SILA LAYARI JUGA

http://www.facebook.com/profile.php?ref=name&id=100000598573122

http://www.silat.tv/profile/cindai_pelangi
Memaparkan catatan dengan label Yang Sering Kita Lalai dan Lupa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Yang Sering Kita Lalai dan Lupa. Papar semua catatan

Jumaat, 20 Januari 2012

BODOH DAN MAKIN DIPERBODOHKAN PULA !


BODOH DAN MAKIN DIPERBODOHKAN PULA !


{ 1 } 


Suatu hari aku berjalan di sebuah pasaraya . Tiba-tiba aku ditegur oleh seorang jurujual , katanya : “ Abang dah ada ASTRO di rumah ?. Jika belum, marilah mendaftar sekarang . Dan jika sudah ada, apa kata abang tambah satu lagi di rumah. Kita ada promosi ni bang, pemasangannya percuma “ .

Dan aku menolak tawaran itu secara sopan walaupun di dalam hatiku menyampah tak terkira … He He He ! .

Kenapa ? .

Ya lah ! . Yang dah ada di rumah pun tak sempat untukku tontoni, inikan pula mahu menambah satu lagi . Apalah gunanya ? .

Bahkan,  aktivitiku sehari-harian, samada yang berkaitan dengan kerja rasmiku mahupun kerja sosial yang kulakukan setiap hari menerusi beberapa pertubuhan dan kelab kemasyarakatan , menyebabkan aku memang tidak punya masa untuk menonton TV .

Berita-berita di dalam TV itu pun , aku memang tak ambil peduli. Lagipun , berita-berita penting semuanya masuk ke dalam ‘henfon’ ku dan biasa juga ku baca secara ‘on-line’ @ internet . Maka bagiku , tak perlulah aku nak ‘menghabiskan masa’ di hadapan TV pula untuk menonton berita-berita itu .

Lagipun , kebanyakan berita di dalam TV itu pun lebih banyak ‘ menaikkan darah ‘ ku . Apa tidaknya apabila ia hanya disajikan di dalam keadaan ‘ berat sebelah ‘ dan ‘ penuh penipuan fakta ‘  ? .

Aku tak hairan dengan semua berita itu … tak kiralah sumber Agensi Berita itu tersohor di seantero dunia sekalipun …. CNN , BBC , REUTERS … dan lain-lain …. Bagiku, semuanya penuh pembohongan dan lebih kubenci kerana semuanya memberikan ‘ gambaran yang negatif ‘ terhadap kesucian agama yang ku anuti ini ; AGAMA ISLAM ! .

Cukuplah bagiku “ BERITA DARI LANGIT “ yang tiada langsung sebarang noda dan dusta ; AL-QURANUL KARIM .


{ 2 }


Di seluruh rangkaian TV Tempatan dan termasuklah ASTRO , pasti banyak drama ‘ luar ‘ yang diimport masuk dan ‘ disajikan ‘ sebagai ‘ hidangan mata ‘ kepada rakyat negara ini .

Tak kiralah ianya drama ‘ American – Latin ‘ ,  Dari India : Bollywood dan Tollywood nya , dari Phillipina nya  dan dari negara jiran yang menggelar drama ini sebagai ‘ SINETRON ‘ .

Kebanyakan drama ini , menurut pandanganku , tidak lebih hanyalah drama-drama murahan yang dibeli secara borong dengan harga pukal yang begitu murah dan kemudian ‘ dijual ‘ kepada rakyat Malaysia ini dengan harga yang mahal . Dijual dengan cara disogokkan ke mata-kepala mereka .

Drama yang penuh dengan kebodohan dan membantutkan pula semangat ‘ survival ‘ yang sepatutnya ada pada setiap diri yang punya akal yang waras .

Lihatlah sahaja kepada ‘sinetron-sinetron’ dari Indonesia itu . Bukan tidak ada sebenarnya yang bagus isinya dan baik olahan ceritanya . Namun yang baik itu bukanlah pilihan stesen-stesen penyiaran TV itu . Dipilihlah yang rendah mutunya dan murah harganya , agar modalnya sedikit dilabur namun labanya (untungnya) besar dapat dipungut ! .

Kebanyakan sinetron-sinetron dari Indonesia yang disiarkan oleh rangkaian-rangkaian TV di negara kita akan menyebabkan kita bertemu dengan adegan – adegan berikut :

( 1 ) – Ibu tiri yang jahat yang senantiasa menzalimi anak suaminya tanpa anak itu dapat membela dirinya sendiri ataupun dibela oleh bapa kandungnya .

( 2 ) – Gadis desa (kampung) yang datang ke sekolah / kolej di bandar dan dipermain-mainkan oleh teman-teman sekampus yang lebih ‘advance ‘ gaya hidup mereka ataupun ditipu oleh ‘ buaya-buaya darat ‘ di kampus itu .

( 3 ) – Apa –apa sahaja watak dan karakter yang akhirnya menonjolkan sifat bodoh – pasrah – tidak melawan !.

