ANTARA GILA DENGAN GILA-GILA
( 1 )
Apa itu “ GILA “ ?
Apa pula “ GILA-GILA “ ?
Macam Lembu ( Sapi = Cow ~ dalam Bahasa Inggeris ) dengan Kerbau ( Buffalo ).
Ia macam sama.
Ya, memang sama, tapi tak serupa.
" Gila Kerja " tidak mengapa... asalkan jangan " Kerja sampai jadi Gila "
( 2 )
Siapakah pula yang dipanggil “ PROFESOR “ ?.
Biasanya ia adalah seseorang pensyarah ( guru ) di sesebuah universiti dan telah melakukan banyak kajian di dalam bidang yang menjadi pengkhususannya.
Dan biasanya dia juga telah dinaikkan pangkat mengetuai sesuatu jabatan ataupun fakulti di sesebuah universiti.
Ada yang dipanggil “ Profesor “ dan ada “ Profesor Madya “ .
Ada juga “ Profesor Emiritus “ dan yang paling tertinggi di Negara kita ini dipanggil “ Profesor DiRaja “.
( 3 )
Percayakah anda bahawa orang yang bergelar “ PROFESOR “ itu ada yang gila akhirnya ?.
Dan ada juga yang “ GILA-GILA “ ?.
Jadi, apa bezanya di antara “ GILA “ dengan “ GILA-GILA “ ?.
Kadang-kadang ia memang sukar untuk dibezakan.
Hanya “ Jauhari yang mengenal manikam ! “.
Ada yang mengatakan “ GILA “ itu ialah penyakit ( sakit jiwa ), sedangkan “ GILA-GILA “ pula adalah “ PERANGAI / SIFAT “ .
Walaupun begitu, ianya memang sukar untuk dibezakan.
Seseorang yang sentiasa bersifat “ GILA-GILA “ jika tak kena caranya, ada kemungkinan juga boleh “ GILA “.
“ GILA “ juga ada berbagai jenis. Ada “ Gila Duit “ ( ini penyakit yang dideritai oleh hampir kebanyakan orang ), ada “ Gila Perempuan “ , ada “ Gila Judi “, ada “ Gila Mabuk @ Kaki Botol “ , ada “ Gila TV “, “ Gila Disko “ ……….. dan berbagai lagi.
“ GILA BABI “ pun satu istilah yang diberikan kepada sebahagian “ Orang Gila “ . Walaupun ia dinamakan “ GILA BABI “ , tetapi ia jauh berbeza dengan “ BABI GILA “.
Yang pasti, jika seseorang muslim itu bersentuhan dengan orang yang “ GILA BABI “, ia tidak perlu disamak.
Apabila dah jadi " Gila Study " , ada masyarakat yang akan mengatakan yang " bukan-bukan ". Biarlah, pedulikan apa kata orang dan cemuhan itu, asalkan kita berjaya mencapai apa yang kita idam-idamkan.
( 4 )
Apakah ada orang yang bergelar “ PROFESOR “ itu “ GILA “ ?. Jika berperangai “ GILA-GILA “ , itu tidak menghairankan . Ini berpenyakit “ GILA “.
Mungkin anda mengatakan yang aku ini sengaja mahu “ mereka-reka “ ( rekayasa ~ kata orang Indonesia ) cerita ataupun sengaja mencipta kisah itu untuk dimuatkan di halaman blogku ini.
Itu terserah pada anda semua. Mahu percaya ataupun tidak, aku tak kisah dan sedikit pun aku tak rugi.
Padaku , meneliti dan memerihatikan kejadian yang berlaku di sekelilingku boleh menambah lagi iman dan syukurku kepada Tuhanku ; ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA.
( 5 )
Aku ada seorang teman rapat yang ku anggap sebagai “ abang angkat “. Dia mempunyai seorang kawan yang turut ku kenali. Kawannya itu adalah seorang “ PROFESOR “ yang mengajar di salah-sebuah universiti terkenal di ibu kota ; Kuala Lumpur.
