SILA LAYARI JUGA

http://www.facebook.com/profile.php?ref=name&id=100000598573122

http://www.silat.tv/profile/cindai_pelangi

Isnin, 16 Julai 2012

APA YANG MENYEBABKAN SYAITAN DAN JIN TAKUT LALU KALAH ?


APA YANG MENYEBABKAN SYAITAN DAN JIN TAKUT LALU KALAH ?


{ 1 } ASAL-USUL SYAITAN


“ SYAITAN “ – Adalah nama bagi sekelompok atau satu bangsa makhluk yang asal-usulnya dicipta dari api neraka . Ketuanya disebut sebagai “ BAPA SYAITAN “ ataupun disebut juga sebagai “ BAPA JIN “ . Bapa Jin ini disebut sebagai “ JAN “ di sesetengah tempat di dalam Al-Quranul Karim dan kadang-kadang dipanggil juga sebagai “ IBLIS “ ( La’anatulLohi ‘alayhi ) .


“ Syaitan “ lebih popular dengan nama panggilannya sebagai “ HANTU “ di kalangan bangsa Melayu di Malaysia ini , walaupun ada berbagai lagi nama dan gelaran yang dilabelkan kepada bangsa Jin Syaitan ini seperti Setan , Makhluk Halus , Puaka , Lembaga , Mambang dan sebagainya .






{ 2 } RUPA HANTU-SYAITAN ITU MENYERAMKAN


Biasa kita dengar kata-kata seperti ini :


“ Semalam saya ternampak hantu di simpang jalan tu . Mukanya ieeeeee betul-betul menyeramkanlah . Kakinya pun tidak menjejaki tanah . Siap boleh terbang dan mengilai lagi  “


Ataupun …..


“ Dulu kami pernah pergi memancing di tasik di hujung kampung kita ini . Tengah syok-syok memancing tiba-tiba kami ternampak kelibat yang sangat menyeramkan . Ada hantu laaa kat tasik tu . Mukanya betul-betul menyeramkan . Siap dengan gigi taring dan kuku panjang yang tajam lagi “ .


Begitulah lebih-kurang SIFAT dan CIRI-CIRI makhluk yang bernama HANTU SYAITAN itu di dalam kisah-kisah yang biasa kita dengari . Rupa bentuknya sudah pasti menakutkan dan ditambah pula dengan suasana ketika munculnya ia adalah suasana yang menyeramkan dan mendebarkan jantung manusia yang melihatnya .


Pendek kata jika disebut sahaja mengenai HANTU atau SYAITAN ini , sifat-sifat yang pasti ada pada mereka menurut kebanyakan kita adalah : MESTI MUKANYA MENYERAMKAN – PUNYAI GIGI TARING – PUNYAI KUKU YANG TAJAM – TIDAK MENCECAH BUMI – BERBAU BUSUK dan seumpamanya .


{ 3 }  RUPA HANTU-SYAITAN YANG CANTIK LAGI MEMPERSONAKAN


Sesiapa sahaja yang rajin meneliti kandungan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim ataupun Sabda-Sabda Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi wa Alihi wa Sohbihi wa Sallam ) pasti akan menemui ciri-ciri utama berikut yang ada pada golongan HANTU-SYAITAN ini , iaitu :




Firman ALLAH TA’ALA di dalam Surah Al-An’aam : Ayat 112 :

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا ۚ وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ ۖ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ

Artinya : “ Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu “ .


Itulah 3 Sifat Utama golongan Hantu Syaitan ini . Adapun sifat-sifat tercela dan terkeji yang selain itu , semuanya berasal-usul dan  berpunca daripada tiga sifat utama itu juga sebenarnya . 


Dan apabila disebut sifat HANTU-SYAITAN ini adalah SANGAT LICIK DAN PENUH DENGAN TIPU DAYA , maka ini bermakna mereka juga boleh menjelmakan (menampakkan) rupa-bentuk diri mereka di dalam keadaan yang TIDAK MENAKUTKAN – TIDAK MENYERAMKAN – TIDAK MENYENANGKAN @ MEMPERSONAKAN @ MEMUKAU PANDANGAN @ MENGGIURKAN .