Apakah ada agenda tersembunyi di sebalik stesen-stesen penyiaran TV dan juga pihak pemerintah di sebalik pemilihan drama-drama seperti itu selain dari ‘ nilai keuntungan material ‘ semata-mata ? .

Atau sebenarnya drama-drama bodoh seperti itu memang lebih digemari oleh kebanyakan sang politikus yang menguasai pentas utama pemerintahan , kerana watak sebagai seorang yang bodoh – pasrah – tidak melawan itu sangat-sangat menjamin kelangsungan pemerintahan seseorang politikus yang biasa menindas rakyat bawahannya ? . 




{ 3 }


Aku adalah umat RasululLah { Sollahu ‘Alayhi Wa Sallam } . Dan aku biasa diperingatkan oleh sepotong hadist Baginda { Sollahu ‘Alayhi Wa Sallam } yang mafhumnya :

(( “ Orang yang beriman itu tidak akan disengat di lubang yang sama sebanyak dua kali “ )) .

Dalam bahasa lain : “ Orang yang beriman itu tidak akan jatuh di lubang yang sama sebanyak dua kali “ .

Mengapa begitu hadistnya ? .

Ya, memang sepatutnya begitulah sifat yang perlu ada pada setiap individu yang beriman benar-benar kepada ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA dan RasulNYA { Sollahu ‘Alayhi Wa Sallam } .

Iman mestilah selaras dengan Ilmu dan Amal . Tidak mungkin seseorang itu beriman tanpa adanya ilmu dan tanpa diamalkan pula ilmu yang dituntut itu .

Tidak ada istilah BERTAQLID BUTA @ MEMBUTA TULI @ MEMBABI-BUTA di dalam urusan beriman !. Itulah yang hukuman yang putus ( muktamad ) dari lisan ulama’ kita – Salafus Solihin hingga ke zaman Khalaf , mutakhiirin ini .

Sebab itulah ayat pertama diturunkan pun berbunyi : “ IQRO’ ….. “ ( Bacalah ! ) . Bacalah artinya : Tambahlah ilmu pengetahuan = Belajarlah ! .

Dengan roh “ IQRO ‘ …. “ itulah akan melahirkan sifat FATONAH = Kecerdikan .

Artinya ; IQRO ‘ – FATONAH – IMAN adalah selari . Sehati-sejiwa . Seiya-sekata .

Dan mana mungkin seseorang yang cerdik itu akan ditipu oleh orang yang sama atau dengan cara yang sama sebanyak dua kali ??? .

Jika ia berlaku , itu tandanya seseorang itu MASIH BODOH dan TIADA / KURANG WASPADA ! .

Dan mana mungkin seseoran yang beriman itu membiarkan dirinya masih bodoh dan tiada / kurang waspada sehingga selalu ditipu dan ditindas , samada oleh musuh-musuhnya yang zahir dilihat dek mata kasar mahupun yang batin ! .

Dan mana mungkin seseorang yang beriman dengan sebenar-benarnya membiarkan dirinya terus dizalimi dan ditindas tanpa ada sebarang tindakan untuk bangkit semula menebus maruah dirinya mahupun agamanya !? .

Namun , masih ada yang akan terus berkata dan beralasan ; “ Alahai …. Itu kan hanya sekadar hiburan . Apalah nak disibukkan ? “ .

Jawabku : “ Ya, dan itulah yang tidak disedari oleh kebanyakan kita… Alangkah malangnya masih ada manusia yang merasa terhibur apabila mereka ditipu dan diperbodohkan “ .

Maaf , aku tak mahu jadi orang yang masih bodoh lagi diperbodohkan berkali-kali dan tidak pula aku mahu jadi orang yang ditindas dan dizalimi tanpa sebarang pembelaan .

Aku adalah muslim dan aku adalah mukmin = orang yang beriman .

Dan aku tidak akan membiarkan imanku ini , yang walaupun hanya tinggal senipis kulit bawang , akan terus diraut dan dibuang lagi kulitnya sehingga tiada sebarang helaian iman tertinggal di jasad dan sanubariku ! .

Aku berlindung denganMU Ya ALLAH ; Yang Maha Gagah Lagi Yang PerlindunganNYA tiada dapat dicabar dan ditembusi dari segala macam tipu-daya dan kezaliman musuh-musuhMU ; samada musuh yang dilihat sebagai makhluk yang sama rupa bentuk dan tutur-katanya dengan diriku ini mahupun yang berlainan rupa-bentuknya dan ghaib dari pandangan pancainderaku yang serba lemah ini .

Amin Ya Robbal ‘Alamin .




CINDAI PELANGI ®
Jumaat Al-Mubarokah
26 / Safar / 1433 Hijrah = 20 / Januari / 2012 Masihi
KUALA LUMPUR




Selasa, 30 Mac 2010

ANTARA GILA DENGAN GILA-GILA

ANTARA GILA DENGAN GILA-GILA







( 1 )


Apa itu “ GILA “ ?



