SILA LAYARI JUGA

http://www.facebook.com/profile.php?ref=name&id=100000598573122

http://www.silat.tv/profile/cindai_pelangi

Jumaat, 28 September 2012

IKHLAS SUNGGUHKAH AKU INI ?



IKHLAS SUNGGUHKAH AKU INI ?





{ 1 } IKHLAS : MENYEBUTNYA LEBIH MUDAH DARIPADA MEMBUKTIKANNYA 


Janganlah disangka aku menulis ini sekadar untuk memberikan tazkirah , peringatan dan memperbaiki diri saudara/I sidang pengunjung blog ini semata-mata . Malah , sebenarnya ia lebih kepada suatu peringatan dan nasihat untuk diriku sendiri .


Marilah aku tegaskan lagi …………  “ Aku menulis bukan kerana mencari nama ataupun populariti . Jauh sekali untuk menjatuhkan orang lain tanpa mengambil kira aib diri sendiri . Bahkan sebenarnya , tulisan-tulisanku ini lebih kepada cerminan diri ini agar tidak lupa dan lalai daripada peringatan-peringatan ALLAH ; Tuhanku . Dan sebagai bekalan dan nasihat untuk anak-anakku di kemudian hari nanti “ .


Pada awal-awal tulisanku di dalam blog ini ( Sila Lihat :  http://penacindaipelangi.blogspot.com/2009/08/mengapa-aku-menulis.html    ) , aku ada menulis : Bahkan dengan ini, idea dan pandanganku makin tersebar. Dan aku percaya sedikit-sebanyak manfaat yang ada dari tulisanku ini akan memainkan peranan yang penting di dalam membentuk satu masyarakat yang diimpikan selama ini.

 
Tulisan dan pandanganku juga bakal dapat dinikmati oleh anak-anakku yang tercinta. Moga-moga mereka menjadi lebih baik dan bermanfaat dari kedua-dua orang tua mereka. Lebih baik serba-serbinya !. Memperbaiki dan menambah pula apa-apa yang terkurang disebabkan oleh kekurangan kedua-dua orang tuanya di masa lalu. Baik dan memberikan kebaikan ( manfaat ) untuk Agama, Bangsa dan Tanah Air “ .


Sekarang , mari kita menilai kembali dan memerhatikan apakah yang kita fahami selama ini berkenaan dengan IKHLAS .


Hakikatnya , IKHLAS itu memang lebih mudah diucapkan berbanding mempraktikkannya . Namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil dilakukan . Maha Suci ALLAH ; Tuhan kita daripada sebarang sifat zalim . Tidak mungkin ALLAH memerintahkan kita melakukan sesuatu yang di luar batas kemampuan kita sebagai manusia biasa yang bukan “ superman “ ataupun “ wonder woman “ ini  . Mustahil ALLAH menzalimi kita !!! .  Tidak mungkin sama sekali ALLAH seperti itu !!! .


{ 2 } CERMINLAH IKHLAS ITU DENGAN NERACA SYARIAT :


Apabila kita mendengar seseorang itu mendakwa bahawa dirinya ikhlas , apakah kita akan menerima dakwaan itu 100 % ? .


Ya , memang kita bukannya TUHAN yang Maha Mengetahui semua “ isi perut dan pedal “ orang sehingga layak kita menghukum seseorang itu tanpa bukti-bukti yang jelas lagi sahih . Namun kita juga bukannya dungu @ bodoh sehingga merelakan diri diperdaya dan ditipu “ mentah-mentah “ oleh sesiapa sahaja tanpa sebarang waspada dan sikap berhati-hati .


Ya , memang benar juga bahawa IKHLAS itu pusatnya adalah di hati , namun terkadang apa yang tersirat di dalam hati dapat dibaca oleh gerak-geri anggota tubuh-badan seseorang itu . Ibarat pepatah : “ Sekilas ikan di air , ku tahu jantan – betinanya “ .


Jika ingin menilai IKHLAS yang didakwa , gunakanlah Al-Quranul Karim dan As-Sunnah sebab kedua-dua ini adalah MAKSUM dan tidak dipengaruhi oleh adat-budaya , sentimen ataupun perasaan seseorang .