Apakah yang menghalang mereka daripada menzahirkan diri mereka seumpama SEORANG GADIS YANG CANTIK JELITA DENGAN POTONGAN BADAN YANG MENGGIURKAN SERTA BERBAU WANGI ? .


Dan apakah pula yang menghalang mereka sekiranya mereka ingin MENYAMAR lalu menjelmakan diri mereka di dalam bentuk SEORANG PUTERA RAJA YANG KACAK RUPAWAN DENGAN PENAMPILAN PENUH BERGAYA LAGI MEMPERSONA ? .




NIAT YANG SANGAT LICIK LAGI TERLALU JAHAT,  PENUH PERMUSUHAN KEPADA BANGSA MANUSIA + MODUS OPERANDI ( BENTUK KERJA ) YANG PENUH DENGAN PENYAMARAN DAN LAKONAN + PUJUK-RAYU SERTA KATA-KATA SEMANGAT YANG MENCAIRKAN JIWA ~ Itu semua menyebabkan ramai manusia akan kecundang di dalam perangkap mereka serta mengundang bahaya yang amat besar kepada jiwa-raga manusia tanpa dapat dikesan dengan mudah ! .



Dan jangan pula kita tertipu dan terpedaya sekiranya HANTU-SYAITAN ini juga boleh menjelma di hadapan kita dengan berupa seperti seorang ‘alim ataupun warak . Dengan “ mengenakan “ serban di kepala , berjubah putih atau kuning , bertasbih dan bertongkat di tangan lalu menyampaikan pesanan-pesanan baik dan berguna .


 


Itu semua TIDAK MUSTAHIL BERLAKU kerana tiada apa pun yang dapat menghalang mereka daripada menjelmakan diri ( baca : berlakon ) dengan rupa-bentuk seperti itu , melainkan jika tidak diizinkan oleh ALLAH TA’ALA .





{ 4 }  HANTU-SYAITAN PUN TAKUT KEPADA MANUSIA  ?


Pasti ada yang berasa hairan dengan jika disebut : Hantu-Syaitan pun sebenarnya takut kepada manusia . Sebab yang biasa didengar adalah sebaliknya .


Hukum Logika sendiri menyatakan : “ Yang Lemah Akan Takut dan Akan Kalah Kepada Yang Lebih Berani dan Lebih Kuat Daripadanya “ .


Maka , jika seseorang manusia itu lebih kuat maka hantu-syaitan yang akan takut kepadanya . Namun jika seseorang itu lemah , sudah pasti hantu-syaitan pula yang akan berjaya menakut-nakutkannya dan menguasainya ! .


Kuat dan lemah di sini bukanlah pada sudut fizikal kerana hantu-syaitan ( baca : Jin ) itu sendiri ada fizikalnya yang lebih besar , lebih tinggi dan lebih bergerak pantas daripada manusia .


Kuat dan lemah yang dimaksudkan di dalam tulisan ini adalah : KEKUATAN JIWA / ROHANI atau di dalam bahasa yang sering digunakan oleh orang-orang Melayu adalah : KUAT SEMANGAT .

Kuat atau lemahnya jiwa – roh – semangat itu pula adalah bergantung kepada : Ilmu – Amal – Iman . Tanpa kekuatan ini , pasti hantu-syaitan yang akan berjaya menguasai manusia dan menjerumuskan manusia ke jurang kebinasaan ; binasa pada zahir ( fizikal tubuh badan ) dan binasa pada batin ( rosak akidah – fikiran kacau – sesat ) . Wa Na’udzu billahi Min Dzalik .


