SILA LAYARI JUGA

http://www.facebook.com/profile.php?ref=name&id=100000598573122

http://www.silat.tv/profile/cindai_pelangi

Ahad, 20 September 2009

SELAMAT HARI RAYA I'EDUL FITRI 1430 H

SELAMAT HARI RAYA I'EDUL FITRI 1430 H









Semoga segala amalan, doa permohonan, niat yang baik dan taubat kita diterima Allah Subhanahu Wa Ta'ala 
&
Allah Subhanahu Wa Ta'ala tetap memberikan peluang kepada kita untuk terus ingat, bersyukur dan beribadat kepadaNYA dengan sebaik mungkin. 

Amin Ya Robbal 'Alamin

Ahad, 6 September 2009

POLITIK ALA FILEM INDIA ?


POLITIK ALA FILEM INDIA ?

( 1 ) 
Apa itu " POLITIK " ?. 

Ada banyak definasinya dan banyak pula yang membahaskan dari sudut bahasa asalnya , sejarahnya bahkan hukumnya menurut penilaian syariah Islam.
Namun  semuanya akan menjurus kepada kesimpulan bahawa apa yang dimaksudkan dengan " POLITIK " itu adalah apa-apa yang berkaitan dengan pemerintah dan rakyat. 

Artinya : " POLITIK " itu adalah " KUASA PEMERINTAHAN ".


( 2 ) 


Aku asalnya bukanlah orang yang sangat meminati " DUNIA POLITIK " , samada politik tanah air mahupun antarabangsa. 

Aku juga tidak pernah mengimpikan untuk menjadi seorang ahli politik yang menduduki "hierarki " (Hierarchy) tertinggi kepimpinan parti, mahupun negeri ataupun negara ini.


Mengapa ?. Apakah kehidupan seorang " ahli politik " yang dilihat senang , mewah , berkuasa dan berjawatan itu tidak menarik minat aku ?.

Ah !....bukan aku tidak tahu hal itu semua. Tentu aku maklum akan hal itu. Aku sendiri sebelum ini pernah berkerja dengan bekas seorang timbalan menteri. Aku sendiri korbankan banyak masa dan tenagaku untuk berkhidmat kepadanya.  Ku tinggalkan keluarga tercinta dan kampung halamanku demi untuk memfokuskan kerja dan khidmatku padanya. Aku sendiri sudah merasa menjadi " orang kuat " beliau dan sekaligus dihormati masyarakat kerana status dan jawatanku itu.


Tapi, percayalah itu semua tidak menyebabkan aku " terliur " untuk menjadi sepertinya. 


Kenapa ?. Nantilah, insya-Allah dalam tulisan lain, akan aku nyatakan kenapa dan mengapa.


Yang sempatku nyatakan secara ringkas sebabnya ialah, memang dari asal aku tidak ada niat untuk menjadi " orang politik " .

( 3 )


Impian hidupku mudah sahaja. Mahu menjadi seorang pendidik yang dapat mempersiapkan anak-anak bangsaku menjadi manusia yang berguna untuk Agama, Bangsa dan Tanah Airku yang tercinta ini.


Mahu menyediakan satu generasi yang punya ilmu, bakat dan kemahiran untuk menghadapi " cabaran hidup " yang semakin hari semakin keras.


Biarlah apa pun ilmu dan bidang yang bakal generasi itu pilih. Tapi tujuannya biarlah untuk mengharumkan dan mempertahankan ALIF BA TA ( Agama, Bangsa & Tanah Air ).


( 4 )


Pernahkah anda menonton filem-filem dari Negara India ?. Biarlah apa pun namanya, " Bollywood " ( Hindustan ) ataupun " Tollywood " ( Tamil ).


Aku pun bukanlah penggemar filem-filem India. Cuma ada beberapa yang pernahku tontoni ( secara sengaja ataupun disebabkan terserempak ) berjaya meninggalkan bekas di dalam fikiranku.




Masa aku kecil dahulu, filem " HAATHI MERE SATHI " ( Lakonan Rajesh Khanna. Filem mengenai gajah dan manusia ) dan " VEERA PANDIYA KATTABOMMAN " ( Lakonan Sivaji Ganesan. Filem mengenai Raja Tamil yang menentang penjajah Inggeris ) berjaya menambat hatiku.