Banyak kisah yang menarik mengenai dirinya yang menyebabkan aku apabila mengenanginya, aku merenung dan berfikir.
Inilah kisahnya …………
( 6 )
Ketika Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed mula-mula menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia pada awal tahun 80’an dahulu, beliau banyak memperkenalkan dasar itu dan ini.
Di antaranya beliau memperkenalkan “ Dasar Pandang ke Timur ( Jepun ) “. Harapannya rakyat Malaysia akan menjadi maju seperti masyarakat Jepun dengan dasar yang baru diperkenalkan itu.
Lalu beliau memperkenalkan waktu / masa yang lebih cepat 30 minit daripada itu. Jika jam pada waktu itu 7.00 pagi, maka ia diubah menjadi 7.30 pagi.
Si Profesor ini ketika itu, biasa berjalan dengan memakai dua jam di tangan kanan dan kirinya. Apabila ditanya : “ Profesor !, mengapa pakai sampai dua jam tangan ? “.
Beliau pun menjawab : “ Ha !, satu untuk waktu yang kita pakai selama ini dan satu lagi untuk waktu baru yang Perdana Menteri perkenalkan “.
( 7 )
Suatu hari, Si Profesor ini mencabut bumbung dan tingkap jipnya. Jadilah macam jip yang biasa digunakan di padang golf.
Apabila ditanya mengapakah beliau berbuat begitu , apakah tidak takut basah jika hujan turun ?.
Beliau menjawab : “ Tak apa ( tidak mengapa ) !, kan saya ada bawak ‘rain coat’ ( baju hujan ) !.
Salah-satu gaya pakaian " Kumpulan Muzik " yang menjadi ikutan muda-mudi sedunia sekarang. Apa pun lagu yang mereka bawa... Rap ke, Hip-Hop ke ataupun R&B itu bukan yang menjadi isunya sekarang. Isunya, apakah pakaian seperti ini sesuai di pakai di negara kita yang cuacanya sentiasa " panas terik ". Pernah juga ku melihat sekumpulan anak-anak muda, memakai seperti " Rain Coat " ini tetapi berseluar pendek.... ia benar-benar menghairankan aku !.
( 8 )
Suatu hari Si Profesor ini bersiap-siap untuk menghadiri kenduri perkahwinan ( walimah pernikahan ) kawannya. Kawannya ini pula sudah lanjut umurnya. Maka, sudah pastilah majlis ini merupakan satu peristiwa yang penting buat dirinya dan kawan-kawannya.
Si Profesor ini pun pergilah dengan mengajak dua orang lagi kawannya yang turut sama mengenali “ pengantin baru “ ini.
Dibawalah bersama-sama ke majlis itu beberapa jambak bunga dan juga gong ( sejenis alat muzik tradisional ).
Apabila ditanya : “ Mengapa Profesor membawa bunga dan gong ? “.
Beliau menjawab : “ Kawan kita itu kan pengantin. Bunga ini sebagai hadiah untuknya “.
“ Habis tu, gong ni pula , kenapa dibawa juga ? “ ; Tanya lagi kawan-kawan yang mengiringi Si Profesor itu.
“ Laaa !, pengantin baru tu kan dipanggil sebagai ‘Raja Sehari’ . Bukankah raja di Negara kita apabila menaiki takhtanya akan ditabalkan ( dirasmikan ) dengan adat memukul ( palu ) gong. Haaa…. Aku bawa gong ini sebab aku nak pukullah ! “.
Apabila sampai di majlis tersebut, Si Profesor ini betul-betul mahu memukul gong yang dibawanya.
Ada yang ketawa melihat gelagatnya itu. Ada pula yang lari sebab dah tahu perangai Si Profesor ini.
Si Pengantin Lelaki yang merupakan kawan Si Profesor ini pun lari. “ Dah buat gila pulak dah dia tu “ ; kata Si Pengantin Lelaki.