Kisah Imam Mujahid bin Jabr ( RadhiyalLohu ‘Anhu ) :


Di dalam buku :  WIQAYATUL INSAN MINAL JINNI WASH SHAYATHIN ( Perisai Kebal Untuk Menangkis Kejahatan Jin dan Syaitan )   oleh  Syeikh Wahid Abdus Salam Bali : ms 37 ada dikisahkan ( diterjemahkan seperti berikut ) :


Imam Mujahid ( Tahun 21H – 104H : seorang ulama’ Tabi’ien ) menceritakan : “ Pernah suatu malam ketika aku ( Imam Mujahid ) menunaikan solat , tiba-tiba muncul di hadapanku seekor jin yang saiznya seumpama budak kecil . Aku cuba betul-betul untuk menangkapnya sehingga dia melompat ke sebalik dinding ( dan menghilangkan diri ) sehingga aku terdengar ( bunyi ) jatuhnya jin itu . Akhirnya, dia tidak lagi muncul ( menggangguku ) “ .


Kata beliau lagi menyambung : “ Jin-syaitan juga takut kepada kamu sebagaimana kamu biasanya takut kepada mereka . Bahkan sebenanrnya Jin-Syaitan lebih takut kepada kamu . Maka , jika mereka muncul di hadapan kamu , hendaklah kamu bersikap keraslah ( berani ) kepada mereka. Nanti mereka akan pergi ( dari mengganggu kamu ) “ .


Imam Mujahid RahimahulLoh menceritakan lagi : “ Apabila aku bangun untuk menunaikan solat , pasti ada jin-syaitan yang menyamarkan dirinya seperti rupa Ibnu ‘Abbas . Aku pun teringat kata-kata Ibnu ‘Abbas ( mengenai hal itu ) . Selepas itu, setiap kali aku hendak menunaikan sembahyang , aku akan membawa sebilah pisau . Sehinggalah tiba suatu hari , tiba-tiba ia muncul di hadapanku . Lalu aku tikam dengan pisau itu sehingga terdengar bunyi jatuhnya  . Dan akhirnya , dia tidak lagi muncul di hadapanku lagi “ .






 Kisah Imam Ahmad bin Hanbal ( RadhiyalLohu ‘Anhu ) :


Hantu-Syaitan juga takut dengan seseorang yang selalu mentaati titah-perintah ALLAH TA’ALA dan beramal soleh ( berbuat kebajikan ) .  Di dalam Kitab : AHKAMUL JAN , oleh Syeikh al Imam al A’llamah Badruddin Abi Abdillah Muhammad ibn Abdillah Asyibli , mukasurat : 151, Darul Ibn Zaidun – Beirut, Cetakan 1985 - ada menceritakan :
 

Imam Ahmad bin Hanbal (164H - 241H) telah menggunakan KAEDAH PUKULAN UNTUK MENGELUARKAN JIN. Diriwayatkan bahawa Sultan al-Mutawakkil telah menghantar perutusannya kepada Imam Ahmad supaya memberitahunya bahawa seorang gundik sultan telah mengalami kerasukan. Imam Ahmad diminta supaya berdoa untuknya. Sejurus kemudian Imam Ahmad megeluarkan sepasang terompah kayu yang biasa digunakan untuk berwuduk, lalu memberikannya kepada muridnya dan berkata: “ kamu pergi ke istana sultan dan duduk di bahagian kepala perempuan itu. Cakap kepada jin yang merasuknya; Ahmad berkata: “ Yang mana satu di antara dua perkara yang kamu mahu ; kamu keluar dari tubuh perempuan ini atau kamu dipukul dengan terompah ini tujuh puluh kali ? “ . Apabila mendengar kata-kata tersebut jin yang berada dalam tubuh perempuan itu berkata: “ Kami dengar dan kami taat bahkan jika Ahmad mengarah kami keluar dari negeri Iraq sekalipun, kami akan keluar. Dia adalah seorang yang mentaati Allah, sesiapa mentaati Allah, segala sesuatu akan mentaatinya “. Jin tersebut kemudiannya keluar dari tubuhnya. Perempuan tersebut segera kembali sihat dan kemudiannya telah dikurniakan beberapa orang cahaya mata.


{ 5 }  APA YANG DITAKUTI OLEH HANTU-SYAITAN-JIN  ?