Dalam lain perkataan ; “ Rujuklah kepada Sang Pencipta Manusia bahkan Alam Semesta ini jika benar-benar mahu menyelami akan hakikat manusia itu sendiri , hatta  zahir dan batin manusia itu sendiri “ .


Sudah ramai ulama’ dan sudah banyak tajuk tulisan yang menyentuh berkenaan topik yang sangat mulia ini . Namun di sini , aku hanya mahu mengimbasnya kembali secara ringkas sahaja .



{ 3 } PENIMBANG PERTAMA  : KISAH PEMUDA TAUHID MENENTANG HANTU PENUNGGU POKOK YANG DISEMBAH ORANG
                                                      

Petikan daripada tulisanku yang lepas yang bertajuk : APA YANG MENYEBABKAN SYAITAN DAN JIN TAKUT LALU KALAH ? ( Rujuk di alamat berikut ini :  http://penacindaipelangi.blogspot.com/2012/07/apa-yang-menyebabkan-syaitan-dan-jin.html     )

 

…………… “  Di dalam Kitab “ TALBIS IBLIS “ ( Tipu-Daya Iblis ) hasil karangan Al-Imam Ibnul Jauzi ( 510H - 597H ) , Bab : III , mukasurat :  23 – Terbitan : Dar Ibn Khaldun , Iskandariah , Mesir ada menyatakan sebuah kisah ( bukan hadist ) :


Suatu ketika dahulu ada sebatang pokok yang disembah oleh ramai manusia . Maka datanglah seseorang lelaki yang marah dengan perbuatan syirik orang ramai itu dengan kapaknya menuju ke arah pokok itu . Tiba-tiba muncullah syaitan yang menjelma sebagai seorang manusia biasa lalu  menghalangnya .


“ Apa tujuanmu ke mari ? “ ; tanya orang ( syaitan ) yang menghalang itu .


Jawab lelaki yang memegang kapak itu : “ Aku mahu menebang pokok yang disembah oleh manusia ini kerana ia adalah perbuatan menyekutukan ( syirik ) ALLAH “ .


“ Apa masalahnya jika pokok ini terus disembah oleh orang ramai “ ; tanya syaitan itu lagi .


Si lelaki itu tetap mahu meneruskan niatnya  .


Syaitan pun memujuk dengan katanya : “ Apakah engkau hidup dengan selesa sekarang ? . Begini sahajalah . Tak payahlah engkau menebang pokok ini . Dan sebagai imbalannya , setiap kali engkau bangun daripada tidur , di tepimu telah tersedia dua dinar ( duit emas ) “ .


Lelaki itu bertanya lagi : “ Hai , bagaimana mungkin aku mendapatkannya ? “ .


“ Tak mengapa . Aku yang akan sediakannya setiap kali kau bangun daripada tidurmu “ ; ujar Sang Syaitan yang melihat pujukannya sudah berjaya .


Keesokan hari , lelaki itu memang mendapati ada dua dinar di tepi bantalnya apabila dia tersedar daripada tidurnya . Namun , selepas itu ( lusa ) , tidak ada lagi dua dinar sebagaimana dijanjikan sebelum itu .


Lelaki itu pun naik marah lalu bergegas menuju ke pokok itu untuk menebangnya . Tiba-tiba muncullah syaitan sekali lagi dengan rupa sebagai seorang manusia biasa .


“ Apa lagi kamu mahu ? “ ; tanya syaitan .


“ Aku mahu menebang pokok ini kerana marah dengan perbuatan manusia mensyirikkan ALLAH “ ; jawab pemuda itu .

Syaitan pun berkata : “ Kau penipu ! . Sebenarnya bukan kerana ALLAH , tetapi kau datang kerana mahukan dua dinar yang aku janjikan kepada engkau sebelum ini . Engkau tak akan dapat menebang pokok ini “ .

Lalu bertambah marahlah lelaki itu . Maka terjadilah pergaduhan di antara lelaki itu dengan syaitan yang menyamar sebagai seorang manusia biasa . Lelaki itu dihempas ke bumi dan hampir sahaja syaitan itu meragut nyawanya .

Lalu syaitan itu pun berkata : “ Tahukah engkau aku ini sebenarnya adalah SYAITAN ? ….. Pada mulanya dahulu engkau datang betul-betul marah dengan ikhlas kerana ALLAH semata-mata. Sebab itu aku tidak mampu mengalahkanmu . Namun pada hari ini , engkau datang dengan marah bukan lagi kerana ALLAH , tetapi kerana tidak mendapatkan dua dinar itu , maka aku berjaya kalahkan engkau “ .

