beberapa seni yang biasanya dikaitkan dengannya seperti Wing Chun dan Choy Li Futt dari China, Western Boxing, Western Fencing (Main Pedang), Savate (Perancis), Judo dan Ju-Jitsu dari Jepun serta Kali-Silat dari Nusantara Kepulauan Melayu ?.






Aku bukanlah pandai di dalam bidang ini. Sekadar pengalamanku membaca ( aku mula membaca beberapa buku Bruce Lee ketika aku di bangku sekolah menengah. Selalunya kedai buku POPULAR di Petaling Street menjadi tumpuanku ) , JEET KUNE DO adalah satu konsep mengenai seni tempur menurut pandangan Bruce Lee. Ia bukanlah sebuah seni tempur tetapi ia adalah PETUA, KONSEP dan IDEA. Maka apa sahaja seni tempur, aksi pergaduhan dan gaya perlawanan yang menggunakan KONSEP dan IDEA yang Bruce Lee perkenalkan melalui JEET KUNE DOnya itu, maka jadilah ia JEET KUNE DO !. Dalam lain perkataan, ia adalah satu MAZHAB @ ALIRAN PEMIKIRAN dan bukannya satu bentuk gaya tempur atau seni mempertahankan diri seperti Silat, Karate, Kung Fu dan seumpamanya itu.



Jika ada yang melakonkan aksi atau menonjolkan gaya seperti yang biasa Bruce Lee tunjukkan di dalam filem-filemnya seperti gaya berpakaian (memakai pakaian tradisional lelaki Cina atau berpakaian sukan berwarna kuning dan berjalur hitam di tepi), atau gaya rambutnya, atau gayanya memekik “ Uuuu … Wachaaa !!! “ , atau gayanya yang suka menggosok hidungnya sebelum bertempur, atau gayanya yang suka melakukan aksi “ flying kick “ , atau gaya itu dan ini , maka itu BUKANLAH JEET KUNE DO, bahkan sebenarnya itu hanyalah MENIRU GAYA LAKONAN BRUCE LEE.





{ 6 }



Siapakah idola anda di dalam Seni Silat atau Seni Tempur yang anda pelajari ?. Hang Tuah ?, Mat Kilau ?, Datuk Meor Abdul Rahman (Silat Gayong) ?, Pak Yahya Said ( Silat Kalimah ) ? , Haji Hamid “Tangan Besi” (Silat Sendeng) ?, Pak Atan “Air Batu” ( Seni Gayang Lima / Buah Pukul Mersing ) ? , Pak Mat Kedidi ( Seni Lian Buah Pukul @ Senjata Lapan ) ?. Maaf, sekadar sempat menyebut beberapa nama yang sahaja.



Adakah anda punyai fizikal – pengalaman – masa berlatih – kefahaman – kemahiran yang sama seperti mereka ?. Jika tidak, maka usah bermimpilah jika anda mahu menjadi sama dan serupa seperti mereka !. Yang boleh, anda menjadi seorang yang berlatih seni dan pelajaran yang mereka tinggalkan dengan tekun hingga ia mampu menyelamatkan anda dari ancaman mara-bahaya yang bakal mendatang pada bila-bila masa.



Jika anda cuba meniru gaya mereka 100% tanpa mengambil kira hal dan faktor di atas, maka anda adalah dungu dan bebal 100%. Tidak ada bezanya dengan seseorang yang suka melakukan aksi “membuka banyak bunga yang dia sendiri tidak memahaminya “ , atau melompat ke sana-sini dan mengelak dengan bergayang dan beruat sedangkan tenaganya tidak banyak, nafas pun tidak panjang dan berat badan pun mengalahkan dua pikul guni beras. Mahu pula meniru 100% gurunya yang sering berlatih dan berfizikal kemas lagi lincah !. Akibatnya nanti, belum berdiri udah rebah lantaran oksigen habis dan tenaga hilang.



Jika murid seperti itu dianggap bebal, maka apa pula yang mahu digelar kepada guru yang mahu muridnya taksub dengan mengikut (meniru ?) segala gayanya tanpa mengambil kira kemampuan muridnya itu ?. Jika ada guru sebegitu (memang ada pun…. Aku pun dah pernah menemuinya) ternyata dia tidak “mengajar dengan sempurna” ilmunya kepada muridnya itu. Mungkin takut murid itu jika pandai akan “ makan “ guru itu kembali. “ Ilmu yang tak habis @ sekerat jalan “ itu sengaja disuap masuk ke mulut murid-muridnya itu, ditambah pula dengan cerita-cerita rekaan dan mitos mengenai diri sang guru agar murid bertambah taksub kepada gurunya itu dan guru itu pula dapat “ mempergunakan “ muridnya demi kepentingan peribadinya nanti.



Guru seperti ini biasanya akan bersikap marah apabila muridnya itu cuba bertanya kepada kepada orang selainnya atau cuba belajar pula seni yang lain daripada apa yang ada pada gurunya itu. Lebih dahsyat lagi, apabila muridnya sendiri mahu merujuk atau belajar dari guru / senior kepada gurunya itu tadi, maka murid itu akan dianggap dengan berbagai anggapan negatif dan persepsi yang buruk !. Dikaitkan pula dengan laknat dan tak akan terima syafaat nanti.