Setiap yang dinamakan MAKHLUK pasti ada kelemahan dan kekurangannya . Jika manusia secara fitrahnya takut kepada api atau besi ( sebagai sebuah contoh ) , maka binatang-binatang buas juga takut kepada benda seperti kayu tas , kayu penunduk , kayu jelatang dan selainnya . Maka begitulah juga dengan Hantu – Syaitan – Jin ini .


Maka , apakah sebenarnya SENJATA KITA untuk menentang hantu-syaitan-jin ini ??? .


i – Senjata Pertama : IKHLAS KERANA ALLAH DI DALAM SEGALA NIAT , TUJUAN DAN KERJA 



IKHLAS – Ia bukan sahaja bermaksud melakukan apa sahaja kerana ALLAH TA’ALA semata-mata dan bukan kerana niat untuk selainNYA, bahkan Ikhlas juga mencakupi tuntutan  untuk menTAUHIDkan ALLAH TA’ALA dengan sebenar-benarnya .


Kerana itulah Surah Al-Ikhlas ( Qul HuwalLohu Ahad ….. ) keseluruhannya membicarakan mengenai : TAUHID . Kerana Ikhlas dan Tauhid itu tidak dapat dipisahkan .


Selain IKHLAS dengan 2 pengertian di atas ( Tulus Kerana ALLAH semata-mata dan MentauhidkanNYA ) , ia juga dengan termasuk pengertian mestilah YAKIN ( Percaya bulat-bulat dengan ALLAH TA’ALA )  , TAWAKKAL ( Bergantung Harap sepenuhnya kepada ALLAH TA’ALA ) dan HUSNU ZHON ( Bersangka Baik terhadap ALLAH TA’ALA di dalam doa dan harapan ) . 


Itulah semua elemen-elemen Tauhid yang dibentuk dengan pengertian : IKHLAS . Dan apabila semuanya itu telah menyerap-masuk ke dalam qalbu seseorang itu , dan mendarah-daging di dalam segenap pembuluh darah dan urat-sarafnya . Serta bersatu pula dalam setiap diam dan geraknya , bahkan setiap kali seseorang itu menarik nafasnya dan menghembuskannya . Dan diterjemahkannya ( dizahirkan buktinya ) di dalam segenap gerak-geri anggota tubuh-badannya sehari-hari , maka di saat itu pasti dia akan menang dan berjaya menumpaskan Iblis dan Syaitan-Syaitan terkutuk .


Firman ALLAH TA’ALA di dalam Surah Al-Maidah : Ayat ke-56 :

وَمَن يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُون

“ Artinya : Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang “



Kisah Pemuda Tauhid Menentang Hantu-Syaitan Pokok :


Di dalam Kitab “ TALBIS IBLIS “ ( Tipu-Daya Iblis ) hasil karangan Al-Imam Ibnul Jauzi ( 510H - 597H ) , Bab : III , mukasurat :  23 – Terbitan : Dar Ibn Khaldun , Iskandariah , Mesir ada menyatakan sebuah kisah ( bukan hadist ) :


Suatu ketika dahulu ada sebatang pokok yang disembah oleh ramai manusia . Maka datanglah seseorang lelaki yang marah dengan perbuatan syirik orang ramai itu dengan kapaknya menuju ke arah pokok itu . Tiba-tiba muncullah syaitan yang menjelma sebagai seorang manusia biasa lalu  menghalangnya .


“ Apa tujuanmu ke mari ? “ ; tanya orang ( syaitan ) yang menghalang itu .


Jawab lelaki yang memegang kapak itu : “ Aku mahu menebang pokok yang disembah oleh manusia ini kerana ia adalah perbuatan menyekutukan ( syirik ) ALLAH “ .


“ Apa masalahnya jika pokok ini terus disembah oleh orang ramai “ ; tanya syaitan itu lagi .


Si lelaki itu tetap mahu meneruskan niatnya  .


Syaitan pun memujuk dengan katanya : “ Apakah engkau hidup dengan selesa sekarang ? . Begini sahajalah . Tak payahlah engkau menebang pokok ini . Dan sebagai imbalannya , setiap kali engkau bangun daripada tidur , di tepimu telah tersedia dua dinar ( duit emas ) “ .