Apa pula “ GILA-GILA “ ?


Macam Lembu ( Sapi = Cow ~ dalam Bahasa Inggeris ) dengan Kerbau ( Buffalo ).


Ia macam sama.


Ya, memang sama, tapi tak serupa.

" Gila Kerja " tidak mengapa... asalkan jangan " Kerja sampai jadi Gila "





( 2 )


Siapakah pula yang dipanggil “ PROFESOR “ ?.


Biasanya ia adalah seseorang pensyarah ( guru ) di sesebuah universiti dan telah melakukan banyak kajian di dalam bidang yang menjadi pengkhususannya.


Dan biasanya dia juga telah dinaikkan pangkat mengetuai sesuatu jabatan ataupun fakulti di sesebuah universiti.


Ada yang dipanggil “ Profesor “ dan ada “ Profesor Madya “ .


Ada juga “ Profesor Emiritus “ dan yang paling tertinggi di Negara kita ini dipanggil “ Profesor DiRaja “.



( 3 )


Percayakah anda bahawa orang yang bergelar “ PROFESOR “ itu ada yang gila akhirnya ?.


Dan ada juga yang “ GILA-GILA “ ?.


Jadi, apa bezanya di antara “ GILA “ dengan “ GILA-GILA “ ?.


Kadang-kadang ia memang sukar untuk dibezakan.


Hanya “ Jauhari yang mengenal manikam ! “.


Ada yang mengatakan “ GILA “ itu ialah penyakit ( sakit jiwa ), sedangkan “ GILA-GILA “ pula adalah “ PERANGAI / SIFAT “ .


Walaupun begitu, ianya memang sukar untuk dibezakan.


Seseorang yang sentiasa bersifat “ GILA-GILA “ jika tak kena caranya, ada kemungkinan juga boleh “ GILA “.



“ GILA “ juga ada berbagai jenis. Ada “ Gila Duit “ ( ini penyakit yang dideritai oleh hampir kebanyakan orang ), ada “ Gila Perempuan “ , ada “ Gila Judi “, ada “ Gila Mabuk @ Kaki Botol “ , ada “ Gila TV “, “ Gila Disko “ ……….. dan berbagai lagi.



“ GILA BABI “ pun satu istilah yang diberikan kepada sebahagian “ Orang Gila “ . Walaupun ia dinamakan “ GILA BABI “ , tetapi ia jauh berbeza dengan “ BABI GILA “.


Yang pasti, jika seseorang muslim itu bersentuhan dengan orang yang “ GILA BABI “, ia tidak perlu disamak.
Apabila dah jadi " Gila Study " , ada masyarakat yang akan mengatakan yang " bukan-bukan ". Biarlah, pedulikan apa kata orang dan cemuhan itu, asalkan kita berjaya mencapai apa yang kita idam-idamkan.








( 4 )



Apakah ada orang yang bergelar “ PROFESOR “ itu “ GILA “ ?. Jika berperangai “ GILA-GILA “ , itu tidak menghairankan . Ini berpenyakit “ GILA “.



Mungkin anda mengatakan yang aku ini sengaja mahu “ mereka-reka “ ( rekayasa ~ kata orang Indonesia ) cerita ataupun sengaja mencipta kisah itu untuk dimuatkan di halaman blogku ini.


Itu terserah pada anda semua. Mahu percaya ataupun tidak, aku tak kisah dan sedikit pun aku tak rugi.



Padaku , meneliti dan memerihatikan kejadian yang berlaku di sekelilingku boleh menambah lagi iman dan syukurku kepada Tuhanku ; ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA.



( 5 )



Aku ada seorang teman rapat yang ku anggap sebagai “ abang angkat “. Dia mempunyai seorang kawan yang turut ku kenali. Kawannya itu adalah seorang “ PROFESOR “ yang mengajar di salah-sebuah universiti terkenal di ibu kota ; Kuala Lumpur.



Banyak kisah yang menarik mengenai dirinya yang menyebabkan aku apabila mengenanginya, aku merenung dan berfikir.


Inilah kisahnya …………



( 6 )



Ketika Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed mula-mula menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia pada awal tahun 80’an dahulu, beliau banyak memperkenalkan dasar itu dan ini.



Di antaranya beliau memperkenalkan “ Dasar Pandang ke Timur ( Jepun ) “. Harapannya rakyat Malaysia akan menjadi maju seperti masyarakat Jepun dengan dasar yang baru diperkenalkan itu.



Lalu beliau memperkenalkan waktu / masa yang lebih cepat 30 minit daripada itu. Jika jam pada waktu itu 7.00 pagi, maka ia diubah menjadi 7.30 pagi.



Si Profesor ini ketika itu, biasa berjalan dengan memakai dua jam di tangan kanan dan kirinya. Apabila ditanya : “ Profesor !, mengapa pakai sampai dua jam tangan ? “.




