SILA LAYARI JUGA

http://www.facebook.com/profile.php?ref=name&id=100000598573122

http://www.silat.tv/profile/cindai_pelangi

Ahad, 30 Ogos 2009

ANTARA MASJID PAKISTAN DAN MASJID MELAYU


Sebelum wujudnya blog penacindaipelangi ini, aku sering menulis di Al-Ahkam.net , terutamanya ketika aku berada di alam kampus dahulu. Tidak sekadar di al-Ahkam.net, Aku bersama teman-teman di kampus menerbitkan pula " BULETIN MAHASISWA DPMD " yang dikenali sebagai " BULETIN AN-NASEEM " dan juga " SUARA KAMPUS KPIPM " . Bagiku, itulah salah-satu cara aku motivasi diriku untuk belajar dengan lebih gigih. Apa tidaknya ?, dengan menulis artikel-artikel ilmiah ( yang bukan sekadar lontaran pandangan  atau sekadar luahan rasa hati ) dan menjawab soalan-soalan di Al-Ahkam.net menyebabkan aku perlu ' study ' 3 kali ganda dari biasa.


Setelah pulang ke tanah air ini. Kerja dan aktiviti seharianku pun bermula dan semakin sibuk. 24 jam sehari pun dirasai tidak cukup. Hajat untuk terus aktif menulis terbantut.


Mungkin sesekali tatkala "gatal jari-jemari" ini tak dapatku tahan, akan ku ketuk-ketuk juga "keyboard komputer"ku ini dengan beberapa coretan yangku harapkan ia dapat memberi sedikit-sebanyak manfaat, khasnya bagi diriku sendiri dan untuk semua.


Di antara coretan yang terhasil disebabkan "gatal jari-jemari" dan "kerinduan kepad alam penulisan" adalah artikel di bawah ini. Ia diterbitkan di halaman web Al-Ahkam.net . Diterbitkan pada 8-Ogos-2008.


Sila ikuti tulisan tersebut dan semoga ada manfaatnya. Amin.


 
ANTARA MASJID PAKISTAN DAN MASJID MELAYU
 Posted by : pendekar on Friday, August 08, 2008 - 03:48 AM 
( Gambar : Masjid India di Kuala Lumpur. Aku punya 1001 memori menarik di sini )

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, 


Dah lama rasanya jari-jemari ini tidak " menari-nari mengetuk " papan kekunci ini di halaman al-Ahkam.net ini. Rasanya agak janggal juga untuk mula mencorat-coret di sini. Janggal kerana lama ditinggalkan al-Ahkam.net ini dan malu kerana ilmu pun masih tetap tak seberapa.


Namun, digagahi juga jari-jemari ini. Diperah-perah pemikiran ini agar apa yang tersurat kali ini diizinkan Allah SWT sebagai saham di dalam arena dakwah ini.

 

ANTARA MASJID PAKISTAN DAN MASJID MELAYU .... itulah topik bicara kali ini.


 
( Gambar : Masjid Pakistan Kuala Lumpur. Terletak di antara Pasar Chow Kit dan Kg. Baru )
 

MASJID PAKISTAN artinya Masjid yang didirikan oleh komuniti keturunan Pakistan mahupun India di negara kita. Kebanyakan umat Islam yang memakmurkannya adalah mereka yang bermazhab Hanafi.

  

Manakala MASJID MELAYU pula merujuk kepada tempat ibadah yang didirikan dan dimonopoli oleh umat Melayu Islam di tanah air kita ini. Kebanyakan yang memakmurkannya adalah mereka yang bermazhab Syafie.

 

Apa yang menariknya mengenai kedua-dua masjid ini ?. Saya tidak akan mengulas mengenai " MASJID MELAYU " kerana rata-rata kita sudah mengenalinya. Tetapi saya akan lebih memperkatakan perihal suasana dan perlaksanaan ibadat yang dilakukan di Masjid Pakistan-India di tanah air kita ini.

 

Semenjak kecil saya telah biasa ke Masjid Pakistan dan Masjid India yang berada di bandaraya Kuala Lumpur ini. Bapa saya dahulu sering ke kedua-dua masjid ini untuk bertemu dengan teman-temannya dan " pekena " capati dan teh tarik.

  

Di Kuala Lumpur ini ( sehingga ke saat ini ) saya sering ke masjid-masjid ini, samada Masjid Pakistan di Chow Kit, Masjid Pakistan di Balai Polis Kompleks Campbell ataupun Masjid India yang berhampiran dengan Wisma Yakin itu mahupun Masjid Pakistan di Sentul. Kadang-kadang di waktu Subuh pun, saya sanggup ke masjid tersebut untuk berjemaah walaupun jaraknya bukanlah dekat.
 

Kadang-kadang kawan-kawan termasuklah isteri dan ibu saya pun bertanya : " Apa yang menariknya di masjid itu ? ".

Saya jawab :  " Banyak !. Yang paling menarik adalah suasananya ".

Suasana yang bagaimana ?.

1 - Waktu Solat ~ Biasanya jangka masa solat Subuh didirikan di masjid tersebut agak lambat berbanding di masjid / surau Melayu. Di Masjid Pakistan-India,

Solat Subuh didirikan lebih-kurang 30 minit daripada tempoh azan Subuh dikumandangkan.