 Setelah aku dewasa, ada beberapa lagi filem India yang agak menarik dan berjaya menyebabkan aku " termanggu di hadapan skrin TV " ; iaitu " PHIR BHI DIL HAI HINDUSTANI "  ( lakonan Shah Rukh Khan dan Juhi Chawla ) dan satu lagi, filem " SIVAJI : THE BOSS " ( lakonan Rajnikanth ).




Mengapa kedua-dua filem itu sangat menarik minatku ?. Ini kerana ia ada kaitan dengan " politik tanah air " ( walaupun tanpa niat si produser, pengarah dan penulis skrip filem itu untuk mengaitkannya ).




( 5 )


Apakah " fenomena politik " yang biasa dipaparkan di dalam filem-filem India itu ?.


Biasanya kita akan dapati Sang Hero akan berdepan dengan berbagai kesusahan dan keperitan untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan yang diyakininya.


Sang Hero akan berdepan dengan berbagai " karenah birokrasi " dari pejabat-pejabat pemerintah ( kerajaan ), samada dari pihak boss-boss jabatan itu dan ini, ketua polis , ketua-ketua jabatan / unit media-massa, " taikun-taikun besar dunia bisnes " dan lebih-lebih lagi " orang-orang besar politik " yang " tak sebulu " dengannya.

Bukan itu sahaja. Kongsi gelap dan penjahat / samseng pula akan diajak bersama untuk memusuhi sang hero itu.


Tidak cukup dengan itu, " cywar " berbentuk fitnah dan hasutan kepada masyarakat pula digunakan untuk " membunuh " sang hero. " Bunuh " itu samada niatnya untuk terus berjuang ataupun kariernya mahupun tubuh-badannya itu sendiri !.


Bahkan golongan agamawan pun diheret sama untuk membenci dan memusuhi Sang Hero itu !.


Apakah mereka itu buta dan pekak hingga kebenaran yang diperjuangkan oleh Sang Hero itu tidak disokong oleh mereka ?.


Ya !, memang mereka jadi buta dan pekak bahan turut menjadi bisu. Semuanya gara-gara wang !.


Itu yang disebut di zaman kini sebagai " politik wang ".


" POLITIK WANG " = " RASUAH POLITIK " = " WANG SOGOKAN PENAMBAT HATI ".


Semua jadi " kelabu mata " bahkan " buta " hanya gara-gara " politik wang " ini !!!.


Itulah yang dipaparkan di dalam filem-filem tersebut. 


Persoalannya : Apakah itu hanya " khayalan si pengusaha filem India " atau ia benar-benar satu realiti yang berlaku di dalam dunia politik di Negara India !?.


Arghhh !!!.... tak perlulah kita sibuk-sibuk dengan Negara India itu. Lihat sahaja ke negara kita ini ; Malaysia.


Apakah " fenomena " seperti itu tidak berlaku di dalam negara kita ini ???.


Jangan jawab soalan di atas dengan " sikap taksub " kepada mana-mana individu ataupun parti yang anda dokongi / sokongi, tetapi jawablah dengan " hati yang peka, fikiran yang waras dan pandangan yang tepat " !.


Pasti jawapan anda adalah : " Alah, ia lebih-kurang sama dengan apa yang berlaku dalam politik Malaysia ini ".




( 6 )




Rasuah - Salah Guna Kuasa - Birokrasi - Kezaliman - Media Massa " Berat Sebelah " - Pembohongan & Fitnah . Ini semua sudah menjadi " asam garam " di dalam wajah dan fenomena politik tanah air.


Apakah sikap rakyat Malaysia terhadap " kebobrokan " ini ?. Pada pengamatanku, sikap mereka adalah :




i - Menganggap itu adalah " kebiasaan " yang sudah biasa dilihat dan didengar. " Tak tipu, tak dianggap berpolitiklah " ; kata mereka .




Hasilnya, sikap yang menganggap semua " kebobrokan politik " itu sebagai " hal biasa " menyebabkan lahirnya satu golongan yang boleh menerima semua " kebejatan moral dan keruntuhan akhlak " diterima-pakai oleh ahli-ahli politik.




Golongan seperti ini tidak ubah seperti orang yang menipu di dalam perniagaan dengan alasan : " Alah !, kalau tak menipu tak dianggap bisneslah ".