Beliau pun menjawab : “ Ha !, satu untuk waktu yang kita pakai selama ini dan satu lagi untuk waktu baru yang Perdana Menteri perkenalkan “.

( 7 )




Suatu hari, Si Profesor ini mencabut bumbung dan tingkap jipnya. Jadilah macam jip yang biasa digunakan di padang golf.


Apabila ditanya mengapakah beliau berbuat begitu , apakah tidak takut basah jika hujan turun ?.


Beliau menjawab : “ Tak apa ( tidak mengapa ) !, kan saya ada bawak ‘rain coat’ ( baju hujan ) !.


Salah-satu gaya pakaian " Kumpulan Muzik " yang menjadi ikutan muda-mudi sedunia sekarang. Apa pun lagu yang mereka bawa... Rap ke, Hip-Hop ke ataupun R&B itu bukan yang menjadi isunya sekarang. Isunya, apakah pakaian seperti ini sesuai di pakai di negara kita yang cuacanya sentiasa " panas terik ". Pernah juga ku melihat sekumpulan anak-anak muda, memakai seperti " Rain Coat " ini tetapi berseluar pendek.... ia benar-benar menghairankan aku !.






( 8 )


Suatu hari Si Profesor ini bersiap-siap untuk menghadiri kenduri perkahwinan ( walimah pernikahan ) kawannya. Kawannya ini pula sudah lanjut umurnya. Maka, sudah pastilah majlis ini merupakan satu peristiwa yang penting buat dirinya dan kawan-kawannya.


Si Profesor ini pun pergilah dengan mengajak dua orang lagi kawannya yang turut sama mengenali “ pengantin baru “ ini.


Dibawalah bersama-sama ke majlis itu beberapa jambak bunga dan juga gong ( sejenis alat muzik tradisional ).


Apabila ditanya : “ Mengapa Profesor membawa bunga dan gong ? “.


Beliau menjawab : “ Kawan kita itu kan pengantin. Bunga ini sebagai hadiah untuknya “.


“ Habis tu, gong ni pula , kenapa dibawa juga ? “ ; Tanya lagi kawan-kawan yang mengiringi Si Profesor itu.


“ Laaa !, pengantin baru tu kan dipanggil sebagai ‘Raja Sehari’ . Bukankah raja di Negara kita apabila menaiki takhtanya akan ditabalkan ( dirasmikan ) dengan adat memukul ( palu ) gong. Haaa…. Aku bawa gong ini sebab aku nak pukullah ! “.


Apabila sampai di majlis tersebut, Si Profesor ini betul-betul mahu memukul gong yang dibawanya.


Ada yang ketawa melihat gelagatnya itu. Ada pula yang lari sebab dah tahu perangai Si Profesor ini.


Si Pengantin Lelaki yang merupakan kawan Si Profesor ini pun lari. “ Dah buat gila pulak dah dia tu “ ; kata Si Pengantin Lelaki.



Mr. Bean adalah satu watak pelawak yang sering dikaitkan dengan " kebodoh-bodohan " dan " kegila-gilaan  " . Walaupun begitu dalam beberapa situasi, beliau juga dilihat seorang yang cerdik terutamanya ketika menggunakan akal dan apa sahaja yang ada di sekelilingnya untuk " survive " ( meneruskan hidup ).






( 9 )


Apabila berlaku peristiwa Datuk Seri Anwar Ibrahim ( DSAI ) ditangkap pada tahun 1998 kerana mengetuai “ Gerakan Reformasi “, Si Profesor ini pun ditangkap.


Sebabnya, beliau berjalan dengan memakai “ poster “ di depan dan di belakangnya. Kata Si Profesor itu : “ Aku kenal sangat dengan Anuar Ibrahim tu. Dia anak murid aku masa aku mengajar di MCKK ( Malay College of Kuala Kangsar ) . Dia bukan sebagaimana yang dituduh itu “.


Poster yang dipakai didepannya tertulis : “ BEBASKAN ANUAR DAN GUAN ENG ! “ dan di belakang pula tertulis : “ UNDUR MAHATHIR, UNDUR ! “.


Si Profesor ini pun berjalan di sekitar Ibu Kota Kuala Lumpur, di antara kawasan Masjid Jamek – Wisma Yakin – Kompleks Pertama. Semua memata memandang kepada beliau kerana beliau melakukannya berseorangan diri dan di situ jugalah beliau ditangkap polis.


Akhirnya di bawa ke mahkamah. Apabila pertuduhan dibacakan terhadap beliau yang berbunyi : “ Bahawa kamu yang bernama ………. Pada tarikh …………. Telah didapati bersalah kerana melakukan perbuatan yang boleh menjejas ketenteraman awam dan boleh menimbulkan kemarahan orang ramai ! “.


Si Profesor ini terus menjawab : “ Saya tak bersalah , tuan !. Mana ada orang marah. Semua orang buat begini “ sambil beliau mengangkat kedua-dua ibu jari tangannya yang menunjukkan makna “ BEST !!! “ ( Bagus ).