Kalau Solat asar pula, di kebanyakan masjid jika azan dilaungkan pada pukul 4.45 petang, maka di Masjid Pakistan-India akan dilaungkan pada pukul 5.30 petang.

Suara bacaan imamnya pula ala Imam di Masjid al-Haram Mekkah ataupun Masjid an-Nabawi di Madinah. Sungguh mempersonakan dan mententeramkan.

2 - Selepas Solat ~ Tiada zikir berjemaah dilakukan sehingga mengganggu jemaah yang masih belum selesai menunaikan solat. Semuanya " zikir sdn bhd " kemudian Imam akan membaca doa pendek lalu diaminkan oleh jemaah ( doa sekitar 2-3 minit sahaja ). Masjid Melayu pula, imam-imamnya suka doa-zikir-wirid-tahlil kuat-kuat sampai " bergegar tiang-tiang " tanpa mempedulikan jemaah ( makmum ) yang masih belum sempat menyelesaikan solat mereka. Bukan itu sahaja, doanya pula panjang-panjang tanpa mempedulikan makmum yang biasanya " mengejar masa " ( khususnya warga KL ini yang sentiasa sibuk berkerja ).

3 - Pengajian Tahfiz al-Quranul Karim ~ Boleh dikatakan hampir setiap Masjid Pakistan-India ini meneruskan tradisi Pengajian ala-Deobandi dan Luckowi ini.

Ada pengajian tahfiz yang dijalankan secara sistematik dan serius. Sedangkan masjid-masjid Melayu pula, lebih menekankan pengajian burdah dan berzanji.

4 - Kafe ~ Sesuai dengan jiwa-raga peminat-peminat masakan Pakistan-India ini. Kari kow mengalahkan " Kari 786 " pun ada. Nak makan dengan nasi putih ke, dengan nasi beryani ke ataupun dengan roti. Macam-macam ada !.
  

Itulah beberapa tarikan Masjid Pakistan-India yang sempat saya perkatakan kali ini.

Saya tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan " instituti Masjid-Masjid Melayu ", tetapi perlu ada perubahan yang lebih baik dilakukan. Bukan sekadar " duduk di takuk lama " dan berorientasikan tradisi taqlid buta semata-mata.


 
( Gambar : Masjid Cina atau Masjid Jubli Perak di Rantau Panjang, Kelantan DN yang sedang dalam proses pembinaan )
 

Kita tunggu dan lihat pula bagaimana pula dengan Masjid Cina yang sedang didirikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Tok Guru Nik Aziz yang terletak di pekan Rantau Panjang. Mudah-mudahan banyak manfaat yang dapat kita ambil dan diserapkan pula ke dalam masjid-masjid Melayu di tanah air kita yang tercinta ini. Amin.


Wassalam.

--------------------
diterbitkan semula oleh :
CINDAI PELANGI 
9-Ramadhan-1430 Hijri
30-Ogos-2008 Masihi
5.30 petang
KUALA LUMPUR

Sabtu, 29 Ogos 2009

Yang Lama VS Yang Baru ?

Yang Lama VS Yang Baru ???



Ayat ataupun slogan di atas adalah ayat yang sering terngiang-ngiang di telingaku.


Betapa tidak !?. Ia amat bertepatan dengan peganganku dan aku senantiasa berkerja keras dan berdoa ke hadrat Ilahi agar tindak-tandukku ini tidak lari dari pegangan dan prinsip itu selagi ianya tidak bertentangan dengan redhaNYA Yang Maha Kuasa.


Ketika aku berada di bangku sekolah menengah dahulu ( sebelum aku beralih ke aliran Sekolah Menengah Agama ), cita-citaku adalah untuk belajar di U.K ataupun U.S. Targetku, untuk menyambung pelajaran di dalam bidang Seni Bina ( Architecture ). Namun, itu hanya rancangan aku sebagai manusia. " Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan ".


Tup.... tup... tau-tau selepas 6 bulan aku berada di Tingkatan 4 ( Aliran Sastera di Sekolah Menengah Kebangsaan di kampungku ), tiba-tiba datang satu azam yang kuat untuk aku menukar bidang pengajianku, iaitu ke aliran agama.


Satu kejutan !. Kejutan buat teman-teman yang mengenaliku dan guru kelasku ( Puan Julie Abdullah ). Apa tidaknya ?, aku yang dianggap agak nakal ini ( tapi tak jahat tau ! ) tiba-tiba nak ke " sekolah Arab ". Aku jawab : " Kalau tak percaya nanti tengoklah !".


Selepas melalui ujian kelayakan masuk ke " sekolah Arab " , aku pun dibenarkan masuk ke kelas 4 Tsanawi. Aliran yang menyediakan pengajian Agama & Arab sebanyak 14 subjek dan pengajian SPM sebanyak 10 subjek. Semua subjek 24 subjek. Bebanan belajar semakin bertambah, tapi aku mesti harungi juga sebab ini adalah pilihanku. Budak-budak sekolah Sains yang biasa dianggap hebat seperti MRSM pun aku rasa tak mampu nak belajar 24 subjek dalam masa setahun.