  




{ 4 } FILEM INDONESIA ( 2003 ) : KIAMAT SUDAH DEKAT  



                                                       

Filem ini aku benar-benar menyentuh hati sanubariku . Ia mengisahkan seorang pemuda Rock ; Fandy ( lakonan Andre Stinky ) yang secara kebetulan jatuh cinta dengan seorang anak gadis bertudung litup lagi taat beragama , hasil asuhan bapanya ;  Haji Ramli ( lakonan Deddy Mizwar ) .


Sedangkan Sarah sebenarnya telah pun ditunangkan dengan seorang mahasiswa di Kaherah , Mesir yang bernama Farid . Sebagai alasan untuk menolak lamaran Fandy secara lembut , Pak Haji Ramli meminta Fandy untuk mendalami ilmu-ilmu agama ( Fardhu Ain ) dalam masa 2 minggu jika benar-benar mahu menjadikan puterinya itu ; Sarah ( lakonan Ayu Pratiwi ) sebagai isterinya .


Fandy pun semenjak itu bersungguh-sungguh mendalami asas-asas Fardhu Ain . Dia mula belajar membaca Al-Quran dan juga tatacara melaksanakan solat .


Setelah cukup 2 minggu , Pak Haji Ramli terkejut kerana mendapati bahawa Fandy telah menguasai asas-asas Ilmu Agama . Maka , syarat tambahan dikenakan lagi oleh Pak Ramli kepada Fandy dengan harapan Fandy akan putus asa untuk memperisterikan Sarah . Apatah lagi , dalam hati kecil Pak Ramli memang lebih cenderung untuk memilih menantu yang bergelar seorang mahasiswa dari Negara Arab berbanding Fandy ;  yang cuma seorang pemuzik rock .


Syarat baru yang dikenakan itu ialah Fandy mestilah menguasai “ IKHLAS “ di dalam tempoh yang singkat .  Puas Fandy meminta tolong teman-temannya untuk mencari berbagai buku rujukan mengenai masalah itu . Berbagai buku ditelaah , namun tiada satu pun yang menghuraikan apakah ikhlas itu dengan maksud yang tepat .


Akhirnya , Pak Haji Ramli pun meminta Fandy melupai hasratnya terhadap Sarah demi memberikan laluan kepada Farid untuk menjadi suami Sarah .


Fandy pun berkata ( lebih kurang beginilah dialognya )  : “ Sudah berbagai usaha dan doa saya panjatkan kepada ALLAH . Namun jika inilah takdirNYA , saya redha dengan segala ketentuan ALLAH . Dan saya juga redha menarik diri dari memperisterikan  Sarah , walaupun hati saya tetap mencintainya . Asalkan apa sahaja yang ditempuhi olehnya nanti , lebih membahagiakan dirinya dan lebih mengundang redha ALLAH kepadanya “ .


Terkejut Pak Haji Ramli dan semua keluarga yang mendengar pengakuan Fandy itu . Dan Pak Ramli pun akhirnya mengatakan : “ SubhanalLoh …. Inilah dia IKHLAS . Hai , Fandy sesungguhnya kamu telahpun menguasai apa yang dinamakan ILMU IKHLAS . Dan dengan ini saya menjodohkan kamu dengan puteriku ; Sarah “ .


Begitulah lebih-kurang kisah dan intipati Filem Kiamat Sudah Dekat .



{ 5 } IKHLAS SAHAJA MASIH BELUM CUKUP :
                                                      

Dengan IKHLAS semata-mata , tidaklah mencukupi . Malah , masih ada 2 lagi syarat  utama selain IKHLAS itu jika seseorang itu mahu segala amalnya diterima ALLAH TA’ALA . Iaitu :


( i ) – ISLAM ~ Tidak mungkin sesuatu amal itu diterima sebagai SAH jika dilakukan oleh seseorang yang bukan Islam ( kafir ) , si murtad ataupun si musyrik .