Tapi akhirnya Si Profesor ini mengaku bersalah juga apabila mengenangkan kerjanya yang “ besar “ itu di universiti dan tiada Dato’ Seri Anuar Ibrahim yang dapat menjaminnya ( kerana beliau juga ditangkap ketika itu ).





Semenjak Era REFORMASI 1998, sering terlihat kezaliman bermaharajalela. Apakah patut Pasukan Keselamatan seperti PDRM dan FRU yang lengkap dengan senjata dan pakaian keselamatan itu " membelasah " orang-orang awam yang hanya mahu " BERDEMONTRASI AMAN " tanpa membawa sebarang senjata . Dengan Chin Peng yang komunis itu pun boleh diajak berunding dengan aman, inikan pula dengan sesama rakyat Malaysia !?.




( 10 )


Si Profesor ini pernah bercerita mengenai satu pengalamannya di Belanda ( Holland ). Beliau ke sana kerana memenuhi jemputan dari pihak sebuah universiti di sana.


Si Profesor ini masuk ke salah-sebuah kelas. Si Belanda yang mengajar ( Pensyarah ) di kelas tersebut juga menjawat jawatan “ PROFESOR “.


Si Belanda itu memerhatikan senarai kehadiran pelajar-pelajarnya dan menyebut nama satu persatu. Semua nama disebutnya, samada yang hadir mahupun yang tidak.


Si Profesor yang berbangsa Melayu ini pun berkata : “ Ish, ish ish !. Kenapalah kau baca satu-satu nama. Cukuplah baca nama-nama orang yang tidak hadir. Kau pun “ GILA “ juga rupa-rupanya !!! “.



( 11 )


Itulah sebahagian kisah Si Profesor itu.


Jadi mari kita berfikir sekali lagi : “ APAKAH BEZANYA GILA DENGAN GILA-GILA ??? “.







CINDAI PELANGI ®


14- Rabi'iul Akhir - 1431 H


30 - Mac - 2010 M


5.30 Petang


KUALA LUMPUR










Rabu, 24 Februari 2010

SALAHKAH JIKA AKU SUKA DENGAR LAGU ?


SALAHKAH JIKA AKU SUKA DENGAR LAGU ?


(1)

Apa itu " LAGU " ?. Bagiku ianya adalah " NYANYIAN ". Ia juga adalah " IRAMA ". Ia juga adalah " MUZIK ". Artinya jika sesuatu perkataan itu dikeluarkan dari mulut dengan irama yang biasa dianggap sebagai " BERCAKAP = BERBICARA " maka ia akan dianggap " bercakap ".


Jika ia dikeluarkan dengan " irama " dan ada turun-naiknya, maka itulah yang dianggap sebagai " LAGU ".


" MEMBACA " dengan nada / suara yang agak jelas kedengaran pula bukanlah dianggap sebagai " BERCAKAP " dan apatah lagi sebagai " BERLAGU " , kerana umumnya semua manusia yang waras akalnya pasti dapat membezakan di antara ketiga-tiga hal itu.


( 2 ) 

Apa lagi maksudnya " LAGU " itu ?. Nak mudah faham, cuba kita lihat dialog yang biasa kita dengar ini.


 Mak Hajah : Ha !, abang baru balik dari masjid ?. Siapa jadi tok imam tadi ?. Sedap saya dengar bacaan dia tadi. Sampai ke rumah ni dengar suara dia.

Pak Haji : Alah.... tadi yang datang Kuliah Maghrib kat surau kita tu , Ustaz _ _ _ _ _ _ _ _ . Memang la sedap bacaan dia. " LAGU "nya pun bagus. Cuma , entahlah !, saya rasa " BAB TAJWID " tu , ustaz tu ada masalah lah , terutamanya bab " makhraj " dan " hukum-hakam nun mati ".

Dari dialog ini fahamlah kita bahawa ada orang yang membaca Al-Quranul Karim dengan " berlagu " ( tarannum ) dan ada pula yang tidak.


( 3 )



Di antara pelajaran yang paling aku minat sejak di bangku sekolah ialah pelajaran SEJARAH ( Tawarikh ) . Dan begitu juga dengan GEOGRAFI ( Ilmu Alam ). 


Bagitu juga semasa aku di bangku sekolah dahulu, ada satu rancangan radio yang menarik minat aku, kalau tak silap " MARI BELAJAR BAHASA " di Radio Malaysia Ibu Kota ( RMKL ),yang sekarang lebih dikenali sebagai " KLfm ".


Setiap kali rancangan itu ke udara, akan dijemput ( diundang ) 2-3 orang yang dianggap " guru bahasa ". Ada guru bahasa Inggeris, Tamil ( India ) dan Kantonis ( Cina ). Kadang-kadang dipanggil juga guru bahasa Siam ( Thailand ) dan Bahasa Arab.


Setiap guru akan mengajar 2-3 dialog dan terjemahannya ke dalam Bahasa Melayu ( Malaysia ) dan kemudian akan menerima panggilan telefon dari para pendengar yang ingin menyemak cara sebutan setiap perkataan yang baru dipelajari itu.


