SILA LAYARI JUGA

http://www.facebook.com/profile.php?ref=name&id=100000598573122

http://www.silat.tv/profile/cindai_pelangi

Jumaat, 20 Januari 2012

BODOH DAN MAKIN DIPERBODOHKAN PULA !


BODOH DAN MAKIN DIPERBODOHKAN PULA !


{ 1 } 


Suatu hari aku berjalan di sebuah pasaraya . Tiba-tiba aku ditegur oleh seorang jurujual , katanya : “ Abang dah ada ASTRO di rumah ?. Jika belum, marilah mendaftar sekarang . Dan jika sudah ada, apa kata abang tambah satu lagi di rumah. Kita ada promosi ni bang, pemasangannya percuma “ .

Dan aku menolak tawaran itu secara sopan walaupun di dalam hatiku menyampah tak terkira … He He He ! .

Kenapa ? .

Ya lah ! . Yang dah ada di rumah pun tak sempat untukku tontoni, inikan pula mahu menambah satu lagi . Apalah gunanya ? .

Bahkan,  aktivitiku sehari-harian, samada yang berkaitan dengan kerja rasmiku mahupun kerja sosial yang kulakukan setiap hari menerusi beberapa pertubuhan dan kelab kemasyarakatan , menyebabkan aku memang tidak punya masa untuk menonton TV .

Berita-berita di dalam TV itu pun , aku memang tak ambil peduli. Lagipun , berita-berita penting semuanya masuk ke dalam ‘henfon’ ku dan biasa juga ku baca secara ‘on-line’ @ internet . Maka bagiku , tak perlulah aku nak ‘menghabiskan masa’ di hadapan TV pula untuk menonton berita-berita itu .

Lagipun , kebanyakan berita di dalam TV itu pun lebih banyak ‘ menaikkan darah ‘ ku . Apa tidaknya apabila ia hanya disajikan di dalam keadaan ‘ berat sebelah ‘ dan ‘ penuh penipuan fakta ‘  ? .

Aku tak hairan dengan semua berita itu … tak kiralah sumber Agensi Berita itu tersohor di seantero dunia sekalipun …. CNN , BBC , REUTERS … dan lain-lain …. Bagiku, semuanya penuh pembohongan dan lebih kubenci kerana semuanya memberikan ‘ gambaran yang negatif ‘ terhadap kesucian agama yang ku anuti ini ; AGAMA ISLAM ! .

Cukuplah bagiku “ BERITA DARI LANGIT “ yang tiada langsung sebarang noda dan dusta ; AL-QURANUL KARIM .


{ 2 }


Di seluruh rangkaian TV Tempatan dan termasuklah ASTRO , pasti banyak drama ‘ luar ‘ yang diimport masuk dan ‘ disajikan ‘ sebagai ‘ hidangan mata ‘ kepada rakyat negara ini .

Tak kiralah ianya drama ‘ American – Latin ‘ ,  Dari India : Bollywood dan Tollywood nya , dari Phillipina nya  dan dari negara jiran yang menggelar drama ini sebagai ‘ SINETRON ‘ .

Kebanyakan drama ini , menurut pandanganku , tidak lebih hanyalah drama-drama murahan yang dibeli secara borong dengan harga pukal yang begitu murah dan kemudian ‘ dijual ‘ kepada rakyat Malaysia ini dengan harga yang mahal . Dijual dengan cara disogokkan ke mata-kepala mereka .

Drama yang penuh dengan kebodohan dan membantutkan pula semangat ‘ survival ‘ yang sepatutnya ada pada setiap diri yang punya akal yang waras .

Lihatlah sahaja kepada ‘sinetron-sinetron’ dari Indonesia itu . Bukan tidak ada sebenarnya yang bagus isinya dan baik olahan ceritanya . Namun yang baik itu bukanlah pilihan stesen-stesen penyiaran TV itu . Dipilihlah yang rendah mutunya dan murah harganya , agar modalnya sedikit dilabur namun labanya (untungnya) besar dapat dipungut ! .

Kebanyakan sinetron-sinetron dari Indonesia yang disiarkan oleh rangkaian-rangkaian TV di negara kita akan menyebabkan kita bertemu dengan adegan – adegan berikut :

( 1 ) – Ibu tiri yang jahat yang senantiasa menzalimi anak suaminya tanpa anak itu dapat membela dirinya sendiri ataupun dibela oleh bapa kandungnya .

( 2 ) – Gadis desa (kampung) yang datang ke sekolah / kolej di bandar dan dipermain-mainkan oleh teman-teman sekampus yang lebih ‘advance ‘ gaya hidup mereka ataupun ditipu oleh ‘ buaya-buaya darat ‘ di kampus itu .

( 3 ) – Apa –apa sahaja watak dan karakter yang akhirnya menonjolkan sifat bodoh – pasrah – tidak melawan !.