Murid yang diimpikan oleh “ sang guru tiruan “ ini adalah murid yang hanya taat ( taksub ? ) kepadanya dan tidak banyak bertanya. Mahu belajar seni lain pun tak usahlah. Memadailah dan cukuplah dengan apa yang guru itu sampaikan sahaja. Makin banyak wang ringgit dikorbankan oleh murid itu kepada guru seperti ini, maka lebih banyaklah “ kelebihan “ dan “ pangkat “ yang akan guru itu janjikan.



Jika sikap seperti ini ada pada guru tersebut, maka apakah anda sebagai muridnya menyangka bahawa guru itu akan mengajak anda berbincang mengenai silibus pelajaran silatnya atau sanggup mengubah beberapa hal disebabkan pandangan anda ?. Usahlah berharap semacam itu dan usahlah “ bermimpi di siang hari “ !. Anda hanya diibaratkan oleh guru seperti itu seolah-olah “ lembu yang dicucuk hidungnya dan diheret dengan tali “ .





{ 7 }



Aku terlibat semenjak kecil dengan Seni Silat, namun aku bukanlah pendekar ataupun guru Silat. Aku hanyalah seorang insan yang Seni Silat dan Seni Tempur menjadi hobiku yang terutama.



Banyak guru silat telah ku temui, di tanah air ini mahupun diluarnya. Samada ku temui untuk belajar ataupun ziarah. Namun yang paling menarik minatku adalah dua orang guru tua ini iaitu Allahyarham Pak Mat Kedidi dan Pak Jauhari ( Pak Jo ).



Allahyarham Pak Mat Kedidi adalah pengasas “ JURUS SENJATA LAPAN PAK MAT KEDIDI “. Nama beliau juga sering dikaitkan dengan beberapa seni dan aliran selain di atas seperti LIAN PADUKAN , SUMBANGSIH PAK MAT KEDIDI , LIAN HARIMAU KUMBANG dan SENI SILAT GERAK SINGKIR.






Aliran yang dibawa oleh Allahyarham Pak Mat Kedidi adalah BUAH PUKUL yang terkenal di bumi Endau-Mersing. Dipadukan pula dengan beberapa seni lain seperti Silat Sendeng , Silat Sunting , Tomoi Siam dan beberapa pengalaman yang beliau lalui di dalam kehidupan beliau.




Pak Jauhari ( Pak Jo ) pula adalah seorang guru silat yang mengajar SILAT KALIMAH. Beliau adalah murid kepada Allahyarham Pak Guru Yahya Said yang telah memperkenalkan Silat Kalimah ini ke dunia hari ini.






Apa yang menariknya mengenai kedua-dua tokoh ini ?. Bagiku, kedua-dua tokoh ini amat menarik bukan sahaja disebabkan oleh silibus pelajaran silat yang mereka miliki ataupun pergaulan mereka yang sentiasa “ mudah mesra “ dan tidak menyombong diri , bahkan disebabkan oleh petua yang menjadi pegangan mereka.



Bagi Allahyarham Pak Mat Kedidi, petua yang sering beliau tekankan adalah : “ TERTAKLUK KEPADA AKAL BUDI-BICARA “ sebagai mana tertulis di dalam nukil silsilah permainan yang beliau warisi dari gurunya hinggalah kepada penyususn nukil tersebut yang biasa dipanggil sebagai “ QADHI BUAH PUKUL “ iaitu Allahyarham Pak Sani Abu Samah ( Pak Ani ).



TERTAKLUK KEPADA AKAL BUDI-BICARA “ artinya secara mudah difahami adalah gunakanlah apa sahaja cara dan gaya asalkan menang di dalam sesebuah pertempuran. Tidak perlu terikat kepada sesuatu gaya dan aliran semata-mata !.



Di dalam Silat Kalimah pula yang diwarisi dari Allahyarham Pak Yahya Said , di antara petua yang selalu disampaikan di dalam bentuk pantun adalah : “ PAKAI TAK PAKAI, TAK PAKAI, PAKAI. MAKA SELAGI TAK PAKAI, ITULAH AKU PAKAI “. Dan pantun ( petua ) ini dapat pula lebih dimengertikan apabila dipadankan pula dengan sebuah lagi petua lain di dalam Silat Kalimah, iaitu : “ BERLAPIK BERLANTAI. BENTANG TIKAR TIGA SEGI. SEORANG CERDIK, SEORANG PANDAI, SEORANG JUARA DI TENGAH BALAI. BARULAH SEMUA KERJA TIDAK TERBENGKALAI “.



Jika inilah petua yang selalu diwarisi oleh Allahyarham Pak Mat Kedidi dan Allahyarham Pak Yahya Said maka apakah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mereka berdua adalah PENGASAS JEET KUNE-DO VERSI MELAYU !?.







Sekian. Wassalam





Cindai Pelangi ®

Ahad – 4 / Safar / 1432 H = 9 / Januari / 2011 M

KUALA LUMPUR







SELAMAT DATANG & MENIKMATI 1001 MANFAAT

" Selamat Datang. Berhentilah & berehatlah seketika di sini !. Mungkin ada apa-apa isi yang menarik & bermanfaat untuk anda semua "