Apabila rancangan ini ke udara, aku dah pasti akan akan di sisi radioku. Aku mendengar dan kemudian akan menyalin ke dalam satu " buku khas ".


Memang cukup seronok dan bermanfaat !.Dengan ada ilmu " bahasa " itu dan ilmu sejarah & geografi, aku rasa seperti  berada di banyak tempat di luar negaraku ini walaupun hakikatnya, aku hanya di dalam rumahku sahaja !.


( 4 ) 


Aku ada ramai kawan yang dianggap " ustaz ". Sebahagian mereka, anti kepada apa sahaja yang dianggap sebagai " LAGU " dan " BERLAGU ". Bukan setakat lagu, yang dianggap sebagai " NASYID " pun mereka benci dan tentang, walaupun " NASYID " itu hanya menggunakan " alat muzik " seperti rebana dan kompang.


Pernah satu ketika kawan aku yang berfikiran ( fikrah ) seperti itu datang mengadu kepadaku : " Bagaimana kita nak bagi anak-anak kita mudah hafal Asmaul Husna ( Nama-Nama ALLAH Yang Maha Indah ) ? ".


Aku jawab : " Dengan bernasyidlah !. Dengan cara itu mudahlah dia hafal ".


Dia terkejut : " Eh, mana boleh ASMAUL HUSNA itu dilagu-lagukan pula !. Tak boleh tu syeikh, Bid'ah tu ! ".


Aku respon : " Habis kalau tak pakai " pendekatan " ( approach ) macam tu, nak ajar diorang hafal macam mana pulak ?. Asmaul Husna tu bukannya sikit tau ! ".


Dia jawab lagi : " Alah, hafal aje lah satu-satu, lama-lama banyaklah dia dah hafal ! ".


Aku jawab : " Iyalah tu.... kau ajelah hafal macam tu. Tengok berapa lama masa diambil untuk ingat ( hafal ) semua Asmaul Husna itu dan bandingkan pula dengan anak-anak orang lain yang hafal Asmaul Husna dengan " berlagu " tu .

Selepas itu, dialog antara kami berdua beralih ke topik lain pula.


( 5 )


Seorang lagi kawan aku yang juga dipanggil " ustaz " juga benci kepada " LAGU " . Alasannya ia menyebabkan manusia lalai dari mengingati ALLAH TA'ALA.

Bukan sahaja kepada " LAGU ", malahan " ALAT-ALAT MUZIK " pun dibencinya. Hinggakan kompang, rebana dan yang seumpama dengannya itu pun dia kata " haram digunakan di dalam lagu ".


" Kalau dah teringin sangat nak bernasyid ka, berlagu ka.... BOLEH, tapi jangan ada sebarang alat muzik digunakan. Pakai " LIRIK " aje cukup !. Kompang / Rebana pun tak boleh . Seruling ka, trompet ka lagi la tak boleh ! " ; kata kawanku itu lagi.


Aku cakap : '' Aik ? Takkan tak ada langsung kot alat muzik yang dibenarkan di dalam Islam !? "  ; tanyaku lagi padanya yang sedang bersemangat bercakap mengenai MUZIK MENURUT PANDANGAN ISLAM !.

" Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawie pun jelaskan ada alat-alat muzik yang dibenarkan dan ada yang tidak. Tak percaya kau cuba baca kitab-kitabnya seperti " HALAL & HARAM DALAM ISLAM " atau " FATWA SEMASA ( KONTEMPORARI ) " , sambungku.


" Oh.... aku tak percaya ! Lagipun Syeikh Qardhawi punya fatwa aku bukannya pakai pun " ; jawabnya pula.


Dalam masa kami sedang " berbual-bual @ nak bertekak " , tiba-tiba " handphone " dia berbunyi dan keluarlah lagu : " SUWA-SUWEI KEMUNING " ( lagu dari Filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee - Do Re Mi ".


Aku pun ketawa kuat-kuat sampai kawanku itu hairan , dia pun bertanya padaku : " Oii !, yang kau ketawa kuat-kuat sangat ni kenapa ?. Apa yang lawak sangat ? ".


Aku masih lagi ketawa dan apabila aku dah puas ketawa aku katakan padanya : " Ha Ha Ha ! Manalah aku tak ketawa sampai sakit perut. Kau punya pasal lah ni. Kau cakap tadi yang semua jenis LAGU / MUZIK ini HARAM, tiba-tiba kau pun " pakai lagu " ( nada dering / ringtone ) dalam handphone kau. Patutnya orang macam kau ni, jangan pakai sebarang lagu. Rakam aje suara sendiri dan jadikan " ringtone " yang berbunyi : " HOI ! ADA ORANG TELEFON ! HOI ! ADA ORANG TELEFON KAU LAA ".


Merah padam mukanya bila dengar aku " pulang paku buah keras " padanya .