Apabila dah belajar di " sekolah Arab " ni, perancanganku untuk " sambung belajar di UK / US " pun tergendala. Bahkan target ku kali ini mahu ke Lucknow, India iaitu ke Universiti Nadwatul Ulama' . Kealiman dan kesederhanaan yang biasa ku lihat pada 'alim-ulama' India-Pakistan menyebabkan hatiku lebih cenderung untuk ke sana, berbanding negara-negara Arab.

  
 
( Gambar : Universiti Nadwatul Ulama' , Lucknow, India )


Slogan di atas sebenarnya adalah slogan / motto Universiti Nadwatul Ulama' , di Lucknow, India. Slogan itu sekaligus menguatkan lagi azamku untuk belajar bersungguh-sungguh hingga sampai cita-citaku untuk belajar di sana.


Sekali lagi, " Kita hanya merancang, tetapi Tuhan yang menentukan ". " Jika tidak dapat ke Lucknow ataupun Deoband di India, aku akan ke Karachi, Pakistan " ; kata hatiku. Namun, disebabkan masalah dalam negara India & Pakistan yang sangat bergolak hebat di awal tahun 90'an menyebabkan aku tidak dapat melanjutkan pelajaran ke sana.


Akhirnya, aku memutuskan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar di Mesir.

 


 ( Gambar : Masjid Jamek Al-Azhar ash-Sharif, Kaherah, Mesir sebagai Universiti tertua di dunia dan Kiblat Ilmu Kaum Muslimin )


Sepanjang aku berada di Mesir, aku biasa mendengar dan membaca tulisan-tulisan yang berkaitan dengan isu di atas. Kalau di India, ulama' yang paling tersohor mengungkapkan kata-kata di atas adalah Maulana Syed Abul Hassan 'Ali an-Nadwi ( rahimahullah ).

 ( Gambar : Maulana Sayyid Abul Hassan 'Ali an-Nadwi RahimahulLoh ) 


Di Mesir pula, ulama' yang sering mengungkapkan slogan di atas adalah Al-'Allamah Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
  ( Gambar : Asy-Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi HafizohulLoh )

 

Slogan / Motto  di atas adalah simbol kebanggaan ulama' dan mahasiswa Universiti  Nadwatul Ulama' . Dan aku pernah mendengar bahawa di salah-sebuah bangunan di kampus induk Universiti Al-Azhar di Kaherah juga ada digantung slogan itu. Namun aku tidak pernah menemuinya selama aku berada di Mesir. Tapi aku yakin dan percaya, jika ia tidak digantung sekalipun di mana-mana dinding Universiti Al-Azhar, ia tetap tergantung utuh dan tersemat rapi di dalam dada-dada ulama' Al-Azhar. 

Mengapa pula aku berpandangan begitu ?. Sebab itulah yang aku dapati dari sebahagian besar pandangan dan ilmu para ulama' Al-Azhar.
 
Dan aku lebih yakin dan percaya yang Islam yang diturunkan sebagai rahmat oleh Allah SWT tidak akan memusuhi setiap warisan tradisional yang masih elok dan tidak pula bersikap dingin terhadap sebarang kemodenan yang mendatangkan manfaat, dengan syarat ianya tidak bertentangan pula dengan kehendak Allah SWT itu sendiri.


Nah !, apakah anda juga selesa dengan slogan / motto / pegangan itu ?.


Jika tidak, cubalah cari apa-apa slogan / motto yang jauh lebih baik dari itu sekaligus dapat menzahirkan kehebatan  dan keindahan agama Islam ini.
 
Hati-hati !!!. Jangan sampai tindak-tanduk dan pegangan anda menyebabkan Islam terfitnah !, Atau Islam dipandang rendah.
Sekian. Wassalam.
 

CINDAI PELANGI
4 - Ramadhan - 1430 Hijri /
25 - Ogos - 2009 Masihi
KUALA LUMPUR

Rabu, 26 Ogos 2009

MUNGKINKAH KITA TERLUPA MENGENAI HAL INI ?

MUNGKINKAH KITA TERLUPA MENGENAI HAL INI ?

 



 " Nobody is perfect " ( tiada seorang pun yang sempurna ). Begitulah lebih-kurang pepatah Inggeris yang menggambarkan hakikat sebenar sifat semulajadi ( fitrah ) manusia.


Betapa pun seseorang manusia itu cuba menutup kelemahan dan kekurangan dirinya dengan berbagai cara, ia tetap tidak sunyi dari kelemahan dan kekurangan itu.


Kenapa tidak ?, sedangkan itulah sebenarnya hakikat manusia. Dalam keadaan serba lemah dan kekurangan itu pun, ramai yang congak dan bongkak. Apatah lagi jika benar-benar sempurna ( atau mungkin juga tidak begitu kerana semuanya sudah sama tarafnya ? ).


Hmm... pernahkah anda membeli sebuah buku bacaan ( ilmiah ) ?. Apa-apa tajuk dan kategori. Apakah yang anda lakukan sebelum memilih untuk membeli sebuah buku bacaan ( ilmiah ) ?.Biasanya anda akan melihat ke tajuk tersebut dan kemudian apabila anda berkenan, anda akan membelinya.