Lelaki itu bertanya lagi : “ Hai , bagaimana mungkin aku mendapatkannya ? “ .


“ Tak mengapa . Aku yang akan sediakannya setiap kali kau bangun daripada tidurmu “ ; ujar Sang Syaitan yang melihat pujukannya sudah berjaya .


Keesokan hari , lelaki itu memang mendapati ada dua dinar di tepi bantalnya apabila dia tersedar daripada tidurnya . Namun , selepas itu ( lusa ) , tidak ada lagi dua dinar sebagaimana dijanjikan sebelum itu .


Lelaki itu pun naik marah lalu bergegas menuju ke pokok itu untuk menebangnya . Tiba-tiba muncullah syaitan sekali lagi dengan rupa sebagai seorang manusia biasa .


“ Apa lagi kamu mahu ? “ ; tanya syaitan .


“ Aku mahu menebang pokok ini kerana marah dengan perbuatan manusia mensyirikkan ALLAH “ ; jawab pemuda itu .

Syaitan pun berkata : “ Kau penipu ! . Sebenarnya bukan kerana ALLAH , tetapi kau datang kerana mahukan dua dinar yang aku janjikan kepada engkau sebelum ini . Engkau tak akan dapat menebang pokok ini “ .

Lalu bertambah marahlah lelaki itu . Maka terjadilah pergaduhan di antara lelaki itu dengan syaitan yang menyamar sebagai seorang manusia biasa . Lelaki itu dihempas ke bumi dan hampir sahaja syaitan itu meragut nyawanya .

Lalu syaitan itu pun berkata : “ Tahukah engkau aku ini sebenarnya adalah SYAITAN ? ….. Pada mulanya dahulu engkau datang betul-betul marah dengan ikhlas kerana ALLAH semata-mata. Sebab itu aku tidak mampu mengalahkanmu . Namun pada hari ini , engkau datang dengan marah bukan lagi kerana ALLAH , tetapi kerana tidak mendapatkan dua dinar itu , maka aku berjaya kalahkan engkau “ .



Kesimpulan ringkasnya ialah : IKHLAS + YAKIN + TAWAKKAL + HUSNU ZHON = TAUHID = Senjata Paling Menakutkan Iblis – Syaitan – Jin .








ii – Senjata Kedua : ZikrulLoh & Ayat-Ayat Suci


ZikrulLoh : Artinya : Ingat Kepada ALLAH atau Menyebut-nyebut nama-nama ALLAH .


Seperti seseorang lelaki yang “ tergila-gila “ kepada seseorang wanita , bukan sahaja hatinya akan selalu ingat kepada wanita itu bahkan lidahnya juga tak putus-putus menyebut namanya . Maka betapa pula orang yang “ jatuh cinta “ lalu “ gila “ kepada ALLAH TA’ALA !?


Tanpa ZikrulLoh , Iblis – Hantu – Syaitan – Jin akan selalu menang dan berjaya menakut-nakutkan bahkan menguasai dan merasuk seseorang itu .


Firman ALLAH TA’ALA di dalam Surah Az-Zukhruf ; Ayat ke-36 :


وَمَن يَعْشُ عَن ذِكْرِ الرَّحْمَٰنِ نُقَيِّضْ لَهُ شَيْطَانًا فَهُوَ لَهُ قَرِينٌ

Artinya : Dan sesiapa yang tidak mempedulikan ( lupa / lalai ) daripada  mengingati ( ALLAH ) Yang Maha Pemurah , ( Pasti )  Kami akan adakan baginya Syaitan ( yang menghasut dan menyesatkannya ), lalu jadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya ( pendamping )  “


Ada berbagai jenis ZIKRULLOH yang berupada Wirid – Doa – Zikir yang menjadi kekuatan jiwa seseorang hamba itu untuk menghadapi berbagai pancaroba dan cubaan di dalam hidup ini , bahkan ia juga sebagai sebilah PEDANG TAJAM YANG TERHUNUS dan sebuah PERISAI WAJA di dalam melawan segala makhluk yang sesat lagi menyesatkan yang memusuhi anak-anak keturunan Nabi Adam ( ‘Alayhis Salam ) ini .