Tapi, kami tak bergaduh disebabkan hal itu. Dan akhirnya aku pun minta dia " send by bluetooth " lagu " Suwa-Suwei Kemuning " ke dalam handphoneku . Nasib baik dia tak kata : " Eh, mana boleh ... send lagu pun haram tau ".


( 6 )


Aku ni jenis orang yang boleh dengar apa sahaja jenis lagu. Aku tak peduli apa yang orang sebut sebagai jenis lagu " ASLI " , " DANGDUT ", " POP " , " ROCK " ,  " JAZZ " , " BALLAD " , " BLUES " , " RAGGAE ", " RAP " . " COUNTRY " ..... apa sahajalah termasuk apa yang disebut sebagai " HIP-HOP ".


Apa sahajalah asalkan SEDAP DEK TELINGA .


Gamelan : Kumpulan orkestra muzik klasik Jawa & Sunda


Walaupun begitu, kecenderunganku lebih kepada LAGU-LAGU YANG BERIRAMA ASLI. Tak kiralah ianya Dikir Barat kah, Zapin kah, Ghazal kah, Keroncong kah , Jaipong kah, Ronggeng kah, mahupun Dangdut ( Dangdut termasuk Irama Asli ke ?... Hei, entahlah ).


Aku juga suka mendengar dan menonton " LAGU-LAGU MASYARAKAT & LAGU-LAGU DAERAH ". Terutamanya yang berkaitan dengan " BUDAYA & SEJARAH ALAM NUSANTARA MELAYU ". Tak kiralah ianya Dikir Barat ( Kelantan-Terengganu), Zapin & Ghazal ( Johor - Riau ) mahupun irama-irama " Melayu Deli " ( Sumatera Utara ), " Lagu Minangkabau " ( Sumatera Barat ) mahupun " Lagu-Lagu Daerah Jawa dan Sunda ( Jawa Barat ) ". Sebab ia menambahkan lagi maklumat bagi diriku mengenai persekitaranku.


 
Gambus dan Irama Zapin : Amat sinonim dengan budaya muzik kaum Melayu - Riau  dan yang dipengaruhi " Irama Padang Pasir "


( 7 )


Aku ada seorang guru silat. Beliau dipanggil " Pak Jo " ( Johari ) yang mengajar Silat Kalimah ( Yahya Said ). Suatu hari, beliau pernah meluahkan apa yang dilaluinya : "  Sambil-sambil bawak ( memandu ) kereta, kita ni nak kuat ( mampu ) wirid lama mana sangat pun ?. Lama-lama letih dan bosan la. Tau-tau, kita pun menyanyi pulak laa.... lepas tu, wirid balik ".


Apa yang beliau alami tu, aku pun turut sama melaluinya. Aku memang " melatih diriku " ( Ar-Riyadhoh an-Nafsiah ~ menurut istilah Tasawwuf ) untuk menghabiskan beberapa himpunan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim, wirid-wirid dan hizib-hizib sewaktu aku memandu kereta ku dari satu destinasi ke satu destinasi. 


Apabila wirid dan hizib itu aku ulangi beberapa kali, lama-lama kebosanan dan keletihan pun 
menjelma di dalam diriku. Maka, menyanyilah aku " sorang-sorang layan kebosanan ". Entah apa lagunya, apa jenis ( genre ) muziknya tidakku pedulikan. Lagu bahasa apa pun, lantaklah.... yang penting ianya boleh menghilangkan bosan sepanjang perjalanan.


Bukannya di dalam kereta tak ada " player " . Ada, memang ada !, " DVD Player " lagi. Cuma, kadang-kadang nak juga " asah bakat " dan berlagak bagai " artis & penyanyi terkenal ". Kadang-kadang aku " jadi " Herman Tino, kadang-kadang " jadi " Brorey Marantika. Biasa juga " jadi " Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, S.M Salim, Ona Sutra, Meggi. Z , M. Nasir , David Arumugam, Rano Karno, Jamal Mirdad, Jay Jay dan selalu juga " berlagak jadi " Papa Rock : Ramli Sarip ( Ha Ha Ha !!! ).


Apa aku nak malu ?. Bukan ada orang pun yang tengok. " Yang penting happy " ( pinjam lirik lagu Jamal Mirdad ).


( 8 ) 


Ada di antara " LAGU " itu menarik minatku disebabkan adanya MUZIK yang menarik. Contohnya penggunaan " Cak Lempong " di dalam Muzik Minangkabau. Adanya " Seruling , kenong, bonang dan gambang di dalam Muzik Sunda dan Jawa. Adanya biola, akordion dan gambus di dalam Zapin Melayu-Riau. Adanya Serunai, Gendang, Rebana dan Gong di dalam Lagu-lagu Klasik Melayu Utara, Pantai Timur dan Patani.

Kumpulan Caklempong dari Negeri Sembilan Darul Khusus


Ada yang lebihku fokuskan kepada " LIRIK / SENIKATA "nya . Yang inilah bagiku manfaat yang sewajarnya diperhatikan di dalam setiap LAGU mahupun NYANYIAN.