( ii ) – ITTIBA’ AS-SUNNAH ~ Menepati Sunnah Baginda RosululLoh SAW dan pokok-pokok ajaran Islam . Tidak diterima sesuatu amal yang dikerjakan sekirang ia bertentangan dengan ajaran Islam walaupun ia dilakukan oleh ramai manusia dan dilakukan dengan jumlah yang banyak .


Maka , tidak mungkin ISLAM menerima teori Niccolo Machiavelli yang cukup terkenal : the ends justify the means " = “ Matlamat Menghalalkan Segala Cara ( Walaupun Cara Yang Keji  ) “ .


Semoga ALLAH TA’ALA sentiasa memandu kita ke jalan yang diredhaiNYA dan menganugerahi kita dengan IKHLAS ini .


Amin Ya Robbal ‘Alamin . 



Cindai Pelangi®
Jumaat  
12 / Zulkaedah / 1433 H
28 / September / 2012 M
KUALA LUMPUR

Khamis, 20 September 2012

BERSILAT DENGAN JIN SYAITAN ?



BERSILAT DENGAN JIN SYAITAN ?


Tulisan ini sebenarnya telahku tulis semenjak 10 Oktober 2011 lagi . Dan ia belum sempatku muatkan di dalam blog ini . Ia masih lagi berkaitan dengan DOA & PERMOHONAN dan juga berkaitan dengan SYAITAN PASTI DAPAT KITA KALAHKAN .

Selamat Membaca ………   :-)




{ 1 }



Beberapa hari lalu aku dihubungi oleh seorang sahabat ; seorang ustaz yang meminta aku membantunya .


Pelik hajatnya . Katanya ada seorang tua yang sakit teruk , tetapi menjadi segar-bugar jika dapat bersilat . “ Selagi tak dapat nak “ pelepas angin dengan bersilat “ selagi itulah dia bersilat “ ; kata sahabat itu lagi kepadaku .


Dakwa sahabatku itu lagi bahawa orang tua itu telahpun dibawa berubat kepada seorang pendakwah terkenal dari Pantai Timur ( bekas panelis Hal-Ehwal Islam RTM dan pimpinan terkenal sebuah parti Islam di tanah air ) . Namun pendakwah itu meminta keluarga orang tua itu membawanya menemui sahabatku itu .


“ Ana (saya) tak retilah syeikh main silat dengan orang macam tu. Ana main Silat Gayong Pusaka manalah reti nak main ‘silat pulut’ ke atau ‘silat hembus-hembus’ ni . Tu sebablah ana minta tolong daripada anta (engkau) “ ; kata sahabatku itu selaku memujuk hatiku agar dapat menunaikan hajatnya dan hajat orang tua itu .


Setelah puas sahabatku ; sang ustaz itu memujuk , akhirnya aku pun berkata kepadanya ; “ Okeylah , insya-ALLAH malam ini pukul 10 kita selesaikan “




{ 2 }



Memanglah aku setuju untuk membantu hajat sahabatku itu tapi itu tidaklah bermakna aku ini seorang dukun ataupun bomoh yang pandai merawat penyakit-penyakit seperti itu .


Jika aku ini seorang dukun ataupun bomoh , dah tentu awal-awal lagi aku dah bersetuju dengan permintaan sahabatku itu tanpa perlu dia memujuk-mujuk diriku .


Namun aku amat yakin bahawa :


(a) – Tiada suatu apa pun yang boleh terjadi , samada untung mahupun rugi , tiada apa pun boleh jadi “ ong “ atau “ suwey “ melainkan dengan izin qudrat dan iradat ALLAH TA’ALA semata-mata à “ La Haula Wa La Quwwata illa billahil ‘Aliyil ‘Azhim “ .


(b) – ALLAH TA’ALA tidak akan mensia-siakan sesuatu doa dan usaha yang dilakukan dengan ikhlas keranaNYA semata-mata .


(c) – Doa (permohonan dan hajat kepada ALLAH TA’ALA) dari seorang muslim untuk saudaranya seagama tanpa pengetahuannya adalah di antara ciri-ciri keikhlasan di dalam berusaha dan berdoa dan di atas dasar inilah juga doa menjadi makbul dan mustajab di sisi ALLAH TA’ALA .


(d) – ALLAH TA’ALA akan senantiasa membantu seseorang selagi dia juga suka membantu makhluk ALLAH TA’ALA dengan ikhlas .