Ahli-ahli politik yang memang " bejat moral dan runtuh akhlaknya " sudah tentu " senyum puas " dengan lahirnya golongan seperti ini .




ii - Golongan yang tidak mahu menerima kenyataan bahawa di dalam " dunia politik tanah air " memang berlaku semua hal-hal yang buruk itu.



Mengapa saya gunakan perkataan : " tidak mahu menerima" !?. Kerana mereka sendiri sebenarnya melihat hal itu berlaku di keliling mereka, bahkan mungkin di dalam parti politik mereka sendiri. Namun, berapa ramai di kalangan manusia yang dapat menerima hakikat sebenar ?.




" Politikus-politikus yang bejat moral & rosak akhlaknya " juga akan " tersenyum puas " dengan wujudnya golongan seperti ini.




( iii ) 




Golongan yang memang mengakui bahawa kesemua keburukan di atas memang benar-benar berlaku di dalam " dunia politik tanah air " kita ini.




Tapi , apakah tindakan golongan ketiga ini untuk " mengubah fenomena politik tanah air " ?.




Tidak ada !!!, hanya sekadar melepaskan geram dan marah mereka di hadapan teman-teman di warung kopi. Sambil " berborak-borak " isu semasa. Itu lebih baik daripada mendengar " leteran isteri " di rumah ( mungkin ? ).




Mengapa pula begitu !?. Bukankah mereka juga asalnya geram dan marah terhadap " ahli-ahli politik yang rakus lagi buruk moralnya " itu ?.



Ya !, memanglah asalnya mereka geram dan marah. Namun apabila mereka melihat " fenomena politik dan sikap buruk sebahagian ahli-ahli politik tanah air " tetap juga begitu dan tidak berubah menjadi baik, akhirnya mereka menjadi " frust " ( putus asa dan kecewa ) dan berkata : " Lantaklah nak jadi apa pun. Buat letih aku aje nak ubah sesuatu yang tak mau berubah ! ".




Sekali lagi ............. ahli-ahli politik yang memang " bejat moralnya dan buruk akhlaknya " akan senang dengan keberadaan golongan yang " frust " seperti ini !.




( iv ) 




Golongan keempat ini pula adalah " golongan tak kisah " juga. Tak kisah = tak peduli apa yang berlaku di dalam " dunia politik tanah air " selagi ia tidak menggangu kepentingan mereka.




Kepentingan itu samada kepentingan peribadi / kepercayaan peribadi  atau organisasi ataupun perniagaan mereka !!!.




" Asalkan tak kacau aku atau kerja aku, tak mengapalah " ; kata hati mereka.





Jika Malaysia ini masih lagi dijajah " Barat " , sudah tentu semua " penjajah orang putih " itu akan tersenyum riang dengan adanya " golongan mondom dan mandul " seperti ini.




Walhal sebenarnya, tidak ada tempat ketiga di antara menyokong dengan menentang penjajah itu. " Berdiam diri  dan tidak peduli terhadap kezaliman / keburukan sedangkan diri itu berupaya menentang dan mengubahnya ,TIDAK ADA BEZANYA dengan menyokong kezaliman / keburukan itu, walaupun secara " senyap-senyap ".




( v ) - Golongan yang kelima ini pula adalah mereka yang masih dan yakin bahawa " masih ada sinar yang terang benderang walaupun dunia politik tanah air ini sudah gelap  berlapis-lapis ". 


Golongan ini yakin bahawa " kebobrokan dunia politik tanah air " dapat ditenangkan dan dijernihkan kembali. Namun semua itu sudah pasti dengan sebab ikhtiar dan doa serta tawakkal kepada ilahi.



" Bersama kita mengubah sekeliling kita,  termasuklah dunia politik kita menjadi lebih baik " . Itulah pegangan dan kepercayaan yang diperjuangkan oleh golongan kelima ini.




Golongan ini juga akan berusaha keras memastikan bahawa pegangan dan kepercayaan ini tidak tinggal sebagai semangat di dalam hati semata-mata, bahkan ia diterima dan diperjuangkan pula.




Segala bakat, ilmu dan kemahiran yang mereka miliki, akan mereka tujukan ke arah merealisasikan semangat dan pegangan mereka itu.