Mr. Bean adalah satu watak pelawak yang sering dikaitkan dengan " kebodoh-bodohan " dan " kegila-gilaan " . Walaupun begitu dalam beberapa situasi, beliau juga dilihat seorang yang cerdik terutamanya ketika menggunakan akal dan apa sahaja yang ada di sekelilingnya untuk " survive " ( meneruskan hidup ).
( 9 )
Apabila berlaku peristiwa Datuk Seri Anwar Ibrahim ( DSAI ) ditangkap pada tahun 1998 kerana mengetuai “ Gerakan Reformasi “, Si Profesor ini pun ditangkap.
Sebabnya, beliau berjalan dengan memakai “ poster “ di depan dan di belakangnya. Kata Si Profesor itu : “ Aku kenal sangat dengan Anuar Ibrahim tu. Dia anak murid aku masa aku mengajar di MCKK ( Malay College of Kuala Kangsar ) . Dia bukan sebagaimana yang dituduh itu “.
Poster yang dipakai didepannya tertulis : “ BEBASKAN ANUAR DAN GUAN ENG ! “ dan di belakang pula tertulis : “ UNDUR MAHATHIR, UNDUR ! “.
Si Profesor ini pun berjalan di sekitar Ibu Kota Kuala Lumpur, di antara kawasan Masjid Jamek – Wisma Yakin – Kompleks Pertama. Semua memata memandang kepada beliau kerana beliau melakukannya berseorangan diri dan di situ jugalah beliau ditangkap polis.
Akhirnya di bawa ke mahkamah. Apabila pertuduhan dibacakan terhadap beliau yang berbunyi : “ Bahawa kamu yang bernama ………. Pada tarikh …………. Telah didapati bersalah kerana melakukan perbuatan yang boleh menjejas ketenteraman awam dan boleh menimbulkan kemarahan orang ramai ! “.
Si Profesor ini terus menjawab : “ Saya tak bersalah , tuan !. Mana ada orang marah. Semua orang buat begini “ sambil beliau mengangkat kedua-dua ibu jari tangannya yang menunjukkan makna “ BEST !!! “ ( Bagus ).
Tapi akhirnya Si Profesor ini mengaku bersalah juga apabila mengenangkan kerjanya yang “ besar “ itu di universiti dan tiada Dato’ Seri Anuar Ibrahim yang dapat menjaminnya ( kerana beliau juga ditangkap ketika itu ).
Semenjak Era REFORMASI 1998, sering terlihat kezaliman bermaharajalela. Apakah patut Pasukan Keselamatan seperti PDRM dan FRU yang lengkap dengan senjata dan pakaian keselamatan itu " membelasah " orang-orang awam yang hanya mahu " BERDEMONTRASI AMAN " tanpa membawa sebarang senjata . Dengan Chin Peng yang komunis itu pun boleh diajak berunding dengan aman, inikan pula dengan sesama rakyat Malaysia !?.
( 10 )
Si Profesor ini pernah bercerita mengenai satu pengalamannya di Belanda ( Holland ). Beliau ke sana kerana memenuhi jemputan dari pihak sebuah universiti di sana.
Si Profesor ini masuk ke salah-sebuah kelas. Si Belanda yang mengajar ( Pensyarah ) di kelas tersebut juga menjawat jawatan “ PROFESOR “.
Si Belanda itu memerhatikan senarai kehadiran pelajar-pelajarnya dan menyebut nama satu persatu. Semua nama disebutnya, samada yang hadir mahupun yang tidak.
Si Profesor yang berbangsa Melayu ini pun berkata : “ Ish, ish ish !. Kenapalah kau baca satu-satu nama. Cukuplah baca nama-nama orang yang tidak hadir. Kau pun “ GILA “ juga rupa-rupanya !!! “.
( 11 )
Itulah sebahagian kisah Si Profesor itu.
Jadi mari kita berfikir sekali lagi : “ APAKAH BEZANYA GILA DENGAN GILA-GILA ??? “.
CINDAI PELANGI ®
14- Rabi'iul Akhir - 1431 H
30 - Mac - 2010 M
5.30 Petang
KUALA LUMPUR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.