(e) – Aku senantiasa cuba dan berusaha untuk terus BERSANGKA BAIK kepada Tuhanku ; ALLAH YANG MAHA KUASA LAGI TIADA SEBARANG TANDINGANNYA termasuklah yakin bahawa doa dan usahaku ini tidak akan sia-sia dan pasti ALLAH akan menerimanya.


(f) – Aku yakin dengan pertolongan ALLAH TA’ALA , melalui doa yang ku panjatkan ke hadratNYA , terutamanya melalui silsilah perguruan dan titisan barokah usaha dakwah Islam dan jihad guru-guruku , khasnya yang berhubungan langsung dengan Syeikh Muhyiddin Saiyyid Abdul Qadir al-Jailani ( RahimahulLoh ) dan Syeikh Saiyyid ‘Abdullah Al-Qumayri al-Qibrori ar-Rifa’ie ( RahimahulLoh ) .


Itulah ‘ kunci keyakinanku ‘ ….. bukan kepada petua dan doa / jampi kerana aku sendiri tidaklah belajar mahupun beramal dengan petua itu dan ini , mahupun doa / jampi itu dan ini .


Dan aku juga bukanlah orang yang selalu istiqamah dengan wirid-wirid mahupun hizib-hizib yang tersohor di alam maya ini , apatah lagi untuk menghafalnya . 




{ 3 }



Sementara menunggu pukul 10.00 malam , tiba-tiba aku mendapat idea untuk meminta bantuan daripada seorang tua yang sangatku hormati ; Tuan Haji Bukhari bin Haji Ahmad Yahami ; Guru Silat Pendekar Bertuah ( yang sebelum ini dikenali sebagai Silat Kuantan ataupun Silat Sentajo dari Inderagiri, Riau) . Beliau adalah seorang tua yang biasa menjadi “ orang tengah “ dan juga “ tempat rujukan “ kepada masyarakat Batang Kali , Hulu Selangor khasnya dan juga kepada seluruh kenalannya di seluruh tempat amnya . 






Alhamdulillah , Pak Bukhari yang biasa aku dan kawan-kawanku memanggilnya dengan panggilan “ APAK “ bersetuju dengan hajatku itu .


Fikirku cukuplah dengan satu kereta MPV kepunyaan sahabatku sang ustaz itu . Ustaz itu bersama-sama adiknya dan seorang Pak Haji yang bernama Haji Paiman ; pengerusi sebuah surau di Kepong campur dengan aku dan sahabatku yang bernama Haji Abdullah ‘Wisma Yakin’ ( sahabat baik kepada Pak Bukhari ) . Kami berlima ini jika bersama-sama orang tua yang ” sakit “ itu menjadi enam oranglah . Memang “ sedang elok “ dan “ ngam-ngam “ dengan kenderaan MPV dari Jepun yang terkenal itu .


Sebaik sahaja kami tiba di perkarangan rumah anak kepada orang tua yang sakit itu , rupa-rupanya bukan orang tua itu sahaja yang ada , malahan anak-anak , menantu-menantu dan cucu-cucu pun ada bersamanya .


Aku dapat menduga yang ramai keluarga dan kerabatnya nak ikut ini sebab mahu “ menonton “ satu sayembara (pertarungan) silat ataupun satu perlawanan ilmu kebatinan di antara aku dengan orang tua itu . “ Inilah akibat banyak menonton cerita-cerita khurafat , filem-filem hantu dan mistik di dalam tv “ ; rungut hatiku sendirian .


Terusku nyatakan bahawa bukan aku yang akan “ bersilat “ ataupun “ merawat “ orang tua itu , bahkan sebenarnya Pak Bukhari di Batang Kali .


Dan kenyataanku itu rupa-rupanya tidak mematahkan semangat mereka untuk menonton “ sayembara “ yang mereka harapkan itu . Kebanyakan mereka akan ikut serta membawa orang tua itu ke rumah Pak Bukhari .


Segera aku menghubungi lagi Pak Bukhari agar tidak menyusahkannya untuk menerima tetamu yang ramai pada tengah malam itu nanti . 


“ Apak , semua keluarganya nak ikutlah ke rumah Apak “ ; kataku kepada Pak Bukhari melalui panggilan telefon .
 



“ Ha, iyalah . Tak mengapa . Tapi berapa ramai semua tu ? “ ; tanya Pak Bukhari kepadaku .