Begitu, kan ?.


Apabila sudah sampai ke rumah, anda akan membelek-belek isi kandungannya ( indeks ) dan memilih beberapa tajuk / topik / bab yang anda minati lalu membacanya.


Memang begitulah kebiasaannya, kan ?.


Ada tak apa-apa langkah / sikap yang anda tidak lakukan sebelum buku itu dibeli dan seterusnya dimiliki oleh anda ?.


Ok, panduan berikut insya-Allah akan lebih dapat membantu anda untuk menghayati ilmu yang terkandung di dalam sesebuah buku bacaan ( ilmiah ).


Semasa aku di tahun akhir di Al-Azhar dahulu, ada seorang guruku yang bernama Ash-Sheikh Prof. Dr. Ahmad Khairat. Beliau mengajar subjek " Ulumul Hadits ". Bagiku, beliau di antara yang paling 'alim yang pernah ku temui di Bumi Anbiya' ( 'alaihimus salam ) ini. Setiap bulan Ramadhan al-Mubarak, beliau dijemput untuk menjadi imam dan penceramah di beberapa tempat di Amerika Syarikat.


Beliau menyebut, langkah-langkah yang perlu diambil sebelum kita memilih untuk membeli sesebuah buku bacaan ( ilmiah ) , iaitu :


1 - Lihat kepada TAJUKNYA . Apakah ia menarik pada pandangan kita ?.

2 - Lihat kepada PENULISNYA . Apakah memang dikenali sebagai seorang ilmuan ?.

3 - Lihat kepada BIODATA PENULISNYA . Itu akan lebih menambah minat dan kepercayaan kita terhadap tulisannya itu.

4 - Lihat kepada SINOPSIS ( RINGKASAN ) buku tersebut ( jika ada ).

5 - Lihat kepada ISI KANDUNGANNYA ( Indeks ). Apakah topik yang dibincangkan di dalam buku itu.

6 - Dan yang ini .... yang sering dilupai, BACA DAHULU MUKADDIMAHNYA / INTRO / PENGENALAN / SEKAPUR SIRIH / PERMULAANNYA .

Dari Mukaddimah itu, kita akan dapat mengetahui secara umum dan " pukul rata " apakah isi-isi yang terkandung di dalam buku bacaan ( ilmiah ) itu dan akan lebih dapat memahami mengapakah buku itu dihasilkan. Dan dengan ini, mesej dan ilmu yang terkandung di dalam sesebuah buku bacaan ( ilmiah ) itu akan lebih cepat difahami dan dihayati.


Itulah langkah-langkah yang digariskan oleh beliau.


Bagaimana pula dengan anda ?.


Sebelum anda melangkah lebih jauh membaca pandangan-pandangan dan tulisan-tulisan saya di dalam blog ini, saya sangat-sangat menyarankan anda membaca dahulu tulisan-tulisan saya yang terdahulu. Fokuskan kepada tulisan-tulisan yang saya tandakan ( tag / label ) dengan tajuk MUKADDIMAH .


Mukkadimah 1 : BARU BERJAYA DIMULAI


Mukkadimah 2 : MENGAPA AKU MENULIS ?


Mukaddimah 3 : MENGAPA CINDAI PELANGI ?




Mudah-mudahan dengan membaca semua MUKADDIMAH di atas, anda tidak akan " tersalah-sangka " terhadap saya.


Bahkan saya yakin, dengan membaca semua MUKADDIMAH yang saya tulis itu, anda akan lebih dapat " menyelami " jiwa-raga saya dan seterusnya lebih memahami mesej yang cuba saya sampaikan dalam setiap pandangan / tulisan saya di sini.



Semoga apa yang kita fahami itu benar-benar sahih lagi benar dan terselamat dari " tersalah faham " ataupun " ilmu yang tidak benar ".



WalLohu A'alam Bis Sowab.



Sekian.





CINDAI PELANGI
5-Ramadhan-1430 Hijri 
26-Ogos-2009 Masihi
6.30 Pagi
KUALA LUMPUR

SASTERA : APA YANG ANDA TAHU MENGENAINYA ?

SASTERA : APA YANG ANDA TAHU MENGENAINYA ?


Di zaman aku di bangku sekolah menengah dahulu, setiap pelajar yang sudah lulus Sijil Rendah Pelajaran ( SRP ) akan dinaikkan ke Tingkatan 4 yang mempunyai 2 aliran. Aliran pertama ; SAINS dan yang kedua ; SASTERA.


Pada awalnya, aku lebih cenderung untuk memilih aliran Sains. Tetapi " ada yang mengubah pandanganku pada sastera ". Yang mengubahnya ialah bapak saudara kepada ibuku yang ku panggil sebagai " Tok Chik ".

Tok Chik ku ini ( baik yang lelaki ataupun perempuan ) sering datang ke KL dan disebabkan pada masa itu mereka berdua masih belum ada cucu, maka aku sebagai " cucu saudara " ini keraplah dibawa ke sana ke sini menemani mereka berdua. Dapat juga mereka mencurahkan kasih-sayang padaku dan mengubat kerinduan ( ini disebabkan kedua-dua anak mereka yang ku panggil sebagai Pak Long dan Pak Ngah masih belajar di USA dan ITM ).

