Yang Lama VS Yang Baru ???
Ayat ataupun slogan di atas adalah ayat yang sering terngiang-ngiang di telingaku.
Betapa tidak !?. Ia amat bertepatan dengan peganganku dan aku senantiasa berkerja keras dan berdoa ke hadrat Ilahi agar tindak-tandukku ini tidak lari dari pegangan dan prinsip itu selagi ianya tidak bertentangan dengan redhaNYA Yang Maha Kuasa.
Ketika aku berada di bangku sekolah menengah dahulu ( sebelum aku beralih ke aliran Sekolah Menengah Agama ), cita-citaku adalah untuk belajar di U.K ataupun U.S. Targetku, untuk menyambung pelajaran di dalam bidang Seni Bina ( Architecture ). Namun, itu hanya rancangan aku sebagai manusia. " Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan ".
Tup.... tup... tau-tau selepas 6 bulan aku berada di Tingkatan 4 ( Aliran Sastera di Sekolah Menengah Kebangsaan di kampungku ), tiba-tiba datang satu azam yang kuat untuk aku menukar bidang pengajianku, iaitu ke aliran agama.
Satu kejutan !. Kejutan buat teman-teman yang mengenaliku dan guru kelasku ( Puan Julie Abdullah ). Apa tidaknya ?, aku yang dianggap agak nakal ini ( tapi tak jahat tau ! ) tiba-tiba nak ke " sekolah Arab ". Aku jawab : " Kalau tak percaya nanti tengoklah !".
Selepas melalui ujian kelayakan masuk ke " sekolah Arab " , aku pun dibenarkan masuk ke kelas 4 Tsanawi. Aliran yang menyediakan pengajian Agama & Arab sebanyak 14 subjek dan pengajian SPM sebanyak 10 subjek. Semua subjek 24 subjek. Bebanan belajar semakin bertambah, tapi aku mesti harungi juga sebab ini adalah pilihanku. Budak-budak sekolah Sains yang biasa dianggap hebat seperti MRSM pun aku rasa tak mampu nak belajar 24 subjek dalam masa setahun.
Apabila dah belajar di " sekolah Arab " ni, perancanganku untuk " sambung belajar di UK / US " pun tergendala. Bahkan target ku kali ini mahu ke Lucknow, India iaitu ke Universiti Nadwatul Ulama' . Kealiman dan kesederhanaan yang biasa ku lihat pada 'alim-ulama' India-Pakistan menyebabkan hatiku lebih cenderung untuk ke sana, berbanding negara-negara Arab.
( Gambar : Universiti Nadwatul Ulama' , Lucknow, India )
Slogan di atas sebenarnya adalah slogan / motto Universiti Nadwatul Ulama' , di Lucknow, India. Slogan itu sekaligus menguatkan lagi azamku untuk belajar bersungguh-sungguh hingga sampai cita-citaku untuk belajar di sana.
Sekali lagi, " Kita hanya merancang, tetapi Tuhan yang menentukan ". " Jika tidak dapat ke Lucknow ataupun Deoband di India, aku akan ke Karachi, Pakistan " ; kata hatiku. Namun, disebabkan masalah dalam negara India & Pakistan yang sangat bergolak hebat di awal tahun 90'an menyebabkan aku tidak dapat melanjutkan pelajaran ke sana.
Akhirnya, aku memutuskan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir.
( Gambar : Masjid Jamek Al-Azhar ash-Sharif, Kaherah, Mesir sebagai Universiti tertua di dunia dan Kiblat Ilmu Kaum Muslimin )
Sepanjang aku berada di Mesir, aku biasa mendengar dan membaca tulisan-tulisan yang berkaitan dengan isu di atas. Kalau di India, ulama' yang paling tersohor mengungkapkan kata-kata di atas adalah Maulana Syed Abul Hassan 'Ali an-Nadwi ( rahimahullah ).
( Gambar : Maulana Sayyid Abul Hassan 'Ali an-Nadwi RahimahulLoh )
Di Mesir pula, ulama' yang sering mengungkapkan slogan di atas adalah Al-'Allamah Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
( Gambar : Asy-Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi HafizohulLoh )
Slogan / Motto di atas adalah simbol kebanggaan ulama' dan mahasiswa Universiti Nadwatul Ulama' . Dan aku pernah mendengar bahawa di salah-sebuah bangunan di kampus induk Universiti Al-Azhar di Kaherah juga ada digantung slogan itu. Namun aku tidak pernah menemuinya selama aku berada di Mesir. Tapi aku yakin dan percaya, jika ia tidak digantung sekalipun di mana-mana dinding Universiti Al-Azhar, ia tetap tergantung utuh dan tersemat rapi di dalam dada-dada ulama' Al-Azhar.
Mengapa pula aku berpandangan begitu ?. Sebab itulah yang aku dapati dari sebahagian besar pandangan dan ilmu para ulama' Al-Azhar.
Dan aku lebih yakin dan percaya yang Islam yang diturunkan sebagai rahmat oleh Allah SWT tidak akan memusuhi setiap warisan tradisional yang masih elok dan tidak pula bersikap dingin terhadap sebarang kemodenan yang mendatangkan manfaat, dengan syarat ianya tidak bertentangan pula dengan kehendak Allah SWT itu sendiri.
Nah !, apakah anda juga selesa dengan slogan / motto / pegangan itu ?.
Jika tidak, cubalah cari apa-apa slogan / motto yang jauh lebih baik dari itu sekaligus dapat menzahirkan kehebatan dan keindahan agama Islam ini.
Hati-hati !!!. Jangan sampai tindak-tanduk dan pegangan anda menyebabkan Islam terfitnah !, Atau Islam dipandang rendah.
Sekian. Wassalam.
CINDAI PELANGI
4 - Ramadhan - 1430 Hijri /
25 - Ogos - 2009 Masihi
KUALA LUMPUR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.