“ Kira-kira dalam 4 atau 5 kereta “ .


“ Apa ramai sangat , kau datang bawa rombongan meminang ke ? “ ; tanya Pak Bukhari lagi dengan sinis .


Aku pun merasa lucu dengan soalan itu , namun lebih-kurang begitulah jumlah yang akan ke rumah Pak Bukhari di malam itu . Dan memang semacam nak bawa rombongan meminang pula jadinya .



{ 4 }



Sebaik sahaja kami dan kesemua keluarga orang yang “ sakit “ itu tiba di rumah Pak Bukhari , beliau terus menyambut kedatangan kami dengan mesra . Terus beliau mengajak kami semua untuk minum teh yang telah disediakan .


Bukan itu sahaja , malah beliau dan isteri beliau mengajak kami untuk menikmati makan malam yang baru disediakan ; Bihun Goreng , Mee Bandung dan Kueh Teow Goreng . Semua itu telahpun terhidang di meja besar di ruang tamunya .


Semua terkejut dengan sambutan beliau . Dan aku tersenyum dengan sikap Pak Bukhari itu yang bagiku ada maksud yang tersirat ( namun bertujuan murni ) di sebalik tindakannya itu .


Kebanyakan keluarga orang tua yang sakit itu keberatan untuk menikmati juadah tengah malam yang disediakan . Entahkan kerana malu , ataupun kerana mahu “ menonton sayembara “ terlebih dahulu . 




Aku lebih senang berada di kerusi batu di perkarangan rumah Pak Bukhari sambil bersembang-sembang dengan beliau dan kadang-kadang aku dan begitu juga Pak Bukhari masuk mendekati orang tua yang sakit itu di musolla ( ruang Solat ) yang Pak Bukhari sediakan bersebelahan ruang tamu rumahnya yang cantik itu .


Sambil-sambil Pak Bukhari mempersilakan para tetamu untuk terus menikmati hidangan tengah malam yang lazat itu , beliau tetap mendekati dan memberikan beberapa nasihat berunsur agama kepada orang tua yang sakit itu . Sambil aku , Hj Abdullah ‘Wisma Yakin’ dan sahabatku ; Sang Ustaz itu turut sama berada di sekeliling orang tua yang sakit itu .


“ Lain yang ditunggu , lain pula yang tiba “ ; itulah agaknya kata hati kebanyakan anggota keluarga orang tua yang sakit itu apabila ku melihat air muka kebanyakan mereka yang merasa “ kurang senang “ dengan tindakan Pak Bukhari itu .


Yang mereka mahukan setelah bersusah-payah datang jauh-jauh adalah “ aksi –aksi silat atau pertembungan ilmu kebatinan “ sebagaimana yang banyak ditonton di dalam cerita-cerita seram / mistik . Namun yang berlaku adalah seumpama sebuah majlis kenduri di tengah malam yang diselitkan oleh nasihat-nasihat agama oleh tuan rumah itu ; Pak Bukhari .


Beberapa ayat suci yang biasa kita dengari dibacakan oleh Pak Bukhari di dalam nasihat-nasihatnya itu . Tujuannya agar dibaca dan difahami baik-baik oleh setiap kami , lebih-lebih lagi orang tua yang sakit itu sehingga menjadi “ darah-daging “ dan sekaligus sebagai “ penawar “ kepada “ sakit “ yang dialami oleh orang tua itu .


“ Jangan dipandang ianya tidak seberapa . Jangan anggap ia tidak punya rahsia kekuatan . Walaupun ia hanya ayat-ayat yang biasa kita dengar dan baca , namun itulah sebenarnya hakikat kita sebagai makhluk dan hakikat ALLAH sebagai Tuhan Penguasa seluruh isi alam ini . Lihatlah sahaja kepada BISMILLAHI ROHMANIR RAHIM ….. Kalau tidak kerana DIA bersifat AR-ROHMAN lagi bersifat AR-ROHIM , tiadalah kita dan tiadalah alam ini tercipta . Dan LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL ‘ALIYYIL ‘AZHIM itulah ubatnya yang mujarab kerana di situlah intipati kita sebagai makhluk dan DIA sebagai Al-Khaliq ; Yang Maha Mencipta segala-galanya “ ; Pak Bukhari bersyarah dan menasihati kami semua menurut ingatanku di saat ini .