Tok Chik berdua itu juga adalah guru sekolah. Yang lelakinya, mengajar subjek KESUSASTERAAN MELAYU di sekolah menengah , manakala isterinya pula sebagai guru besar bagi sebuah sekolah rendah di Pulau Pinang.

" Awat hang tak mau pilih aliran Sastera ?" ; tanya Tok Chik padaku setelah ku nyatakan hasratku untuk mengambil aliran Sains ketika selesai keputusan SRP diumumkan.

Aku menjawab bahawa pandanganku pada Aliran Sastera ( dan Dunia Kesusasteraan ) pada saat itu adalah negatif. Jawabku ; " Orang sastera semacam penyajak dan penyair itu adalah orang yang tenggelam di dalam dunianya sendiri. S.S = Syok Sendiri. Sedangkan orang Sains mencipta kemajuan dan teknologi bagi dunia ini. Sebab itulah aku mahu menjadi orang Sains ! ".




Tok Chik pun membalas dengan ringkas ; " Tapi jiwa hang tu, jiwa orang Sastera. Hang pilih kelas sastera lah ".
 

 
   ( Dulu aku juga sering beranggapan bahawa Sastera dan " Orang Sastera " itu tak ubah sama seperti  Si Penyair ataupun Penyajak yang kadang-kadang mesejnya tidak jelas dan hanya " S.S " = Syok Sendiri )

Beberapa hari aku termenung memikirkan kata-kata Tok Chik, dan akhirnya aku membuat keputusan untuk masuk ke aliran Sastera.

Kenapa ? Apa sebabnya ?.

Bukankah orang-orang yang bergelumang di dalam dunia sastera itu tidak ubah seperti penyajak, penyair dan seniman jalanan yang kebanyakannya " S.S " = Syok Sendiri !!??. Apakah sumbangan golongan seperti ini kepada pembangunan teknologi dan kemajuan negara ini ?.







 ( Dulu aku juga sering beranggapan bahawa Sastera dan " Orang Sastera " itu tak ubah sama seperti  Si Seniman Jalanan )

Rupa-rupanya pandangan awalku terhadap SASTERA itu silap besar !.

Mari kita lihat di mana silapnya ?.

Sastera berkait-rapat dengan budaya dan budaya pula pula hubungan erat dengan sikap, pemikiran, perilaku dan adab serta adat sesuatu bangsa.




Sastera itu adalah sebahagian dari budaya hidup manusia. Ia adalah ekspresi ( terjemahan ) diri manusia dan manifestasi estetik manusia terhadap terhadap bahasa yang dipertuturkan oleh mereka sendiri.

 
( Dulu aku juga sering menganggap bahawa Sastera itu adalah " Syok Sendiri " [S.S] seperti seorang yang melukis lukisan "ntahapehapentah" lalu dianggap sebagai " lukisan abstrak " walhal ia adalah " contengan si S.S " )

Jadi, SASTERA itu sebenarnya adalah ILMU MENGENAL JIWA & PERILAKU . Ia tidak jauh bezanya dengan apa yang dipanggil sebagai ILMU PSIKOLOGI !.

Anda setuju ?.

Mari kita renungkan lagi .....

Di Dunia Islam dahulu, banyak tokoh ulama' yang terkenal di dalam bidang Sains & Teknologi.


Sebut siapa sahaja di kalangan ulama' silam yang pakar di dalam bidang Sains & Teknologi itu. Al-Ghazali, Al-Farabi, Al-Khawarizmi, Al-Kindi, Ibnu Haytham, Al-Qawizni, Ibnu Sina dan banyak lagi. Bukankah mereka juga ahli ( pakar ) di dalam bidang Agama dan Bahasa Arab ?.


Dan Ilmu-Ilmu Sains & Teknologi itu juga dikarang dan dibukukan lalu disampaikan hingga masuk ke dalam hati manusia menerusi wasilah Ilmu Sastera.


Artinya, Sastera juga memainkan peranan utama di dalam memajukan kehidupan manusia zaman-berzaman.


Dengan adanya Ilmu Sastera ( Kesusasteraan ), sesuatu maklumat dan ilmu pengetahuan itu dapat disampaikan dengan baik dan dapat difahami menurut jiwa dan bahasa si penerima ilmu itu.


Lihat sahaja ke dalam Al-Quranul Karim, ada satu surah yang dinamai sebagai " ASH-SHU'ARAA' " yang berarti " Penyair-Penyair / Penyajak-Penyajak " ataupun lebih tepat " Para Seniman ".


Bukankah mereka itu golongan yang begitu sinonim dikaitkan dengan " DUNIA SASTERA " ?.


Mengapa Allah SWT yang telah mencipta alam dan manusia ini mengkhususkan satu surah dengan nama mereka !?.


Tentu ada keistimewaan mereka, kan ?.


Golongan Sasterawan dan Seniman di zaman kebangkitan dakwah Islam itu ada yang menyokong Islam ( menyokong perjuangan Baginda Rasulullah SAW ) dan ada juga yang menentang.