Di antaranya adalah :


( a ) – Surah As-Sajadah ~ Hantu-Syaitan akan lari dan menangis apabila mendengar ia dibacakan – Hadis Sahih Riwayat Al-Imam Muslim ( 2/29 ) dan Al-Imam Ibnu Majah ( 1 / 334 )


( b ) – Surah Al-Baqarah ~ Hantu-Syaitan tidak akan mampu masuk ke dalam sesebuah rumah yang selalu dibaca di dalamnya Surah al-Baqarah – Hadist Sahih diriwayatkan oleh : Imam Ahmad , Imam Muslim ( 3/28 ) dan Imam At-Tirmidzi ( 4/232 )


( c ) – Dua  Ayat Terakhir daripada Surah Al-Baqarah ( Amanar Rosulu bi ma unzila ….. ) ~ Ia adalah sebagai pelindung daripada gangguan Hantu-Syaitan , bahkan dikatakan juga sebagai pelindung daripada sebarang bentuk kejahatan – Hadits Sohih Riwayat  Imam Al-Bukhari ( 9/55 )  dan  Imam Muslim ( 6/92 )


( d ) – Al-Mu’awwidzat : Iaitu Surah-Surah Pelindung yang terdiri daripada Surah Al-Ikhlas , Al-Falaq dan An-Nas ~ Ia juga adalah sebagai pelindung daripada gangguan Hantu-Syaitan , bahkan dikatakan juga sebagai pelindung daripada sebarang bentuk kejahatan .

Dinyatakan oleh isteri Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi wa Alihi wa Sohbihi wa Sallam ) bahawa  Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi wa Alihi wa Sohbihi wa Sallam ) setiap kali mahu tidur akan membaca ketiga-tiga surah tersebut. Kemudian Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi wa Alihi wa Sohbihi wa Sallam ) akan menghembus ke dua-dua tapak-tangganya dan menyapu ke seluruh anggota tubuh-badannya sebanyak 3 kali dimulai daripada kepala hingga ke kaki – Hadits Sohih Riwayat  Imam Al-Bukhari ( 11/125 )  dan  Imam At-Tirmidzie ( 5/139 )



( e ) – Membaca : “  بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ     Bismillah – Tawakkaltu ‘alalLoh – La Haula wa La Quwwata illa billah “ – Artinya : “ Dengan (menyebut) nama ALLAH – Aku bertawakkal kepada ALLAH – Tidak Ada Sebarang Perancangan dan Tidak Adalah Sebarang Kekuatan Melainkan Dengan (Izin) ALLAH   ~ Dengan izin ALLAH , orang yang membaca kalimat-kalimat ini agar terjaga dan  terpelihara daripada sebarang gangguan Hantu-Syaitan serta diberikan petunjuk ALLAH  dan dijatuhkan setiap langkah syaitan yang cuba menganggunya  – Hadits Hassan Sohih Riwayat  Imam Abu Daud dan Imam At-Tirmidzie


( f ) – Membaca : “  أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ     A’udzu bi Kalimati llahit Tammati Min Syarri Ma Kholaq “ – Artinya : “ Aku berlindung dengan segala kalimah ALLAH daripada segala macam kejahatan ( keburukan ) yang diciptakanNYA  ~ Dengan izin ALLAH , orang yang membacanya tidak akan ditimpa oleh sebarang bahaya ( termasuk gangguan Hantu-Syaitan-Jin ) – Hadits Sohih Riwayat  Imam Muslim ( 17/31 ) 


( g ) – Membaca : “  بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ    Bismillahil ladzi La Yadhurru Ma’as mihi Syaiun fil Ardhi wa la fis sama’i wa Huwas Sami’ieul ‘Alim  “ – Artinya : “ Dengan (menyebut) nama ALLAH Yang Tidak Ada Apa Pun Dapat Membahayakan , Samada ( Bahaya ) daripada bumi atau daripada langit. Sedangkan DIA lah ( TUHAN ) Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui   Dengan izin ALLAH , orang yang membacanya tidak akan ditimpa oleh sebarang bahaya ( termasuk gangguan Hantu-Syaitan-Jin ) – Hadits Sohih Riwayat  Imam Abu Daud , Al-Imam At-Tirmidzie dan Al-Imam Ibnu Majah .