Padaku , nasihat itu juga berisi teguran kepada mereka yang merasakan bahawa Pak Bukhari tidak pun bersilat ataupun merawat , Cuma hanya menasihati dan bersyarah semata-mata .


Padaku, apa yang dilakukan oleh Pak Bukhari itulah sebenarnya BERSILAT dan itulah juga sebenarnya MERAWAT . Bersilat di dalam maksud mengelak dan menepis segala serangan-serangan syaitan laknat ke dalam hati sanubari anak-cucu Nabi Adam ‘Alayhis Salam ini agar jangan sampai terperangkap dek jeratnya yang maha licik lagi jahat . Dan memukul serta menyerang kembali bala tentera syaitan laknatulLoh itu dengan senjata-senjata ayat-ayat suci ILAHI .



Samalah dengan apa yang senantiasa dipesan oleh Al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Ahmad Junaidin ( Ustaz Mat Janggut – Guru Utama Silat ABJAD ) yang menyimpulkan bahawa SILAT itu adalah segala GERAK – GAYUNG – GAYANG yang menyambut ketaatan mutlak kepada ALLAH TA’ALA , kepada IMAN dan TAUHID serta menepis-membuang-mengelak sebarang SYIRIK – KHURAFAT – RIDDAH (MURTAD) – DOSA terhadap ALLAH TA’ALA . 







Itulah sebenarnya SILAT ….. bukannya sekadar beraksi berpencak dan bersilat yang budak-budak kecil , ahli-ahli gimnastik dan para pelakon pun boleh meniru dan mempamerkannya !!! .


Walaupun begitu , kadang-kadang kenakalan Pak Bukhari yang telah berusia 82 tahun dan pernah digilis separuh badannya oleh keretapi di Segambut pada tahun 1965 dahulu tetap terkeluar juga .


“ Eh , katanya tadi datang nak bersilat dengan saya . Saya dah memang ‘stand by’ dah dari tadi ni haaaa ! “ ; usik Pak Bukhari .


“ Tak mau dah . Taubat nak buang dah . Tak mau bersilat lagi “ ; jawab pesakit tua itu . 


Pak Bukhari mengulang semula ayat-ayat suci yang dibacakan tadi agar dapat dituruti dan diingati oleh orang tua yang sakit itu sebagai proses merawat diri sendiri dengan bertaubat dan memohon ampun kepada ALLAH TA’ALA serta meninggalkan segala “ pendamping “ dari kalangan syaitan yang “ masuk “ bersama beberapa amalan kebatinan silat yang dipelajari dan diamalkannya dahulu .


Pak Bukhari berpesan lagi : “ Nanti datanglah lagi dengan membawa cermin muka . Akan saya tulis beberapa ayat suci di atas cermin itu dan kemudian , ia direndam di dalam air sebaldi untuk memandikan pesakit ini “ .


Akhirnya , semua ahli keluarga pesakit dan juga pesakit itu pun memohon untuk pulang ke rumah mereka kerana sudah semakin larut malam . Tinggallah aku , sang ustaz , Haji Abdullah ‘ Wisma Yakin ‘ dan Haji Paiman masih meneruskan ‘ sembang-sembang ‘ bersama-sama Pak Bukhari .
 





{ 5 }



Semasa perjalanan pulang , sempat aku nyatakan kepada sahabatku yang bergelar “ ustaz “ itu : “ Ustaz , sebenarnya jika kita turuti kehendak orang tua yang sakit itu yang awal-awal tadi minta untuk bermain silat pulut dengannya sebenarnya kita dah turuti kehendak syaitan “ .


Ustaz itu kehairanan , lalu bertanya : “ Mengapa pula enta kata begitu ? “ .


Jawabku : “ Ye lah … Cuba enta bayangkan pakcik tu asalnya bangun pun dah tak larat . Tiba-tiba nak minta bersilat pula . Jadi siapa sebenarnya yang hendak bermain silat itu , adakah memang dia ataupun “ makhluk “ yang ada di dalam dirinya itu ? “.


“ Ye lah kata enta tu …. , AstaghfirulLohal ‘Azhim . Kalau kita turuti kehendaknya untuk bermain silat tadi , dah tentu kita dah turuti kehendak si syaitan dan sekaligus pada peringkat pertama lagi syaitan dah menang dan kita kalah “ ; kata sahabatku sang ustaz itu sambil memandu kenderaannya .