Apakah ada agenda tersembunyi di sebalik stesen-stesen penyiaran TV dan juga pihak pemerintah di sebalik pemilihan drama-drama seperti itu selain dari ‘ nilai keuntungan material ‘ semata-mata ? .

Atau sebenarnya drama-drama bodoh seperti itu memang lebih digemari oleh kebanyakan sang politikus yang menguasai pentas utama pemerintahan , kerana watak sebagai seorang yang bodoh – pasrah – tidak melawan itu sangat-sangat menjamin kelangsungan pemerintahan seseorang politikus yang biasa menindas rakyat bawahannya ? . 




{ 3 }


Aku adalah umat RasululLah { Sollahu ‘Alayhi Wa Sallam } . Dan aku biasa diperingatkan oleh sepotong hadist Baginda { Sollahu ‘Alayhi Wa Sallam } yang mafhumnya :

(( “ Orang yang beriman itu tidak akan disengat di lubang yang sama sebanyak dua kali “ )) .

Dalam bahasa lain : “ Orang yang beriman itu tidak akan jatuh di lubang yang sama sebanyak dua kali “ .

Mengapa begitu hadistnya ? .

Ya, memang sepatutnya begitulah sifat yang perlu ada pada setiap individu yang beriman benar-benar kepada ALLAH SUBHANAHU WA TA’ALA dan RasulNYA { Sollahu ‘Alayhi Wa Sallam } .

Iman mestilah selaras dengan Ilmu dan Amal . Tidak mungkin seseorang itu beriman tanpa adanya ilmu dan tanpa diamalkan pula ilmu yang dituntut itu .

Tidak ada istilah BERTAQLID BUTA @ MEMBUTA TULI @ MEMBABI-BUTA di dalam urusan beriman !. Itulah yang hukuman yang putus ( muktamad ) dari lisan ulama’ kita – Salafus Solihin hingga ke zaman Khalaf , mutakhiirin ini .

Sebab itulah ayat pertama diturunkan pun berbunyi : “ IQRO’ ….. “ ( Bacalah ! ) . Bacalah artinya : Tambahlah ilmu pengetahuan = Belajarlah ! .

Dengan roh “ IQRO ‘ …. “ itulah akan melahirkan sifat FATONAH = Kecerdikan .

Artinya ; IQRO ‘ – FATONAH – IMAN adalah selari . Sehati-sejiwa . Seiya-sekata .

Dan mana mungkin seseorang yang cerdik itu akan ditipu oleh orang yang sama atau dengan cara yang sama sebanyak dua kali ??? .

Jika ia berlaku , itu tandanya seseorang itu MASIH BODOH dan TIADA / KURANG WASPADA ! .

Dan mana mungkin seseoran yang beriman itu membiarkan dirinya masih bodoh dan tiada / kurang waspada sehingga selalu ditipu dan ditindas , samada oleh musuh-musuhnya yang zahir dilihat dek mata kasar mahupun yang batin ! .

Dan mana mungkin seseorang yang beriman dengan sebenar-benarnya membiarkan dirinya terus dizalimi dan ditindas tanpa ada sebarang tindakan untuk bangkit semula menebus maruah dirinya mahupun agamanya !? .

Namun , masih ada yang akan terus berkata dan beralasan ; “ Alahai …. Itu kan hanya sekadar hiburan . Apalah nak disibukkan ? “ .

Jawabku : “ Ya, dan itulah yang tidak disedari oleh kebanyakan kita… Alangkah malangnya masih ada manusia yang merasa terhibur apabila mereka ditipu dan diperbodohkan “ .

Maaf , aku tak mahu jadi orang yang masih bodoh lagi diperbodohkan berkali-kali dan tidak pula aku mahu jadi orang yang ditindas dan dizalimi tanpa sebarang pembelaan .

Aku adalah muslim dan aku adalah mukmin = orang yang beriman .

Dan aku tidak akan membiarkan imanku ini , yang walaupun hanya tinggal senipis kulit bawang , akan terus diraut dan dibuang lagi kulitnya sehingga tiada sebarang helaian iman tertinggal di jasad dan sanubariku ! .

Aku berlindung denganMU Ya ALLAH ; Yang Maha Gagah Lagi Yang PerlindunganNYA tiada dapat dicabar dan ditembusi dari segala macam tipu-daya dan kezaliman musuh-musuhMU ; samada musuh yang dilihat sebagai makhluk yang sama rupa bentuk dan tutur-katanya dengan diriku ini mahupun yang berlainan rupa-bentuknya dan ghaib dari pandangan pancainderaku yang serba lemah ini .

Amin Ya Robbal ‘Alamin .




CINDAI PELANGI ®
Jumaat Al-Mubarokah
26 / Safar / 1433 Hijrah = 20 / Januari / 2012 Masihi
KUALA LUMPUR




SELAMAT DATANG & MENIKMATI 1001 MANFAAT

" Selamat Datang. Berhentilah & berehatlah seketika di sini !. Mungkin ada apa-apa isi yang menarik & bermanfaat untuk anda semua "