Jika " LIRIK / SENIKATA "nya lebih menjurus kepada persoalan cinta ... putus cinta, putus asa, sudah tentu " yang disemai " itu adalah " jiwa yang mati @ putus harapan ".


2 orang " pemuzik jalanan " di Turki sedang menunjukkan kehebatan mereka memainkan alat muzik " ekordeon "


Jika " LIRIK / SENIKATA "nya lebih bermaksud kepada menimbulkan keinsafan dan " disajikan " pula dengan muzik ( irama ) yang menarik dan sesuai, maka sudah pasti impak ( kesan ) nya cukup besar. 


Sebagai contoh, lihat sahaja kepada lagi " TOMAT ( Tobat Maksiat ) " yang dinyanyikan oleh sekumpulan anak-anak muda dari Indonesia iaitu WALI BAND. Dengan paduan LIRIK dan MUZIK yang menarik lagi sesuai, ia menjadi " siulan " dan kegemaran anak-anak muda masa kini. Bukan sahaja di Indonesia, malahan di negara kita ; Malaysia.




Wali Band : Sekumpulan muzik yang semua anggotanya adalah bekas pelajar sebuah pondok pesantren pengajian Islam dan juga lepasan Institut Agama Islam Negeri ( IAIN )


" LAGU-LAGU RAKYAT " yang biasanya disampaikan secara " puitis " juga sangat " tajam senikata dan liriknya " di dalam " menyedarkan rakyat dari mimpi yang panjang ". Dengan sindiran yang tersirat di sebalik patah-patah lirik itu, "mesej"nya sampai kepada pendengar.

Sebagai contoh , lagu-lagu yang dinyanyikan oleh M. Nasir bersama-sama kumpulan KEMBARA di awal tahun 80'an dahulu. Lagu-lagu KOPRATASA dan di zaman kini yang dinyanyikan oleh AHLI FIQIR. 

Ada juga penyanyi perseorangan yang cuba menyampaikan " mesej " kepada masyarakat dituduh pula dengan berbagai tuduhan negatif. Lihat sahaja ( sebagai contohnya ) lagu " DIARI YB " yang dinyanyikan oleh ND Lala dan juga lagu " AYOYO SAMI " oleh Hang Mokhtar.

Biasalah tu, " siapa yang terkena cili, akan terasalah pedasnya ".


( 9 ) 


Apabila aku menghayati sesebuah LAGU. Baik pada LIRIK mahupun MUZIKnya. Lantas apabila ia masuk ke dalam " setiap saluran nadi dan darahku " lalu menerpa pula ke sanubari dan akal fikiranku. Terpacul keluar dari mulutku ( walaupun tanpa dipaksa-paksa ) perkataan : " SubhanalLoh ! Maha Suci Engkau Ya Allah ; Ya Tuhanku. Hebatnya Engkau hingga mampu Engkau mencipta keindahan pada seni ini. Indahnya setiap kalimah pada liriknya dan indahnya pula irama lagunya. Hebat sungguh Engkau wahai Tuhanku !".


Dan tak kurang juga aku biasa TERucap apabila sudah " zouk " ( feel ) sesuatu LIRIK ataupun IRAMA sesebuah lagu, maka terucaplah : " Ya Allah, Ya Tuhanku !, Hebatnya Dikau Ya Allah ! Pandainya Dikau hinggakan penyanyi / pemuzik / lagu yang begini indah pun dapat dicipta ".


Kalau aku bertanya pada beberapa kawanku yang menjadi ustaz yang dipenuhi " BENCI LAGU SECARA TOTAL " mengenai hal di atas, dah tentu mereka akan jawab padaku : " Engkau ni dah mula nak jadi orang Sufi ke ?. Dah mula nak buat bid'ah pula ke ? ".


Terlintas pula dihatiku sebagai respon sikap mereka itu : " LAGU dan NYANYIAN adalah naluri manusia. Apakah aku sesat jika aku meminati sebahagian lagu ?. Dan apakah aku ini pelaku bid'ah apabila aku minat akan sebahagian lirik / senikata yang ada pada sebahagian lagu !? ".


Jika ya begitu. Aku akan ketawa lagi kerana terbayang : " Hai , kasihanya dikau hai kawanku ! Bagaimanalah rupanya engkau mendodoikan ( bobok = kata orang Jawa ) anakmu yang mahu tidur itu ya !? ".


Biarlah aku ketawa ! Bukankah ia kadang-kala boleh dianggap sebagai UBAT !.





   
CINDAI PELANGI ®


10- Rabi'iul Awwal - 1431 H 24 - Febuari - 2010 M
7.20 Petang
KUALA LUMPUR


SELAMAT DATANG & MENIKMATI 1001 MANFAAT

" Selamat Datang. Berhentilah & berehatlah seketika di sini !. Mungkin ada apa-apa isi yang menarik & bermanfaat untuk anda semua "