Ustaz itu menyambung lagi : “ A’ah betullah tindakan Pak Bukhari tu . Dia bagi nasihat . Dia ajar doa-doa . Dia layan pula kita ni sebagai tetamu dengan layanan yang cukup istimewa . Itu semua sebenarnya mempraktikkan SUNNAH NABI SOLLALLOHU ‘ALAYHI WA SALLAM . Dan sesiapa yang beramal dengan ajaran dan sunnah Baginda RosululLoh SollalLohu ‘Alayhi Wa Sallam , pasti akan dipagari oleh penjagaan dan pemeliharaan ALLAH TA’ALA dan sekaligus syaitan-syaitan tidak akan berjaya mengganggu dan menewaskannya “ .


Aku tersenyum sahaja mendengar kesimpulan yang disampaikan oleh temanku itu dan bersyukur kepada ALLAH di atas pengalaman yang cukup berharga itu .







{ 6 }



Seminggu selepas peristiwa itu , aku sebagaimana rutin , aku akan ke pasar pagi yang tidak jauh dari kediamanku di hujung minggu . Aku mengambil peluang mendatangi salah-seorang di antara anggota keluarga pesakit tua itu yang sememangnya berniaga di pasar pagi itu .



Si peniaga itu menyatakan ; “ Ustaz , saya sebenarnya berasa kesal dengan sikap kebanyakan anggota keluarga kami pada malam itu . Lagak mereka seperti orang yang tidak reti berterima kasih dan tidak beriman sahaja walaupun ada 3 orang yang belajar di Al-Azhar “ .


Katanya lagi menyambung ; “ ….. disebabkan tak puas hati kerana hajat mereka tidak kesampaian pada malam kelmarin tu . Adik kepada ayah kami tu ( pakcik tua yang sakit tempohari ) pun bermain silat dengan ayah kami sebaik sahaja sampai daripada rumah Pak Bukhari ( 4.00 pagi ) . Katanya agar dapat memenuhi hajat ayah kami “ .


Saya senyum dan bertanya : “ Hmmm…. Yang sebenarnya itu memang hajat ayah kamu semua atau hajat syaitan yang berada di dalam tubuh ayah kamu tu ? . Logiknya , ayah kamu nak bangun pun dah tak larat dah “ .


Si peniaga itu terdiam dan kepalanya terangguk-angguk setuju dengan kata-kataku itu .


Aku katakan lagi : “ Syukur kepada ALLAH yang memberikan kesedaran kepada saya . Jika saya penuhi permintaan ayah kamu pada malam itu untuk bermain silat dengannya , sudah pasti syaitan yang akan menang kerana hakikatnya tak lain dan tak bukan yang berhajat itu adalah syaitan ; saka ilmu persilatan yang dituntutnya dahulu dan bukannya dirinya sendiri . Sebab itulah saya tidak mahu melayan permintaan itu “ .


Si peniaga itu terangguk-angguk lagi dan mukanya memang kelihatan kesal dengan tindakan sebahagian besar anggota keluarganya itu yang tetap mahu menunaikan hajat songsang itu .


Sebelum aku beredar , aku katakan lagi : “ Biarlah apa yang berlalu itu. Ambillah iktibar dan pelajaran . Mari kita sama-sama berusaha amalkan seluruh isi ajaran Baginda Nabi kita ; Nabi Muhammad SollalLohu ‘Alayhi Wa Sallam . Insya-ALLAH dengan itu , kita semua bukan sahaja akan selamat selama-lamanya bahkan akan senantiasa dibantu oleh bala-tentera ALLAHU TA’ALA di dalam kehidupan kita ini “ .


Semoga ada manfaat dan pengajaran di sebalik pengalaman berharga ini . 



 


Sekian. Wassalam 





 
Cindai Pelangi ®
Isnin – 12 / Zulkaedah / 1432 H 
= 10 / Oktober / 2011 M
KUALA LUMPUR
 




SELAMAT DATANG & MENIKMATI 1001 MANFAAT

" Selamat Datang. Berhentilah & berehatlah seketika di sini !. Mungkin ada apa-apa isi yang menarik & bermanfaat untuk anda semua "