Ini menunjukkan yang ILMU SASTERA itu sendiri adalah umpama sebilah pisau. Ia boleh digunakan di jalan yang benar dan juga di jalan yang salah.


Jika anda dapat menerima pandangan saya terhadap ALAM & DUNIA SASTERA dan ia bukan sekadar berlegar-legar di alam fantasi bahkan ia juga adalah ILMU JIWA & SOSIAL, maka tidak ada sebab untuk anda membenci DUNIA SASTERA itu.


Kecuali DUNIA SASTERA dan ILMU KESUSASTERAAN yang digunakan untuk mengembangkan budaya yang salah, menyokong dan membodek golongan yang berkuasa yang zalim !.


Alah, itu bukan berlaku di dunia sastera sahaja, malahan di DUNIA SAINS dan kehidupan PARA SAINTIS juga tidak terlepas dari hal itu.


Virus-Virus ciptaan moden, Senjata Bio-Kimia dan sebagainya. Bukankah itu hasil kedurjanaan dan kebengkokan niat sebahagian manusia yang bergelar SAINTIS juga !!??.

Oh,  apakah kali ini aku juga " bersastera " di dalam tulisanku ini ???.


Jadi, apa pandangan anda sekarang mengenai Sastera ?.


Renung-renungkanlah !!!.


Sekian.




CINDAI PELANGI
5-Ramadhan-1430 Hijri
26-Ogos-2009 Masihi
5.30 Pagi
KUALA LUMPUR

Isnin, 24 Ogos 2009

MENGAPA CINDAI PELANGI ?

Mengapa Cindai Pelangi ?

Ada yang bertanya padaku : " Mengapa aku memilih nama penaku dengan Cindai Pelangi ? ".

Maka inilah jawapannya..........

CINDAI PELANGI diambil dari 2 patah perkataan, iaitu ( 1 ) - Cindai , dan ke ( 2 ) - Pelangi.


(1)- CINDAI :-


Cindai adalah sejenis kain lembut yang dipakai untuk menutup kepala, khasnya bagi anak-anak gadis Melayu di kampung ( satu ketika dahulu ).

Ia juga boleh dianggap sebagai " selendang ", " selempang " , " serban " , " bengkung " dan " kain lilit " bergantung kepada tujuan dan fungsi ia dipakai.

Ia juga sebagai " aksesori pelengkap " yang menyebabkan si pemakainya kelihatan lebih cantik dan lebih kemas. Lihat sahaja kepada gadis Melayu yang cantik rupawan mengenakan baju kurungnya, bukankah lebih indah apabila kain cindai ini diletakkan di kepalanya ataupun lebih indah lagi apabila ia kemas dan rapi sebagai " penutup aurat si gadis manis " !.


Ia juga sebagai " senjata " bagi yang reti memanfaatkannya. Silat Seni Gayong yang diwarisi dari Almarhum Dato' Meor Abdul Rahman ( sebagai contohnya ) menjadikan " cindai " sebagai senjata tertinggi di dalam silibus pelajarannya.

Gambar ini adalah gambar Pak Ndak Majid Mat Isa sebagai salah-seorang murid kesayangan Almarhum Dato' Meor. Beliau sedang mempamerkan "permainan cindai " dari Perguruan Silat Seni Pusaka Gayong.


Lembut dan liat itulah sifat asalnya. Kadang-kala boleh menjadi keras dan kemas.






(2)-PELANGI :-

Pelangi ...?.

Pelangi yang mempunyai 7 warna itu asalnya adalah satu warna sahaja ( putih ). Disebabkan oleh imbasan, percikan dan pantulan dari cahaya mentari di waktu hujan gerimis, terbentuklah pelangi yang dilihat mempunyai 7 warna itu.

Tidak ada sebarang sifat yang layak ditujukan kepadanya melainkan ia adalah INDAH , CANTIK, BERSENI, KEMAS, RAPI, MENENANGKAN DAN MENGGEMBIRAKAN kepada mata yang memandangnya.

Jika kita melihat satu produk yang terbaik dihasilkan, katakanlah kereta Mercedez , tentu kita kagum dengan keindahan dan kekemasan ciptaannya. Yang lebih hebat ialah sang perekanya yang terdiri dari kalangan designernya, engineernya, mekaniknya dan seterusnya.
Pelangi yang serba indah itu begitu juga. Ia membawa kita untuk berfikir bahawa Sang Penciptanya adalah jauh LEBIH INDAH, LEBIH BESAR, LEBIH HEBAT, LEBIH KEMAS DAN LEBIH SEGALA-GALANYA. Itulah DIA ... Allah SWT Tuhan Yang Maha Mencipta, Maha Indah Lagi Maha Gagah Perkasa.

Gabungan dari 2 perkara di atas, CINDAI dan PELANGI menggambarkan kepada kita :

1 - Keindahan dan kekemasan itu adalah sesuatu yang disukai oleh setiap manusia secara naluri. Ia satu kesukaan yang tidak perlu dipaksa-paksa untuk mewujudkannya. 

Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda ( yang mafhumnya ) : " Allah itu Maha Indah dan DIA menyukai yang indah ".