Mereka tidak mahu menjadi golongan yang hanya " melihat  angin perubahan ( ke arah kebaikan atau ke arah yang lebih baik ) itu berlaku, bahkan mereka sendiri mahu " bersama-sama angin perubahan itu ". Bukan sekadar menyokongnya, bahkan mahu mendokonginya.




" Si politikus-politikus yang bejat moral dan buruk akhlaknya " sudah pasti " tak senang duduk dan tak senang berdiri " dengan golongan seperti ini.




Niat mereka ;  " Usah ada " golongan seperti ini !!!. Dan ia akan diusahakan mereka yang " jahat " itu " by hook or by crook " ( secara baik ataupun secara jahat ).


" Penjahat-penjahat di dalam dunia politik " itu juga pasti akan " meratib-memuja-menyembah " teori Niccolo Machiavelli " yang mengajar " The End Justify the Means " ( Tujuan Menghalalkan Semua Cara : Baik ataupun Buruk ) !!!.




( 7 )





Bukankah pada awal tulisanku di atas sudahku nyatakan : " Aku asalnya bukanlah orang yang sangat meminati " DUNIA POLITIK " , samada politik tanah air mahupun antarabangsa ".


Bukankah aku juga pada asalnya lebih senang untuk menjadi seorang pendidik anak-anak bangsaku dan bukannya mahu menjadi " orang politik " ???.




Tapi mengapa sekarang aku menulis berkenaan " POLITIK " di tanah airku ini pula ???.



Ini kerana aku tidak mahu segala kekecewaan dan kemarahan aku terhadap " sang politikus yang zalim lagi bejat moral dan buruk akhlaknya itu " terkubur dan tinggal " semangat hangat-hangat tahi ayam semata-mata ".





Marahku lantaran rakyat ini cuba diperbodoh-bodohkan dan "digula-gulakan" mereka yang keji itu takkan kubiarkan ia " marak laksana api yang lama-kelamaan akan terpadam ".




Aku manusia yang ada hati dan perasaan. Naluriku masih terusik dek keburukan-keburukan dan kezaliman-kezaliman mereka itu.




Moyangku berhempas-pulas menentang Penjajah Siam di Kedah dahulu. Datukku sampai pernah ditempak dek komunis di Segari, Perak. Bapaku pula hingga masih ada kesan tembakan di dahi gara-gara mahu mempertahankan kedaulatan tanah air ini di era Konfrantasi ciptaan Soekarno  ketika di Sabah dahulu.  Aku pula ???. Takkan aku mahu duduk diam sahaja !?.




Bahkan lebih daripada itu, aku adalah seorang MUSLIM dan MUKMIN yang tidak boleh dan tidak akan redha sebarang kezaliman , kebejatan moral dan kerosakan akhlak. Apatah lagi jika ia dilakukan atau ditaja oleh seseorang yang bergelar " pemimpin politik " pula.


Kalau ibarat filem-filem India di atas, aku mahu bersama-sama " SANG HERO " yang menentang segala penjahat dan kejahatan mereka.





Aku sendiri mesti bersama-sama " the wind of change ( angin perubahan )" yang akan mencorak suasana masyarakatku ini, termasuklah suasana politiknya menjadi lebih baik dari sebelum ini dan menuju keredhaan ilahi.




Sami-sami Budha di Myanmar dan Thailand pun " tidak berdiam diri " tatkala kezaliman pihak Junta Tentera dan Kerajaan Thaksin bermaharajalela. Inikan pula aku..... aku yang bergelar MUSLIM lagi MUKMIN !!!.




Anda pula bagaimana ?. Masih enak dibuai mimpi-mimpi ngeri yang dihidangkan dengan indah !?.




Bangunlah !. Bangkitlah !. Cahaya panas mentari merah sudah lama singgah ke muka. Apakah mahu ditunggu hingga ia membakar muka baru hendak bergerak dan sedar ???.




Fikir-fikirkan ..... timbang-timbangkan !!!.




Sekian.





CINDAI PELANGI
16 - Ramadhan - 1430 Hijri 
6 - September - 2009 Masihi
8.30 pagi
KUALA LUMPUR

SELAMAT DATANG & MENIKMATI 1001 MANFAAT

" Selamat Datang. Berhentilah & berehatlah seketika di sini !. Mungkin ada apa-apa isi yang menarik & bermanfaat untuk anda semua "