( h ) – AZAN & IQAMAH  : ~ Hantu-Syaitan akan lari lintang-pukang apabila mendengarnya bahkan lari sehingga terkincit-kincit   – Hadits Sohih Riwayat  Imam Al-Bukhari , Al-Imam Muslim , Imam Abu Daud , Al-Imam At-Tirmidzie dan Al-Imam Ibnu Majah .








iii – Senjata Ketiga : Jangan Meniru-Niru Perangai Syaitan



Semua sifat mazmumah ( tercela ) adalah perangai-perangai Iblis – Hantu – Syaitan . Seperti TAKBUR , HASAD DENGKI , BERPALING DARIPADA KEBENARAN , MEMPERJUANGKAN KESESATAN , TAMAK HALOBA , SUKA MEMBAZIR , SUKA BERCAKAP KOTOR , LALAI DARIPADA BERIBADAH SERTA MENGINGATI ALLAH DAN SUKA KEPADA MAKSIAT .


Seseorang yang suka dengan perangai-perangai Hantu-Syaitan ini adalah seumpama SAUDARA-MARA dan SEPUPU-SEPAPAT Hantu-Syaitan sehinggalah dia bertaubat kepada ALLAH TA’ALA dengan taubat nasuha ( taubat bersungguh-sungguh ) .


Sedangkan orang yang berperangai dengan akhlak mulia serta beramal pula dengan Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi wa Alihi wa Sohbihi wa Sallam ) adalah MUSUH KETAT golongan Hantu-Syaitan ini .


Termasuklah apabila kita beramal dengan Sunnah Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi wa Alihi wa Sohbihi wa Sallam ) dengan bersungguh-sungguh , maka itu bukan sahaja dibenci HANTU-SYAITAN-JIN ini , bahkan itulah yang menyebabkan mereka akan LEMAH DAN KALAH ! .


Contohnya : Seseorang yang mengenakan minyak wangi seperti Kasturi dengan niat kerana hendak mencontohi Sunnah Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi wa Alihi wa Sohbihi wa Sallam ) . Ini sangat ditakuti oleh Hantu-Syaitan-Jin . Dan daripada sinilah diambil sebagai salah satu kaedah yang digunakan untuk menghadapi gangguan makhluk terkutuk ini , adalah dengan  minyak kasturi ini sebagai alat ( medium ) rawatan dan pencegahan  .


 
FORMULA : Apa sahaja disukai Baginda RosululLoh ( SollalLohu ‘alayhi wa Alihi wa Sohbihi wa Sallam ) adalah SUMBER KEKUATAN kita dan penyebab kelemahan golongan syaitan ini .

Dan apa sahaja yang disukai oleh Hantu-Syaitan ini , adalah penyebab kita kalah kepada mereka .



Demikianlah secebis paparan mengenai KELEMAHAN HANTU-SYAITAN buat kali ini . Semoga dengan sedikit perkongsian ilmu dan maklumat ini , kita semakin berusaha mendekati ALLAH TA’ALA sehingga kita mampu mengalahkan musuh-musuh TUHAN kita dan musuh kita sendiri iaitu Iblis – Hantu – Syaitan – Jin Kafir / Munafiq yang dilaknat ALLAH TA’ALA sentiasa . 






WalLohu A’alam Bis Sowab . Wassalam .





CINDAI PELANGI ®

 I S N I N
25 / Sya’aban / 1433 Hijrah = 15 / Julai / 2012 Masihi
KUALA LUMPUR




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

SELAMAT DATANG & MENIKMATI 1001 MANFAAT

" Selamat Datang. Berhentilah & berehatlah seketika di sini !. Mungkin ada apa-apa isi yang menarik & bermanfaat untuk anda semua "