Sabdanya lagi ( yang mafhumnya ) : " Sesungguhnya Allah sangat suka kepada kerja yang dilakukan oleh seseorang hamba itu dengan kemas ( rapi ) ".

2 - Cindai dan Pelangi kedua-duanya mempunyai fungsi berbagai ( multi-puprpose ) dan ini sangat bertepatan dengan sabda Baginda Rasulullah SAW ( yang mafhumnya ) : " Sebaik-baik manusia adalah manusia lebih banyak gunanya untuk sesama manusia ".

3 - Jika saya tidak menggunakan "nickname" ( nama samaran ) CINDAI PELANGI ini maka sudah tentu saya akan gunakan nama PISANG KELAPA ( dan sudah tentu ia akan menyebabkan orang tertawa ).

Ya !, kenapa pula PISANG KELAPA sebagai alternatif kedua nama samaran saya ???.

Sewaktu saya kecil dahulu ( dibesarkan di Sitiawan, Perak bersama-sama Almarhum Nenda tercinta ),saya hidup dikelilingi oleh berbagai pokok dan tanaman, lebih-lebih lagi pisang dan kelapa.

Saya lihat Almarhum Nenda saya ( yang dipanggil sebagai Tok Ayah ), Paklong saya dan masyarakat kampung banyak menggunakan pisang dan kelapa di dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Sebagai sumber pendapatan dan sebagai makanan serta berbagai lagi gunanya.

Lihat sahaja kepada pisang. Buah pisang itu, isinya kita makan. Bijinya ?. Ya, kita tanam. Batang pisang, ia boleh dijadikan sebagai " punching bag " ( beg tubi latihan tinju ) bagi anak-anak kampung yang " gila bersilat ".

Batang pisang itu jika diraut kulitnya, lalu dijemur, akan menjadi tali yang kuat hingga boleh mengikat getah-getah keping ( sekerap ) yang siap dijemur dan dibawa untuk dijual.

Daun pisang pula. Ya, sebagai payung di saat kecemasan. Sebagai pembalut makanan. Sebagai alas tempat duduk. Dan berbagai lagi gunanya.

Kelapa pula ?. Buah kelapa.... airnya diminum. Isinya diparut dan boleh menghasilkan santan ( coconut milk ), kulit/sabut dari buah kelapa itu boleh dibakar sebagai penghalau nyamuk dan sebagai bahan pembuatan tali ( tali kapal tu )!.

Batang kelapa juga banyak gunanya. Sebagai titi dan sebagai pagar rumah kampung ataupun pagar kebun/ ladang.

SubhanalLoh Al-Azhim !, Maha Suci Allah SWT yang telah menciptakan 2 makhluk ini , KELAPA dan PISANG yang beri berbagai guna untuk manusia dan haiwan.

4 - Dengan menggunakan nama samaran " CINDAI PELANGI " ini saya sangat mengharapkan agar Allah SWT mengurniakan kepada saya berbagai-bagai ilmu, kebolehan dan bakat yang dapat dikongsi dan disebarkan untuk kegunaan seluruh umat di alam ini, khasnya untuk mempertahankan dan mendaulatkan Agama, Bangsa dan Tanah Air yang tercinta ini.

Bukankah orang-orang tua kita dahulu sering berpesan : " Beri nama itu artinya mendoakan. Jadi bagilah nama yang baik-baik ".

Mudah-mudahan nama " CINDAI PELANGI " ini membawa 1001 kebaikan untuk diri saya sendiri dan untuk semua. Amin.


 
CINDAI PELANGI
3-Ramadhan-1430 Hijriyyah 
/ 24-Ogos-2009 Masihi
KUALA LUMPUR

Sabtu, 22 Ogos 2009

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK


SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK !

Semoga semakin dekat dengan Allah SWT, makin mudah untuk taat dan tunduk kepadaNYA, makin bermanfaat untuk umat sejagat, makin bersemangat untuk memperjuangkan Islam dan makin mustajab doa kita.

Amin Ya Robbal 'Alamin.


Khamis, 20 Ogos 2009

MENGAPA AKU MENULIS ?

MENGAPA AKU MENULIS ?

Mengapa aku menulis ?, atau dalam bahasa yang lebih mudah : " Mengapa aku mewujudkan blog ini ?".

Tidak terlintas untuk aku menulis seumpama orang yang mencatat diarinya. Mencatat setiap peristiwa yang dilaluinya sehari-hari ( walaupun bagi aku lebih baik dia mencatat apa yang penting sahaja dan menjadikan diari itu sebagai perancang jadual sehariannya ).

Aku menulis agar otakku berjalan. Melatih mindaku agar tidak jumud dan beku.
" AL-JUMUD FIL FIKRI JINAYATUN FIL ISLAM " ( Jumud / Otak beku itu adalah jenayah di dalam Islam ); itu kata-kata salah seorang guruku ; Ustaz Ishak Abdul Malek semasa aku mengaji di pondok 22 tahun lalu.

Aku menulis kerana aku percaya PENULISAN itu berkait rapat dengan " IQRA' ! " yang Tuhanku perintahkan.

Aku percaya juga bahawa dengan menulis lebih banyak " hati-perut" manusia ini dapat aku kenali.

