SILA LAYARI JUGA

http://www.facebook.com/profile.php?ref=name&id=100000598573122

http://www.silat.tv/profile/cindai_pelangi

Sabtu, 11 September 2010

NIAT TU MEMANG ADA, CUMA BELUM SEMPAT DILAKSANAKAN


NIAT TU MEMANG ADA, CUMA BELUM SEMPAT DILAKSANAKAN

( 1 )

Ramadhan Al-Mubarak telah pun berlalu. Kini, Hari Raya E’idul Fitri dan Bulan Syawal tiba lagi. Sesuai dengan ucapan yang selalu disebut-sebut oleh Baginda RasululLah SAW kepada Para Sahabat RA : “ TAQOBBA LALLAHU MINNA WA MINKUM “ ( Semoga diterima ALLAH – semua amalan – kami dan kamu sekalian ).

Aku juga sering merayu dan merintih serta berdoa dan bermunajat kepada Ilahi : “ Ya Allah !, terimalah semua doa dan amalan kami ini. Walaupun ia masih terlalu banyak kekurangannya, namun tolonglah terima Ya Allah !.  Ya Allah, Ya Tuhan kami, kalau ENGKAU tidak menerima doa dan amalan kami , maka kepada siapa lagi kami hendak mengadu dan merayu. Kami tidak ada Tuhan selain-MU Ya Tuhan !. Orang-orang kafir itu mereka ada banyak tuhan. Kalau tuhan itu tidak mahu menerima doa mereka, mereka boleh minta kepada tuhan-tuhan lain. Tapi kami ini Ya Tuhan kami , hanya ada ENGKAU sahaja !. Kalau ENGKAU tidak menerimanya, kepada siapa lagi kami mahu mengadu ?. Kepada siapa lagi kamu mahu meminta ?. Sebab itu, tolonglah terima Ya ALLAH. Amin Ya Robbal ‘Alamin.


( 2 )

Ketika aku berada di bulan Ramadhan al-Mubarak yang baru berlalu ini. Ada beberapa perancangan (niat) yang ku rancang untuk disempurnakan di dalam bulan yang mulia ini. Di antaranya, aku mahu menulis ( atau menyampaikan secara lisan ) beberapa perkara yang ada kaitan secara langsung dengan Ramadhan al-Mubarak, ataupun ia memang sesuai disampaikan di dalam bulan tersebut.

Di antara topik-topik yang ingin ku sentuh adalah :

1 – BAGAIMANA SALAFUS SOLIHIN R.A MENYAMBUT KEDATANGAN RAMADHAN AL-MUBARAK

2 – ISU-ISU PUASA RAMADHAN YANG MASIH KABUR DI KALANGAN KEBANYAKAN UMAT ISLAM MALAYSIA

3 – APA HUBUNGAN DI ANTARA AYAT 183 ( KEWAJIPAN BERPUASA RAMADHAN ) DENGAN AYAT 186 ( MENGENAI DOA ) DARI SURAH AL-BAQARAH ?

4 – SIAPA KATA ALLAH SWT TIDAK MEMPERDULIKAN DOA KITA ? BAGAIMANA DIA MENERIMA DOA KITA ?

5 – SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK, DAN BUKANNYA SELAMAT BERPUASA ? APA BEZANYA DAN KENAPA ?

6 – RAMADHAN AL-MUBARAK = BULAN KURSUS BINA DIRI : ROHANI & JASMANI

7 – HAL-EHWAL BERKAITAN RAKAAT DAN KAIFIAT SOLAT TARAWIH / WITIR DENGAN CARA BIASA ( 2 RAKAAT 1 SALAM ) DAN CARA ‘LUAR BIASA’ ( 4 RAKAAT 1 SALAM / 3 RAKAAT 1 SALAM TANPA TAHIYYAT ULA )

8 – BETULKAN SOLAT ANDA ? MENGAPA ? APA YANG PERLU DIPERBETULKAN ?

9 – PETUNJUK SUNNAH BAGINDA RASULULLAH SAW MENGENAI BERHARI RAYA

10 – HARI RAYA : BUKAN BERAYA DI KUBUR

Secara lisan, ku kira telah kusampaikan sepanjang Bulan Ramadhan al-Mubarak semua topik di atas. Setiap jemputan untuk mengisi “ Tazkirah Ramadhan “, maka itulah topik-topik yang akan kusampaikan kepada hadirin-hadirat.