Bahkan inilah caranya aku mengembangkan bakat penulisanku dan inilah caranya aku mensyukuri bakat & ilmu yang telah Allah SWT kurniakan padaku. Dan ini juga sebagai " TANDA TERIMA KASIHKU " untuk mereka yang telah bersusah-payah mengasuhku dan mendidikku selama ini, khususnya ibu-bapaku dan guru-guruku ( Insya-Allah, nanti akan ku ceritakan siapakah guru-guruku di dalam bidang penulisan ini ).

Bahkan dengan ini, idea dan pandanganku makin tersebar. Dan aku percaya sedikit-sebanyak manfaat yang ada dari tulisanku ini akan memainkan peranan yang penting di dalam membentuk satu masyarakat yang diimpikan selama ini.

Tulisan dan pandanganku juga bakal dapat dinikmati oleh anak-anakku yang tercinta. Moga-moga mereka menjadi lebih baik dan bermanfaat dari kedua-dua orang tua mereka. Lebih baik serba-serbinya !. Memperbaiki dan menambah pula apa-apa yang terkurang disebabkan oleh kekurangan kedua-dua orang tuanya di masa lalu. Baik dan memberikan kebaikan ( manfaat ) untuk Agama, Bangsa dan Tanah Air.

Yang lebih penting, aku menulis ini kerana aku yakin inilah salah-satu wasilah perjuanganku. Perjuangan untuk memberikan apa-apa sahaja manfaat untuk umat sejagat.

Tidak ada yang muktamad di dalam tulisan, pegangan dan pandanganku ini !!!. Siapalah aku untuk memaksa orang menerima segala pandanganku ?. Aku bukannya Tuhan Yang Maha Melebihi segala dan tiada terkurang apa pun !. Dan aku pula bukannya Rasulullah SAW yang maksum !.

Inilah peganganku... apa yang pernah dinyatakan oleh Al-Imam Malik bin Anas RH , mafhumnya : " Setiap orang, mungkin dapat diterima ataupun ditolak kata-katanya. Melainkan orang yang berada di dalam ini ( sambil jarinya menunjuk ke arah maqam Baginda Rasulullah SAW ) ".

" Aku menu
lis bukan kerna nama !" .... ( petikan lagu Bukan Kerna Nama yang dinyanyikan oleh Ramli Sarip dan A. Romzi ).



Sekian.

Cindai Pelangi
30-Sya'aban-1430 Hijriah / 21-Ogos-2009 Masihi
JUMAAT 12.30 Tengah Malam
KUALA LUMPUR



BARU BERJAYA DIMULAI


Bismillahir Rahmanir Rahim
IQRA' BISMI ROBBIKAL LADZI KHALAQ ...( Bacalah dengan nama Tuhanmu yang telah menciptakan ).

Alhamdulillah,
dah lama aku berniat untuk mengumpulkan semua tulisan dan pandanganku sebelum ini ke dalam satu blog. Agarnya ia lebih mudah dirujuk dan dinilai. Mudah dirujuk oleh diriku sendiri dan keluargaku, khasnya serta untuk seluruh yang mengenaliku secara amnya.
Sebelum ini kebanyakan tulisan dan pandanganku lebih ku salurkan melalui Majalah Suara Kampus ( ketika di kampus dulu ), di website al-Ahkam.net , Forum Harmonisers , Web Silat.tv dan tumpang beberapa web / blog sahabat-sahabat.
Banyak yang bermain-main di minda dan yang terlintas di hati, tetapi ia tidak sempat dicoretkan sebelum ini. "Satu kerugian yang besar. Manalah tahu, ia ada manfaat juga sedikit-sebanyak ";kata hatiku.

Paling kurang ia dapat memberikan manfaat buat anak-anakku yang tercinta dan sahabat-sahabatku yang tersayang.
Yang paling penting, ia bermanfaat untuk diriku sendiri kerana menghargai bakat dan pengetahuan sendiri dan tidak pula membiarkan ianya sia-sia begitu sahaja.
Banyak ilmu, petua dan khazanah bermanfaat dari tok-nenek-moyang kita yang hilang begitu sahaja. Sebabnya ?. Mungkin kerana 'TERLALU BERAHSIA' ataupun ia 'TIDAK PERNAH DIREKODKAN & DIDOKUMENTASIKAN'.

Maka, bertitik-tolak dari situlah ku gagahi semangatku dan ku pacu daya-upayaku untuk mewujudkan blog ini. Niatku hanya untuk memberikan manfaat kepada semua sekadar sedikit kebolehan dan keupayaanku !.
Pada Allah Ta'ala kuserahkan usaha kecilku ini dan semoga DIA senantiasa meredhai dan memberikan panduanNYA buatku. Amin.
Terima Kasih di atas kesudian anda melayari blog ini.
Wassalam.

cindai pelangi
Khamis 11.50 malam Jumaat Mubarakah
29-Sya'aban-1430 Hijrah / 20 - Ogos - 2009 Masihi
KUALA LUMPUR

SELAMAT DATANG & MENIKMATI 1001 MANFAAT

" Selamat Datang. Berhentilah & berehatlah seketika di sini !. Mungkin ada apa-apa isi yang menarik & bermanfaat untuk anda semua "