Secara tulisan itu yang belum . Samada di dalam blog ini, ataupun di dalam “Facebook” ku ataupun di beberapa halaman web yang kuminati.

Belum  sempat kutulis. Itulah hakikatnya. Memang aku kira, aku punya peluang yang banyak untuk menulis topik-topik di atas sepanjang bulan Ramadhan yang lalu. Rupa-rupanya, aku bertambah sibuk di bulan itu. Iyalah, aku bukan sekadar “ makan gaji “ dengan majikanku semata-mata, bahkan aku juga ada kerja-kerja sampingan dan aktiviti-aktiviti dakwah dan kemasyarakatan hampir setiap hari.

Apakah 24 jam  x  sehari itu tidak cukup untukku ?. Ya !, memang begitulah nampaknya. Kadang-kadang aku berbicara dengan hati sanubariku : “ Mengapalah tidak ALLAH jadikan sehari ini ada 30 jam ? “. Itulah kata hatiku apabila kesibukan “ cemburu “ padaku walaupun hakikatnya bukanlah masalah hari ataupun masa tetapi lebih kepada “ TIME MANAGEMENT “ ( Pengurusan Masa ).

( 3 )

Kita sebagai manusia biasa, yang bukan Para Malaikat mahupun Para Nabi-Rasul AS ini sudah tentu punyai “ iman yang kadang-kadang bertambah dan kadang-kadang berkurangan “.

Jangan sangka apabila kita selesai melaksanakan sesuatu ibadah, kita boleh berbangga diri dengan hal itu. “ Wah !, hebat aku hari ini. Banyak ibadat dapat kukerjakan “ , kata hatinya.

Usahlah berbangga begitu ! Dan sama-sekali jangalah menyangka begitu !.

Kenapa pula ?. Sebab, taatnya kita kepada ALLAH bukanlah semata-mata didorong oleh perasaan kita ingin mentaati-NYA, dan bukanlah semata-mata disebabkan kita sendiri rajin beribadat.

Nafsu ( kehendak diri ) itu, resminya lebih suka dan lebih cenderung kepada “ duniawi “ , kepada hiburan dan “lagho”.

Dan apabila kita berjaya menundukkan nafsu itu agar ia taat kepada ALLAH, maka sebenarnya itu disebabkan ( sebab utama ) ialah Rahmat Ilahi ( belas-kasihan ), Taufiq & Hidayah serta disebabkan adanya pertolongan dari ALLAH TA’ALA !.

ALLAH TA’ALA yang menolong kita hingga dapat kita kerjakan ibadat dan ketaatan kepada-NYA !, bukan sebab utamanya kita hebat .

Dalilnya sebagaimana pesanan Baginda RasululLah SAW kepada sahabat yang bernama Saydina Muadz bin Jabal, agar selalu dibaca, terutamanya selepas solat fardhu  :





( 4 )

Aku yakin lagi percaya, sampai bila pun aku tidak akan mampu menyiapkan tulisan-tulisanku ini melainkan dengan memohon pertolongan dari ALLAH TA’ALA agar diberikan kepadaku kesihatan, kemampuan, ilham, petunjuk-NYA dan kesempatan untuk itu.

Dan aku juga memohon jasa baik dari saudara-saudari semua, sudilah kiranya mendoakan diriku agar dapatku gunakan apa sahaja yang ada padaku ini ( walaupun ianya tidaklah banyak berbanding orang lain ) untuk dakwah fi sabilillah.

Semoga ALLAH TA’ALA senantiasa membantu dan mendorong kita semua ke arah kerja-kerja mencapai redha-NYA. Amin Ya Robbal ‘Alamin.

Sekian. Selamat Hari Raya E’idul Fitri 1431 Hijrah / 2010 Masihi.
Taqobba LaLLohu Minna Wa Minkum. Wassalam.




 




CINDAI PELANGI ®

2- Syawal - 1431 H
10 - September - 2010 M
7.00 Pagi
KUALA LUMPUR


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

SELAMAT DATANG & MENIKMATI 1001 MANFAAT

" Selamat Datang. Berhentilah & berehatlah seketika di sini !. Mungkin ada apa-apa isi yang menarik & bermanfaat untuk anda semua "